Ulama-Ulama Muktabar Yang Bukan Berakidah Ashā’irah Atau Māturidiyyah

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Pengikut-pengikut aliran Ashā’irah dan Mātūridiyyah mendakwa bahawa Ahl al-Sunnah terhad dan khusus kepada mereka. Sesiapa menolak akidah mereka dikira terkeluar daripada Ahli Sunnah dan sesat.

Tetapi, sama ada sedar atau tidak, ramai ulama yang selalu dirujuk dan dianggap muktabar oleh mereka rupa-rupanya tidak pun bermazhab Ashā’irah-Māturidiyyah, bahkan ada yang terang-terangan mengecam dan menyesatkan aliran tersebut. Tiga daripada mereka ialah:

1. Imam al-‘Imrānī (558 H), pengarang al-Bayān fī Madhhab al-Shāfi‘ī. Kitab ini selalu dirujuk dalam mazhab Shāfi‘ī. Penolakannya terhadap mazhab Ashā’arī boleh dibaca dalam kitab al-Intiṣār fī al-Radd ‘ala al-Mu‘tazilah al-Qadariyyah al-Ashrār.

Antara katanya dalam kitab itu, “maka, Dia menyebut huruf-huruf yang bersambung sekerat-sekerat di permulaan surah dan menyebut bahawa ia adalah kitab dan al-Quran, dan merupakan (kitab) yang diturunkan. Semua ini membatalkan kata-kata al-Ash‘arī dan orang-orang yang bersetuju dengannya.”

2. Imam ‘Abd al-Qādir al-Jaylānī (561 H), ulama sufi yang diagung-agungkan oleh pengikut mazhab Ashā’irah. Beliau bermazhab Ḥanbalī baik dalam akidah mahupun fiqh dan sangat kuat berpegang dengan akidah Imam Aḥmad b. Ḥanbal.

Imam Ibnu Rajab (795 H) dalam Zayl Ṭabaqāt al-Ḥanābilah menukilkan daripada Imam al-Ṣarṣarī (656 H) bahawa al-Jaylānī ditanya, “wahai sīdī, adakah Allah mempunyai wali yang tidak berakidah Aḥmad b. Ḥanbal?” Jawabnya, “tidak pernah ada dan tidak akan ada.”

Beliau sangat menentang golongan Ashā’irah dan ketegasannya boleh dilihat dalam kata-katanya dalam kitab al-Ghunyah, “dan Imam Aḥmad rahimahullah mengisbatkan suara dalam riwayat segolongan aṣḥāb riḍwān Allāh ‘alay-him ajma‘īn, bersalahan dengan yang dikatakan oleh Ash’ariyyah iaitu bahawa kalamullah adalah makna yang berdiri sendiri, dan Allah akan menghukum setiap mubtadi‘ yang sesat lagi menyesatkan, kerana...”

3. Imam Ibnu al-Jawzī (597 H), pengarang Daf‘ Shubah al-Tashbīh yang menjadi rujukan penting Ashā’irah dalam menyesatkan Ḥanābilah dan Wahhābī. Akidah beliau sebenarnya celaru dan keliru kerana beliau walaupun bermazhab Ḥanbalī, namun beliau terpengaruh dengan mutakallimīn.

Al-Dhahabī dalam kata-kata yang ditujukan kepadanya, “kerana engkau sehari bermazhab Ash’arī dan sehari bermazhab Ḥanbalī. Tulisan-tulisanmu menceritakannya. Oleh itu, kami tidak melihat pengikut mazhab Ḥanbalī mahupun pengikut mazhab Shāfi‘ī yang reda dengan akidahmu.”

Dalam al-Muntaẓam, Ibnu al-Jawzī menceritakan, “maka Abū al-Ḥasan al-Ash’arī bersetuju dengan Mu‘tazilah dalam mengatakan bahawa ini (al-Quran) makhluk dan berkata, ‘ini bukan kalamullah. Kalamullah adalah sifat yang berdiri dengan zat-Nya...’ Sejak menzahirkan pandangan ini bimbang dengan keselamatan dirinya kerana menyalahi Ahli Sunnah...”

Kata beliau selanjutnya, “kemudian, beberapa golongan daripada pemerintah mengikut mazhabnya sehingga taksub dan bertambahlah pengikutnya sehingga golongan Shāfi‘iyyah meninggalkan akidah al-Shāfi‘ī RA dan beriktikad dengan kata-kata al-Ash’arī.”

Jelas dalam kata-kata ini bahawa beliau menganggap Imam Abū al-Ḥasan al-Ash’arī (324 H) bukan Ahli Sunnah dalam masalah kalamullah dan berpendapat bahawa akidah ulama mazhab Shāfi‘ī yang asal bukan akidah Ash’ariyyah, tetapi akidah Imam al-Shāfi‘ī.

Ulama-ulama yang tidak berakidah Ashā’irah-Mātūridiyyah sebenarnya sangat ramai, tetapi mereka tetap dianggap dan diperlakukan sebagai ulama-ulama Ahli Sunnah oleh mereka sendiri. Imam Ibnu al-Mibrad (909 H) menghimpunkan nama-nama tersebut dalam kitabnya, Jam‘ al-Juyūsh wa-al-Dasākir menyanggah tulisan Imam Ibnu ‘Asākir (571 H) membela al-Ash‘arī berjudul Tabyīn Kadhb al-Muftarī.

Selepas itu, beliau mengatakan, “dan kami melihat dalam kalangan sahabat, teman, dan orang-orang yang bekerja bersama kami lebih daripada seribu orang yang memulau, menjauhi, dan mencela mereka. Dan yang kami tinggalkan daripada kalangan terdahulu lebih banyak daripada yang telah kami sebutkan.”

Wallahualam.



Dalam menyusuri perdebatan di antara firqah, aliran, dan mazhab, kita akan mendapati dalam sebahagian perkara, kebenaran berpihak kepada aliran yang kita ikut, dan dalam sebahagian perkara yang lain, kebenaran berpihak kepada aliran lawan. Mustahil semata-mata kerana sesuatu aliran itu menjadi pegangan kita, maka semua yang menjadi dikatakan oleh ulama-ulama aliran tersebut semuanya betul, dan yang didakwa oleh lawan semuanya fitnah belaka.

Sebagai contoh, dalam masalah membaca al-Quran di kubur, kerana berpegang dengan pendapat amalan tersebut bidaah, ramai orang cuba menafikan bahawa Imam al-Shāfi‘ī antara yang menggalakkannya. Tetapi hakikatnya, sama ada amalan tersebut bidaah atau tidak, penisbahan itu benar. Jadi, apa yang disangka oleh ramai Salafī sebelum ini – termasuk Syeikh al-Albānī dan Shu‘ayb al-Arna’ūṭ – rupa-rupanya silap.

Dalam masalah ibu bapa Nabi SAW pula, golongan Ashā’irah-Mātūridiyyah mendakwa Mullā ‘Alī al-Qārī menarik semula pendapatnya yang mengatakan mereka berdua akan dimasukkan ke neraka sekali gus bermuwāfaqah dengan pendapat mereka. Akan tetapi, dakwaan mereka didapati silap kerana berasaskan kata-kata Mullā ‘Alī al-Qārī dalam syarah al-Shifā’ oleh Kadi ‘Iyāḍ yang telah diseleweng. Jadi, berlapang dadalah jika betul-betul mahu mencari kebenaran.

Dalam tulisan saya tadi, memang terdapat ramai ulama yang dii‘tibarkan sebagai Ahli Sunnah di sisi Ashā’irah-Mātūridiyyah tetapi tidak berakidah Ashā’irah mahupun Mātūridiyyah. Tidak dinafikan bahawa sebahagian mereka mentakwil sifat dan menafikan akidah “Allah di langit” seperti Imam Ibnu Ḥazm, Ibnu Ḥajar, dan Aḥmad b. al-Ṣiddīq al-Ghumārī, tetapi yang penting dakwaan atau sangkaan bahawa “Ahli Sunnah hanyalah Ashā’irah dan Mātūridiyyah” dapat dibatalkan.

Kepada pengikut aliran Ashā’irah dan Mātūridiyyah ingin diingatkan bahawa tulisan-tulisan saya bukan semata-mata “copy paste” tulisan orang lain, sebaliknya hasil pengamatan dan penelitian sendiri. Ya, saya mungkin merujuk kajian orang lain, tetapi saya tidak akan mengisbatkannya dalam tulisan saya selagi tidak disemak dan disahkan. Dalam sesetengah keadaan, saya mempunyai bukti tambahan yang dapat menyokong kenyataan saya.

Saya sebutkan sebagai misal, mengenai dakwaan saya bahawa Imam al-‘Imrānī, Ṣāḥib al-Bayān menolak akidah Ashā’irah, saya mempunyai dua bukti sokongan daripada sumber luar, iaitu:

Pertama, kata ‘Umar b. Alī b. Samrah al-Ja‘dī (586 H) dalam Ṭabaqāt Fuqahā’ al-Yaman, “dan beliau (al-‘Imrānī) berdebat dengan al-Sharīf al-‘Uthmānī yang bermazhab Ash‘arī, dan mempertahankan mazhab Ḥanābilah Ahli al-Sunnah dalam masalah bacaan adalah apa yang dibaca.”

Kedua, kata al-‘Āmīrī (816 H) dalam Ghirbāl al-Zamān, “dan beliau (al-‘Imrānī) taḥāmala ‘alā Ashā’irah.” Taḥāmala ‘alā ini diterjemahkan dalam Kamus Besar Arab-Melayu dengan makna bertindak zalim terhadap (seseorang).

Wallahualam.

___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments