Telaga Biru dan Imam Nawawi Wahabi?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi





Dalam kenyataan ini terdapat beberapa kesilapan disebabkan kecuaian atau kejahilan penulisnya. Saya menerangkannya melalui noktah-noktah berikut:

1. Buku ini bukan terjemahan Riyad al-Salihin oleh Imam al-Nawawi. Jelas terpampang di kulit buku bahawa ia adalah ringkasan kepada Riyad al-Salihin oleh Syeikh Yusuf al-Nabhani dengan judul Tahdhib al-Nufus fi Tartib al-Durus.

2. Syeikh Yusuf al-Nabhani antara penentang kuat aliran Wahabi. Jika benar pihak Telaga Biru mempunyai kaitan dengan Wahabi atau berfahaman Wahabi, adalah janggal untuk mereka menerbitkan buku musuh mereka seperti ini.

3. Terjemahan yang dibuat oleh penterjemah ialah "... beliau juga sudah mengingatkan kepada kita agar beramal berdasarkan hadis sahih" bukan "berdasarkan hadis sahih sahaja." Tambahan "sahaja" ini direka-reka oleh penulis kenyataan ini dan ia merosakkan makna.

4. Saya tidak berjaya menemui kitab Tahdhib al-Nufus fi Tartib al-Durus untuk mengesahkan kewujudan teks dan ketepatan terjemahan tersebut. Namun, yang pasti, kata-kata tersebut dinukilkan oleh Syeikh Ibnu 'Allan (1057) dalam syarahnya ke atas Riyad al-Salihin berjudul Dalil al-Falihin daripada Imam al-Bayhaqi menerusi perantaraan Imam al-Nawawi dan terjemahan tersebut tepat.

Teks tersebut juga dinukilkan oleh Syeikh Usamah Sa'id Mansi al-Maliki dalam catatannya ke atas Tahdhib al-Nufus fi Tartib al-Durus oleh Syeikh al-Nabhani tadi daripada Syeikh Ibnu 'Allan.

6. Cuma, kata-kata tersebut tidak didapati dalam mana-mana kitab Imam al-Bayhaqi, walaupun jelas Imam al-Nawawi menukilkan daripada beliau di dalam Rawdah al-Talibin.

7. Jadi, tiada isu Wahabi cuba melontarkan fitnah terhadap Imam al-Nawawi dan Imam al-Shafi'i. Imam al-Nawawi memang menukilkan demikian dalam kitabnya sendiri daripada Imam al-Bayhaqi.

8. Maksud kata-kata ini bukanlah bahawa Imam al-Shafi'i melarang menggunakan hadis-hadis lemah seperti yang difahami oleh penulis kenyataan tadi. Ia bermaksud bahawa umat Islam perlu mengamalkan dan mendahulukan hadis sahih berbanding hadis lemah dan dalil-dalil lain apabila bertembung.

Berkenaan dakwaan bahawa umat Islam digalakkan beramal dengan hadis da'if dan tuduhan bahawa Wahabi kerap menghukum palsu hadis-hadis da'if, saya rasa jawapannya boleh diagak berdasarkan "ilmu" yang ada pada penulisnya.

Wallahualam.

___________________________
 Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments