Jadilah Orang Yang Menuntut Ilmu

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Saya lihat ramai orang awam bersungguh-sungguh melakukan ketaatan, tetapi sambalewa dalam menuntut ilmu. Amalannya semakin lama semakin bertambah, tetapi ilmunya di takuk lama dan tidak berubah.

Saya tidak kata mereka tidak langsung menambah ilmu, tetapi ilmu mereka sekadar dari kuliah maghrib dan khutbah Jumaat, atau yang lebih baik akan mengikuti kuliah dan membaca artikel dari Internet.

Namun, itu tidak memadai. Kuliah maghrib dan khutbah Jumaat secara umumnya lebih kepada tazkirah dan motivasi. Jika bercakap soal hukum, maka lebih kepada fardu ain dan secara berlapik-lapik. Walhal banyak lagi perkara yang perlu diketahui dan difahami oleh umat Islam pada hari ini.

Oleh yang demikian, kita perlu menjadi penuntut ilmu dalam erti kata sebenarnya. Ya, kemampuan seseorang itu berbeza-beza. Jadi, berusahalah untuk mencapai tahap yang lebih baik mengikut kemampuan masing-masing. Kalau perlu merangkak, merangkaklah tetapi jangan berhenti, kerana berhenti daripada belajar bererti bersedia untuk menjadi bodoh.

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas‘ūd daripada enam jalan yang lemah dan mursal – dan daripada Nabi SAW, Abū al-Dardā’, dan al-Ḥasan al-Baṣrī dengan sanad yang lain yang tidak sahih –: “jadilah orang yang alim, atau penuntut ilmu. Janganlah menjadi selain daripada itu. Jika tidak boleh, maka sayangilah ulama dan jangan benci mereka.”

Dalam riwayat yang sahih, ‘Umar b. ‘Abd al-‘Azīz dibacakan kata-kata ini, lalu katanya “subhanallah, Allah telah menjadikan baginya jalan keluar.”



___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments

Post a Comment