OLEH: Saufy Jauhary
"Sesiapa yang diberikan fatwa dengan fatwa yang tidak kukuh, sesungguhnya dosanya kepada pemberi fatwa."
(Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, ad-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi, al-Khatib)
"Sesiapa yang diberikan fatwa tanpa ilmu dosanya ke atas orang yang memberi fatwa kepadanya".
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Abdil Bar)
"Sesiapa yang memberi fatwa tanpa ilmu, para malaikat langit dan bumi akan melaknatnya."
(Riwayat Ibnu 'Asakir, al-Khatib dan Ibnul Jauzi, tetapi hadis ini telah dinilai dhaif oleh Syeikh al-Albani)
Sebab itulah generasi Salafussoleh takut untuk berfatwa sekalipun mereka itu 'Alim. Sehingga seorang ulama yang hidup dalam Abad pertama hijrah bernama Atha' bin Rabah rahimahullah mengatakan: "Aku telah berjumpa dengan sekumpulan manusia yang sekiranya salah seorang dari mereka ditanyakan soalan maka dia bercakap dalam keadaan menggeletar."
Imam Malik rahimahullah pernah berkata: "Sesiapa yang hendak menjawab sesuatu permasalahan, hendaklah dia membentangkan dirinya di hadapan syurga dan neraka sebelum menjawabnya, serta memikirkan bagaimanakah kesudahan dirinya di akhirat kelak dan kemudian barulah dia menjawabnya." Pernah seseorang mengatakan tentang Imam Malik: "Aku Melihat Imam Malik ditanyakan sebanyak 48 masalah. Beliau berkata pada 32 masalah: Aku tidak tahu."
Kerana itulah anak murid Imam Malik sendiri seperti al-Imam asy-Syafi'e rahimahullah pernah ditanyakan tentang suatu masalah, tetapi beliau hanya diam sehingga dikatakan kepadanya: "Tidakkah engkau mahu menjawabnya? Maka Imam Syafi'e berkata: "Sehinggalah aku tahu sama ada kebaikan itu pada diamnya aku atau pada jawabnya itu."
Wallahu a'lam
Rujukan: Sifat al-Mufti Wal-Mustafti
___________________________
Saufy Jauhary
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment