Apakah Hukum Minum Air Ketum?

OLEH: Zulfikar Egar

Satu soalan pernah ditanyakan kepada Ustaz Muhammad Asrie Sobri. Apakah hukum minum air ketum?


Jawab Ustaz Muhammad Asrie Sobri.

Secara asasnya, daun ketum adalah pohon tumbuh-tumbuhan yang suci. Bukanlah najis dan airnya mempunyai manfaat dan khasiat tertentu dalam perubatan seperti yang disebut dalam beberapa kajian.

Namun jikalau ia diambil secara berlebih-lebihan, ia boleh membawa kepada ketagihan. Maka ini dilarang dalam Islam, kerana kita dilarang melakukan perkara-perkara yang membawa kepada ketagihan. Sama juga seperti mengambil ganja dan dadah-dadah yang lain.

Maka tidak boleh mengunakan benda ini tanpa tujuan yang benar. Ada pun jikalau betul ia hendak digunakan sebagai ubat-ubatan, maka mestilah mendapatkan nasihat, tunjuk ajar dan diberikan dosnya oleh doktor yang diiktiraf keilmuannya dalam perubatan, dengan kadarnya. Dan sesuai dengan tahap sakitnya.

Ada pun jika sengaja meminum air ketum ini, sehingga kemudiannya menjadi tabiat dan ketagihan. Maka ini adalah haram.

Dan lebih haram lagi jikalau ia dicampur dengan perkara-perkara lain yang membuatkannya bila diminum, menjadi khayal.

Jikalau sampai ke tahap khayal atau mabuk. Maka tidak syak lagi ia adalah arak dan air itu adalah najis, tidak boleh diminum.

Apatah lagi diguna pakai kerana ia adalah najis apabila ia menjadi arak.

Wallahualam.



*Rujukan:
- Q & A Yayasan Ta'lim (Ustaz Muhammad Asrie Sobri)


___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments