Biografi Imam Bukhari



OLEH: Abu Taqiyuddin





Kelahiran & Masa Kecil Imam Bukhari
Imam Bukhari (semoga ALLAH merahmatinya) lahir di Bukhara, Uzbekistan, Asia Tengah. Nama lengkapnya adalah Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Badrdizbah Al-Ju'fi Al-Bukhari. Beliau lahir pada hari Jumaat, tepatnya pada tanggal 13 Syawal 194H (21 Julai 810M). Datuknya bernama Bardizbeh, berketurunan Parsi yang masih beragama Zoroaster. Tapi ibu bapanya, Mughirah, telah memeluk Islam di bawah asuhan al-Yaman el-Ja'fiy. Masa kanak-kanak Imam Bikhari penuh dengan keprihatinan; di samping menjadi anak yatim, beliau juga tidak dapat melihat kerana buta. Ibunya sentiasa berusaha dan berdoa untuk kesembuhan beliau. Alhamdulillah, dengan izin dan kurnia ALLAH, menjelang 10 tahun, matanya sembuh sepenuhnya.

Imam Bukhari adalah ahli hadis yang termasyhur di antara para ahli hadis sejak dulu hingga kini bersama dengan Imam Ahmad, Imam Muslim, Abu Daud, Imam Tirmizi, Imam An-Nasai dan Ibnu Majjah. Bahkan dalam kitab-kitab Fiqh dan hadis. Hadis-hadis beliau memiliki darjat yang tinggi. Sebahagian menggelarkannya dengan gelaran Amirul Mukminin Fil Hadis (Pemimpin kaum Mukmin dalam perkara ilmu hadis). Dalam bidang ini, hampir semua ulama di dunia merujuk kepadanya.

Tempat beliau lahir kini termasuk wilayah Rusia, yang waktu itu memang menjadi pusat kebudayaan ilmu pengetahuan Islam sesudah Madinah, Damsyik dan Baghdad. Daerah itu juga yang telah melahirkan ahli-ahli falsafah besar seperti Al-Farabi dan Ibnu Sina. Bahkan ulama-ulama besar seperti Imam Zamakhsari, Imam Al-Jurdjani, Imam Al-Bairuni dan lain-lain dilahirkan di Asia Tengah. Sekalipun daerah tersebut telah jatuh di bawah kekuasaan Kesatuan Soviet (Rusia), menurut Alexandre Benningsen dan Chantal Lemercier Quelquejay dalam bukunya "Islam in Soviet Union" (New York, 1967), pemeluk Islamnya masih berjumlah 30 juta. Jadi merupakan daerah yang penganut Islamnya kelima besarnya di dunia setelah Indonesia, Pakistan, India dan China.



Keluarga & Keluarga Imam Bukhari
Imam Bukhari dididik dalam keluarga ulama yang taat beragama. Dalam kitab As-Siqat, Ibnu Hibban menulis bahawa ayahnya dikenali sebagai orang yang warak dalam erti berhati-hati terhadap perkara-perkara yang hukumnya bersifat syubhat (ragu-ragu atau was-was), apalagi terhadap perkara-perkara yang sifatnya haram. Ayahnya adalah seorang ulama bermazhab Maliki dan merupakan pengetua kepada Mazhab Imam Malik, seorang ulama besar dan fiqh. Ayahnya meninggal dunia ketika Imam Bukhari masih kecil.

Perhatiannya kepada ilmu hadis yang sukar dan rumit itu sudah tumbuh sejak 10 tahun, hingga dalam usia 10 tahun, hingga dalam usia 16 tahun beliau sudah hafal dan menguasai buku-buku seperti "Al-Mubarak" dan "Al-Waki". Bukhari berguru kepada Syeikh Ad-Dakhili, ulama ahli hadis yang masyhur di Bukhara. Pada usia 16 tahun bersama keluarganya, beliau mengunjungi kota suci Makkah dan Madinah, di mana di kedua kota suci itu beliau mengikuti kuliah para guru-guru besar ahli hadis. Pada usia 18 tahun beliau menerbitkan kitab pertamanya, "Qudhaya As-Sahabah Wat Tabi'ien". (Peristiwa-peristiwa Hukum di zaman sahabat dan tabi'in).



Kebijaksanaan Imam Bukhari
Imam Bukhari diakui memiliki daya hafalan yang tinggi, yang diakui oleh abannya Rasyid bin Ismail. Abangnya menyatakan bahawa, pernah Bukhari ketika mudanya dan beberapa murid lainnya mengikuti kuliah dan ceramah cendiakawan Balkh. Tidak seperti murid yang lain, Bukhari tidak pernah membuat catatan kuliah. Beliau sering di ejek kerana membuang masa kerana tidak mencatat, namun Bukhari diam tidak menjawab. Suatu hari, kerana merasa kesal terhadap ejekkan itu, Bukhari meminta kawan-kawannya membawa catatatan mereka, kemudian beliau membacakan secara tepat apa yang pernah disampaikan selama dalam kuliah dan ceramah tersebut. Tercenganglah mereka semua, lantaran Bukhari ternyata telah menghafal 15,000 hadis, lengkap dengan keterangan yang tidak sempat mereka catatkan.



Ketika sedang berada di Baghdad, Imam Bukhari pernah didatangi oleh 10 orang ahli hadis yang ingin menguji ketinggian ilmu beliau. Dalam pertemuan itu, 10 ulama tersebut mengajukan 100 buah hadis yang sengaja "diputar-balikkan" untuk menguji hafalan Imam Bukhari. Ternyata hasilnya mengagumkan. Imam Bukhari mengulang kembali secara tepat hadis-hadis yang "diputar-balikkan" itu lalu membetulkan kesalahannya, kemudian membaca hadis yang sebenarnya. Beliau menyebutkan seluruh hadis yang salah tersebut secara hafalan, secara berurutan, sesuai dengan urutan penanya dan urutan hadis yang ditanyakan, kemudian membetulkannya. Inilah yang sangat luar biasa daripada Sang Imam, kerana beliau mampu menghafal hanya dengan satu kali dengar.

Selain terkenal sebagai seorang ahli hadis, Imam Bukhari ternyata tidak melupakan kegiatan lain, yakni olahraga. Beliau misalnya sering belajar memanah sampai mahir, sehingga dikatakan sepanjang hidupnya, sang Imam tidak pernah terlepas dalam memanah kecuali dua kali. Keadaan itu timbul sebagai pengamalan sunnah Rasulullah S.A.W yang mendorong dan menganjurkan kaum Muslimin belajar menggunakan anak panah dan alat-alat perang lainnya.



Karya-Karya Imam Bukhari

Karyanya yang pertama berjudul, "Qudhaya As Sahabah Wat Tabi'in" (Peristiwa-Peristiwa Hukum Di Zaman Sahabat dan Tabi'in). Kitab ini ditulisnya ketika masih berusia 18 tahun. Ketika menginjak usia 22 tahun, Imam Bukhari menunaikan ibadah Haji ke Tanah Suci Makkah bersama-sama dengan ibu dan abangnya yang bernama Ahmad. Di sanalah beliau menulis kitab "At-Tarikh" (Sejarah) yang terkenal itu. Beliau pernah berkata, "Saya menulis buku "At-Tarikh" di atas makam Nabi Muhammad S.A.W di waktu malam bulan purnama."

Karya Imam Bukhari lain antaranya adalah kitab Al-Jami' as-Sahih, Al Adab al-Mufrad, At-Tarikh as-Saghir, At-Tarikh al-Awsat, At-Tarikh Al-Kabir, At-Tafsir Al-Kabir, al-Musnad Al-Kabir, Kitab al 'Illal, Raf'ul Yadain fis Salah, Birrul Walidain, Kitab Ad-Du'afa, Asami As-Sahabah dan Al-Hibah. Di antara semua karyanya tersebut, yang paling agung adalah kitab Al-Jami' as-Sahih yang lebih dikenal dengan nama Sahih Bukhari.



Dalam menghimpun hadis-hadis sahih dalam kitab Al-Jami' As-Sahih, Imam Bukhari menggunakan kaedah-kaedah penilitian secara ilmiah dan sah yang menyebabkan kesahihan hadis-hadisnya dapat dipertanggungjawabkan. Beliau berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meniliti dan menyelidikki keadaan para perawi, serta memperoleh secara pasti kesahihan hadis-hadis yang diriwayatkannya.


Imam Bukhari sentiasa membandingkan hadis-hadis yang diriwayatkan, satu dengan lainnya, menyaring dan memilih mana yang menurutnya paling sahih. Sehingga kitabnya merupakan penyaring bagi hadis-hadis tersebut. Perkara ini tercermin daripada kenyataannya : "Aku susun kitab  Al-Jami' ini yang dipilih daripada 600,000 hadis selama 16 tahun".

Ramai para ahli hadis yang berguru dengannya. Di antaranya adalah Syeikh Abu Zahrah, Abu Hatim Tirmizi, Muhammad Ibn Nasr dan Imam Muslim bin Al-Hajjaj (pengarang kitab Sahih Muslim). Imam Muslim menceritakan : "Ketika Muhammad bin Ismail (Imam Al-Bukhari) datang ke Naisabur, aku tidak pernah melihat seorang ketia daerah, para ulama dan penduduk Naisabur yang memberikan sambutan seperti apa yang mereka berikan kepadanya. "Mereka menyambut kedatangannya dari luar kota sejaih dua atau tiga marhalah (100KM), sampaikan Muhammad bin Yahya Az-Zihli (Guru Imam Bukhari) berkata : "Barangsiapa henda  menyambut kedatangan Muhammad bin Ismail esok pagi, lakukanlah, sebab aku sendiri akan ikut menyambutnya."



Penilitian Hadis
Untuk mengumpulkan dan memilih hadis sahih, Imam Bukhari menghabiskan tempoh masa selama 16 tahun untuk mengunjungi berbagai kota semata-mata untuk menemui para perawi hadis, mengumpulkan dan memilih hadisnya. Di antara kota-kota yang disinggahi antara lain Basrah, Mesir, Hijjaz (Makkah & Madinah), Kufah, Baghdad sampai ke seluruh Asia Barat. Di Baghdad, Bukhari sering bertemu dan berdiskusi dengan ulama besar Imam Ahmad bin Hambal. Dari sejumlah kota-kota itu, beliau bertemu dengan 800,00 perawi. Daripada merekalah beliau mengumpulkan dan menghafal satu juta hadis.

Namun tidak semua hadis yang beliau hafal kemudian diriwayatkan, melainkan terlebih dahulu ditapis dengan tapisan yang ketat, di antaranya apakah sanad (riwayat) dari hadis tersebut dan apakah perawi (periwayat / pembawa) hadis itu dipercayai dan tsiqqah (kuat). Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani akhirnya Bukhari menulis sebanyak 9082 hadis dalam karya agungnya Al-Jami' As-Sahih yang dikenali sebagai Sahih Bukhari.

Dalam meneliti dan memilih hadis dan diskusi dengan para perawi tersebut, Imam Bukhari sangat sopan. Kritikan-kritikan yang beliau lontarkan kepada para perawi cukup halus namun tajam. Kepada para perawi yang sudah jelas kebohongannya beliau berkata, "Perlu dipertimbangkan, para ulama meninggalkannya atau para ulama berdiam diri dari perkara itu." Sementara kepada para perawi yang hadisnya tidak jelas beliau menyatakan "Hadisnya diingkari". Bahkan banyak meninggalkan perawi yang diragukan kejujurannya. Beliau berkata : "Saya meninggalkan 10,000 hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang perlu dipertimbangkan dan meninggalkan hadis-hadis dengan jumlah yang sama atau lebih, yang diriwayatkan oleh perawi yang dalam pandanganku perlu dipertimbangkan."

Ramai para ulama atau perawi yang ditemui sehingga Bukhari banyak mencatat jati diri dan sikap mereka dengan teliti dan tepat. Untuk mendapatkan keterangan yang lengkap mengenai sebuah hadis, menyemak ketepatan sebiah hadis, beliau berkali-kali mendatangi ulama atau perawi meskipun berada di kota-kota atau negeri yang jauh seperti Baghdad, Kufah, Mesir, Syam, Hijaz seperti yang dikatakan beliau "Saya telah mengunjungi Syam, Mesir, dan Jazirah masing-masing dua kali, Basrah empat kali, menetap di Hijjaz selama enam tahun dan tidak dapat dihitung berapa kali saya mengunjungi Kufah dan Baghdad untuk menemui ulama-ulama ahli hadis."

Diselang-seli kesibukannya sebagai ulama, pakar hadis, beliau juga tidak melupakan kegiatan olahraga dan menghiburkan seperti belajar memanah hingga mahir, bahkan menurut suatu riwayat, Imam Bukhari tidak pernah luput memanah kecuali dua kali.



Kaedah Imam Bukhari Dalam Menulis Kitab Hadis

Sebagai intelektual Muslim yang berdisiplin tinggi, Imam Bukhari dikenali sebagai pengarang kitab yang produktif. Karya-karyanya tidak hanya dalam disiplin ilmu hadis, tetapi juga dalam ilmu-ilmu yang lain seperti tafsir, fiqh dan tarikh (sejarah). Fatwa-fatwanya selalu menjadi pegangan sehingga beliau menduduki darjat sebagai mujtahid mustaqil (ulama yang ijtihadnya bebas) tidak terikat pada mazhab tertentu sehingga mempunyai autoriti tersendiri dalam berpendapat dalam perkara hukum.

Pendapat-pendapatnya kadangkala seiring dengan Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi, pengasas Mazhab Hanafi), tetapi kadangkala boleh berbeza dengan beliau. Sebagai pemikir bebas yang menguasai ribuan hadis sahih, suatu ketika beliau boleh seiring dengan Ibnu Abbas, Imam Atha ataupun Mujahid dan boleh juga berbeza pendapat dengan mereka.



Ada kisah unik tentang penyusunan kitab Al-Jami' As-Sahih, yang lebih popular dengan panggilan Sahih Al-Bukhari. Suatu malam Imam Bukhari bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W seolah-olah Nabi S.A.W berdiri dihadapannya. Imam Bukhari menanyakan makna mimpi itu kepada ahli mimpi. Jawapannya adalah beliau (Imam Al-Bukhari) akan menghancurkan dan mengikis habis kebohongan yang disertakan orang dalam sejumlah hadis Rasulullah S.A.W. Mimpi inilah yang mendorong beliau menulis kitab Al-Jami' As-Sahih.

Dalam menyusun kitab tersebut, Imam Bukhari sangat berhati-hati. Menurut al-Firbari, salah seorang muridnya, dia mendengar Imam Bukhari berkata : "Saya susun kitab Al-Jami' As Sahih ini di Masjidil Haram, Makkah dan saya tidak mencantumkan sebuah hadis pun kecuali sesudah solat istikarah dua rakaat dan meminta pertolongan ALLAH, dan sesudah meyakini betul bahawa hadis itu benar-benar sahih." Di Masjidil Haramlah beliau menyusun dasar pemikiran dan bab-bab secara sistematik.

Selepas itu beliau menulis mukadimah dan pokok-pokok perbahasannya di Raudhah al-Jannah, satu tempat antara makam Rasulullah S.A.W dan mimbar di Masjid Nabawi di Madinah. Kemudian barulah beliau mengumpulkan sejumlah hadis dan menempatkannya dalam bab-bab yang sesuai. Proses penyusunan kitab ini dilakukan di dua kota suci tersebut dengan cermat dan tekun selama 16 tahun. Beliau menggunakan kaedah penelitian secara ilmiah dan cukup moden sehingga hadis-hadisnya dapat dipertanggugjawabkan.

Dengan bersungguh-sungguh beliau meneliti dan menyelidikki kredibiliti para perawi sehingga benar-benar memperoleh kepastian akan kesahihan hadis yang diriwayatkan. Beliau juga sering membandingkan hadis satu dengan yang lainnya, memilih dan menyaring mana yang menurut pertimbangannya secara nalar paling sahih. Dengan demikian, kitab hadis susunan Imam Al-Bukhari benar-benar menjadi penyaring bagi sejumlah hadis lainnya. "Saya tidak memuatkan sebuah hadis pun dalam kitab ini kecuali hadis-hadis sahih." Katanya suatu ketika.

Para ulama hadis menyatakan, dalam menyusun kitab Al-Jami' As-Sahih, Imam Bukhari selalu berpegang teguh pada tahap kesahihan paling tinggi dan tidak akan turun dari tahap tersebut. Kecuali terhadap beberapa hadis yang bukan merupakan pokok utama daripada sebuah bab.

Menurut Ibnu Salah, dalam kitab Muqadimah, kitab Sahih Bukhari itu memuatkan 7,275 hadis. Selain itu ada hadis-hadis yang dimuat secara berulang dan ada 4000  hadis yang dimuat secara utuh tanpa pengulangan. Penghitungan itu juga dilakukan oleh Syeikh Muhyiddin An-Nawawi dalam kitab At-Taqrib. Dalam perkara itu, Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kata pendahuluannya untuk kitab Fathul Bari (yakni syarah sahih atau penjelasan atas kitab Sahih Bukhari) menulis semua hadis sahih yang dimuat dalam sahih Al-Bukhari (setelah dikurangkan hadis yang dimuat secara berulang) sebanyak 2,602 hadis. Manakala hadis yang Mu'allaq (ada kaitan satu dengan lain, bersambung) namun marfu (diragukan) ada 159 buah. Adapun jumlah kesemua hadis sahih termasuk yang dimuatkan berulangan sebanyak 7,397 buah. Perhitungan berbeza di antara para ahli hadis tersebut dalam mengomentari kitab Sahih Bukhari semata-mata kerana perbezaan pendapat mereka dalam ilmu hadis.



Terjadinya Fitnah

Muhammad bin Yahya Az-Zihli berpesan kepada para penduduk agar menghadiri dan mengikuti pengajian yang diberikannya. Beliau berkata : "Pergilah kalian kepada orang alim dan soleh itu, ikuti dan dengarkan pengajiannya." Namun tidak lama kemudian beliau mendapat fitnah daripada orang yang dengki. Mereka menuduh sang Imam sebagai orang yang berpandangan bahawa Al-Quran adalah makhluk.

Perkara inilah yang menimbulkan kebencian dan kemarahan gurunya, Az-Zihli kepada beliau. Az-Zihli berkata "Barangsiapa berpendapat bahawa lafaz-lafaz Al-Quran adalah makhluk, maka dia adalah ahli bid'ah. Dia tidak boleh diajak bicara dan majlisnya tidak boleh didatangi. Dan barangsiapa masih mengunjungi majlisnya (Kelas Pengajian Imam Bukhari) , curigailah dia." Setelah adanya peringatan tersebut, orang ramai mulai menjauhinya.

Sebenarnya, Imam Bukhari terlepas daripada fitnah yang dituduhkan kepadanya itu. Diceritakan, seseorang berdiri mengajukan pertanyaan kepadanya : "Bagaimana pendapat tuan tentang lafaz-lafaz Al-Quran, makhluk atau bukan?". Imam Al-Bukhari berpaling dari orang itu dan tidak mahu menjawab walaupun pertanyaan itu diajukan sampai kali ketiga.

Tetapi orang itu terus mendesak. Beliau pun menjawab : "Al-Quran adalah kalam ALLAH, bukan makhluk, sedangkan perbuatan manusia adalah makhluk dan fitnah merupakan Bid'ah." Pendapat yang dikemukakan Imam Bukhari ini, yakni dengan membezakan antara yang dibaca dengan bacaan, adalah pendapat yang menjadi pegangan para ulama tahqiq dan ulama salaf. Tetapi dengki dan iri hati adalah buta dan tuli. Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Imam Bukhari pernah berkata : Iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan berkurang. Al-Quran adalah kalam ALLAH bukan makhluk. Sahabat Rasulullah S.A.W yang paling utama adalah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Dengan berpegang pada keimanan inilah aku hidup, aku mati dan dibangkitkan di akhirat kelak, InsyALLAH". Di lain kesempatan, beliau berkata : "Barang siapa menuduhku berpendapat bahawa lafaz-lafaz Al-Quran adalah makhluk, dia adalah pendusta".



Wafatnya Imam Bukhari

Suatu ketika penduduk Samarkand mengirim surat kepada Imam Bukhari. Isinya meminta dirinya agar menetap di negeri itu (Samarkand). Beliau pun pergi memenuhi permohonan mereka. Ketika perjalanannya sampai di Khartand, sebuah desa kecil terletak di dua farsakh (sekitar 10 KM) sebelum Samarkand, beliau singgah terlebih dahulu untuk mengunjungi beberapa ahli keluarganya. Namun di sana beliau jatuh sakit selama beberapa hari. Dan akhirnya beliau meninggal dunia pada tanggal 1 Syawal 256 H pada malam Aidilfitri dalam usia 62 tahun kurang 13 hari. Beliau dimakamkan selepas solat Zuhur pada hari Aidilfitri. Sebelum meninggal dunia, beliau berpesan bahawa jika beliau meninggal dunia nanti jenazahnya dikafankan dengan tiga helai kain, tanpa baju dalam dan tidak memakai serban. Pesanannya itu dilaksanakan dengan baik oleh masyarakat setempat. Beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang zuriat.



Disalin dari : Sahih Al-Lu'lu Wal Marjan Karya Muhammad Fuad Abdul Baqi'


___________________________
~ Abu Taqiyuddin ~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments