OLEH: Ustaz Ahmad Fauzan Yahaya
Kita baru saja selesai urusan sambutan Maulidur Rasul. Kalau minggu lepas kita sibuk bicara kehebatan, keagungan dan kegemilangan Rasulullah, ada juga yang sanggup berpanasan dan berpenat lelah menganjur perhimpunan gergasi lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang kita lihat berhimpunnya mereka adalah untuk memperjuangkan dan menzahirkan kasih sayang mereka terhadap Rasulullah.
Artikel ini menjelaskan tentang budaya sambutan perayaan di Malaysia, malah ia sudah seakan-akan sebati dengan kehidupan masyarakat kita. Kita bimbang budaya ini akan terus berkembang dengan menjadikan agama dan syiar Islam sebagai bermusim dan bukan untuk amalan sepanjang masa dan tempat.
Februari ini boleh kita namakan ia sebagai bulan perayaan. Di sana ada sambutan Maulidur Rasul bagi masyarakat Islam, dalam masa sama ada juga perayaan bagi agama lain iaitu Thaipusam. Dalam tulisan ini, kita tidak ingin menyentuh tentang kedua-dua perayaan dalam masyarakat 1 Malaysia ini, namun ingin mengajak mereka bergelar Muslim, bersiap sedia untuk menyambut Hari Kekasih atau masyhur dengan nama Valentine Day.
Hari Kekasih ini telah dihebohkan di radio dan televisyen pula sibuk untuk menayangkan cerita atau filem-filem berunsur cinta demi membangkitkan “syiar” Hari Kekasih ini. Tidak sampai seminggu syiar Maulidur Rasul dibangkitkan, rasa cinta terhadap Nabi diterjemahkan dengan alunan nasyid, program-program keagamaan di pelosok masjid dan institusi tanah air, sekarang seakan “syiar” itu tumbang dan disisihkan dengan munculnya Hari Kekasih ini.
Persoalannya, dari manakah asal perayaan Hari Kekasih ini? Adakah ia kebanggaan agama Islam utusan Rasulullah SAW? Saya ingin mengambil kesempatan yang ada ini untuk berkongsi, dalam masa sama menasihati pembaca tentang realiti Hari Kekasih ini, agar semua yang membaca mengubah haluan dan niat untuk menjadi hari ini sebagai tanda cinta kepada pasangan masing-masing. saya tidak ingin bahas soal Hari Kekasih yang berpacaran tanpa ikatan sah di sisi agama dan syariat, tapi mungkin sebagai mesej dan peringatan bagi pasangan suami isteri, atau bagi mereka yang cenderung untuk membuktikan tanda kasih sayang mereka sempena Hari Kekasih ini.
Secara ringkasnya valentine ialah nama seorang paderi – Pedro St Valentino. 14 Februari 1492 merupakan hari kejatuhan kerajaan Islam Sepanyol. Pada hari itu, St Valentino telah mengiystiharkan sebagai hari ‘kasih sayang’ atau hari yang sesuai untuk manusia berkasih sayang kerana bagi paderi itu, Islam merupakan agama yang menolak kasih sayang dan zalim kepada manusia. Maka, tumbangnya kerajaan Islam di Sepanyol dirayakan sebagai Hari Valentine.
Sejarah lain mengaitkan perayaan masyarakat Rom kuno sebelum datangnya Kristian yang dinamakan Lupercalia. Mengikut kepercayaan mereka, Lupercalia merupakan upacara penyucian dan pembersihan jiwa yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari dan banyak lagi kisah di sebalik Hari Kekasih yang ditunggu-tunggu oleh pasangan. Amatlah malu andainya kita yang baru seminggu berada dalam suasana kelahiran Rasul, tidak segan silu mengangkat syiar kuffar (orang-orang kafir) ini dalam kehidupan kita.
ALLAH telah mengingatkan kita dalam firman-Nya “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan ALLAH. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap ALLAH).” (Surah Al-An’am : 116). Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW “Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka” (HR Abu Dawud:4031, Al-Albani dalam Shahih Al-Jami;2831).
Ini dikuatkan lagi dengan dalil-dalil yang lain bahawa Islam mempunyai tatacara dan metodologi atau manhaj yang tersendiri untuk umatnya. Ia telah disebut dalam al-Quran “Dan bagi setiap umat itu, telah Kami jadikan (bagimu) satu syariat yang tertentu untuk mereka patuhi, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus. (Surah al-Hajj : 67). Ayat ini telah disokong dengan peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah melalui kisah riwayat Anas bin Malik yang mana beliau berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah ketika mana masyarakatnya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) pada masa jahiliah. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang jauh lebih baik, dan ia adalah Aidiladha dan Aidilfitri.” – (Hadis riwayat al-Nasaai, dan juga Abu Dawud dalam Kitab Solat Dua Eid)
Cukuplah dalil-dalil di atas menjadi panduan Muslim untuk beriman atas apa yang diturunkan oleh ALLAH dan Rasul serta menjadi insan yang bermanhaj dan berprinsip dalam hal-hal ini. saya pernah ditanya akan perihal Hari Kekasih ini, adakah salah dan haram bagi kita memberi hadiah kepada insan yang disayangi seperti isteri, suami ataupun bakal pasangan kita? Nabi menggalakkan umatnya memberi hadiah sebagaimana hadis ‘berilah hadiah di kalangan kamu, sesungguhnya hadiah itu dapat menghilangkan perasaan marah dan dendam’ (Imam Syaukani, Nailul Author, 6/101) Walaupun majoriti kalangan ulama hadis melemahkan hadis tersebut, namun Islam tidak pernah melarang kita beri hadiah dan berkasih sayang, malah memberi hadiah tidak menjadi kesalahan, tidak kira apa bentuknya, tetapi menjadi masalah, kenapa tarikh tersebut dijadikan pilihan? Mengapa tidak 364 hari yang lain ? Malah dari segi ekonominya pula, harga barangan seperti coklat dan bunga ros yang menjadi hadiah utama telah naik berlipat kali ganda sempena hari kekasih ini. Mengapa kita harus sama dengan mereka? tidakkah Rasulullah SAW menyebut di dalam hadis ‘berbezalah dengan al-yahud (Yahudi)’( Al-Suyuti, dalam Al-Jami’ Al-Saghir :no 3879). Amat teruk lagi, jika Hari Kekasih ini dengan alasan ingin dihalalkan, ada pihak telah melakukan proses islamisasi seperti menukar Hari Kekasih ini menjadi ‘Hari Suami isteri’, ada juga yang kononnya meniup semangat syariat Islam bahawa Hari Kekasih ini boleh disambut dengan cara Islam? Moga mereka ini diberi petunjuk. Lupakah kita dengan hadis Nabi dalam isu puasa Muharam yang Rasulullah sanggup menukar tarikh puasa dari 10 kepada 9 Muharam semata-mata ingin menyelisihi kaum Yahudi pada masa itu?
Kesimpulannya, berhati-hatilah dengan amalan dalam keghairahan kita mengikut sesuatu perkara. Saya berharap dalam media cetak dan elektronik mempromosikan Hari Kekasih ini, adalah lebih baik bagi kita agar menguar-uarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 yang mengatakan ia jelas dari Kristian dan wajib dijauhi oleh umat Islam dan jelas boleh meruntuhkan aqidah umat Islam
___________________________
Ustaz Abu Sufian Bin Shafie
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment