Keghairahan Menulis Nama Di Sejadah

OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Sekarang timbul trend baharu, menulis nama di sejadah. Ketahuilah olehmu bahawa perbuatan ini adalah mungkar dan boleh menjerumuskan kepada kemungkaran lain.

Dan kemungkaran lain itu sudah pun timbul, apabila nama yang pada mulanya diletakkan di bucu kiri atau kanan, kini diletakkan betul-betul di depan. Tergamaknya mereka solat, bersujud dengan nama manusia berada di tempat sujud?
Untuk apa semua ini? Apakah ini suatu keperluan yang mendesak? Adakah kita akan menjadi lebih khusyuk jika nama kita dapat melihat nama kita semasa solat, atau sebenarnya mengganggu konsentrasi kita, dan juga konsentrasi orang lain, jika sejadah itu digunakan ketika solat berjemaah?
Perkara ini barangkali mudah membiak subur kerana didahului oleh amalan seperti menggantung nama Nabi SAW di arah kiblat, yang bagi mereka tidak ada apa-apa salah, malah baik dan patut. Mereka tidak memberati ke arah mana mereka hadapkan kepala, dan di atas apa mereka letakkan dahi.
Pasti ada yang melenting. Barangkali kata mereka, ini tiada apa-apa pun. Kamu sahaja yang melebih-lebih. Ini seperti logo di kopiah, atau seperti lukisan Kaabah di sejadah. (Seolah-olah lupa bahawa Kaabah memang arah kita bersolat, atau tiada yang mengingkari perbuatan mengadakan lukisan Kaabah di sejadah.)
Cukuplah. Kepada peniaga-peniaga, mohon cari rezeki dengan cara lain. Dan kepada orang ramai, ketahuilah bahawa kita boleh menghadiahkan sejadah tanpa meletakkan nama orang yang tersayang. Yang sudah ada sejadah seperti ini, hapus nama jika mampu. Jika tidak, tutup dengan kain. Jika tidak, gunakan sebagai alas duduk sahaja.

Comments