Covid-19 ialah Konspirasi Dajjal?

OLEH: Zulfikar Egar

Berhubung isu mengenai wabak Covid-19 ini. Satu soalan telah ditanya kepada Dr. Fathul Bari iaitu;

Ada sebahagian agamawan masih mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan seperti;

- Covid-19 adalah konspirasi dajjal.
- Jangan percaya Covid-19 ini, tawakkal sahaja kepada Allah Subhana Wa Ta'ala.
- Covid-19 tak boleh memudaratkan kecuali izin Allah Subhana Wa Ta'ala.

Apa pandangan Dr.?

Jawab Ustaz Dr. Fathul Bari. Beliau nak katakan di sini bahawa, benar segala sesuatu itu berlaku dengan izin dan kehendak Allah Subhana Wa Ta'ala.

Sebagaimana doa yang kita dituntut membacanya setiap hari bagi mengelak penyakit yang datang secara mengejut. Diajar oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam.

Yang bermaksud;

"Dengan nama Allah Subhana Wa Ta'ala. Dengan nama-Nya ini. Tidak akan berlaku sebarang mudarat di langit atau di bumi. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui akan segala sesuatu."

Jadi ustaz ingin katakan di sini, benar. Penyakit, wabak, bala bencana termasuk Covid-19 ini datang dan berlaku dengan izin Allah Subhana Wa Ta'ala.

Tetapi adakah kita tidak dituntut untuk berusaha mencegahnya?

Jadi ini adalah teguran beliau kepada sebahagian agamawan-agamawan dan tokoh-tokoh agama yang berbicara seolah-olah menafikan usaha dan bergantung kepada tawakkal sepenuhnya.

Kita kena ingat. Ini soal akidah. Terdahulu ada golongan yang pernah dikategorikan sebagai sesat oleh ulama' Ahli Sunnah Wal Jamaah keseluruhannya.

Iaitu golongan Jabariyyah yang bergantung kepada tawakkal, serah segala-galanya kepada Allah tanpa usaha.

Kita kena ingat. Tawakkal ia datang sebelumnya. Sebelum tawakkal itu adanya usaha. Selepas usaha, baru kita tawakkal. Dan kemudian kita reda dengan ketentuan Allah Subhana Wa Ta'ala.

Apa usaha yang kita buat? Apa usaha yang kita lakukan?

Kerajaan kata;
- Jangan kita berkumpul dan berhimpun beramai-ramai di satu tempat.
- Jangan kita buka kedai-kedai makan, tempat-tempat berhimpun yang umum, yang boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

Kemudian kita menjawab kita tawakkal. Mana mungkin?

Ini berasaskan kajian sains.
- Islam menerima sains.
- Islam menerima teknologi terkini.
- Islam menerima perubatan terkini.
- Islam mengiktiraf teknologi-teknologi.

Bukan Islam menolak. Jangan melihat Islam dari perspektif sangat rigid. Jadi telah terbukti 790 jangkitan dan 2 kematian. (*pada masa soalan ini dijawab).

Dan salah satu antara punca penularan wabak ini adalah kerana perhimpunan di pusat tabligh.

Kita bukan bercakap (sebab berlaku) kerana Jemaah Tabligh, tidak. Tidak sama sekali.

Ustaz menghormati tokoh-tokoh tabligh di Malaysia ini. Tetapi ustaz nak beritahu bahawasanya, jangkitan itu berlaku di masjid.

Dan orang-orang ini keluar, balik, naik bas, singgah kedai makan. Pulang bertemu keluarga masing-masing lalu menyebabkan penularan itu berlaku secara cepat dan berkembang dengan cepat.

Dan tak semestinya Jemaah Tabligh sahaja. Orang solat jemaah di masjid sebagainya. Bukan kita salahkan masjid.

Kita bercakap soal penularan wabak ini berlaku dengan sentuhan, rembesan akibat daripada batuk. Akibat daripada selesema misalnya. Ketika kita bercakap dengan orang.

Kemudian kita pegang tangan di mulut kita lalu kita pegang di permukaan-permukaan tempat-tempat umum.

Pinggan, kaca, pintu. Kemudian pegang pemegang masa naik eskalator contohnya. Lift, tombol-tombol pintu dan sebagainya.

Yang mana kita tidak tahu mungkin kita dijangkiti. Waiyyazubillah, minta jauh daripada Allah Subhana Wa Ta'ala.

Jadi apa usaha kita? Islam tuntut usaha. Jadi jangan kita bercakap seolah-seolah kita menafikan ada usaha.

Bila melihat video yang tular, di mana tokoh daripada jemaah tertentu berkata;

"Di mana ada korona virus kita pergi ke situ".

Siapa yang ajar ini? Islam tak pernah ajar. Dalam sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam ada ajarkan. Kata nabi;

"Bila taun ada di suatu tempat, maka jangan kamu masuk di tempat tersebut. Bila ia berlaku di tempat yang kamu menetap di situ, kamu jangan keluar daripadanya."

Nabi sentuh 2 perkara;

i) Perkara pertama sekali, jangan atau elakkan diri kita daripada bahaya, jangan masuk ke tempat yang ada taun.

ii) Kedua. Nabi sentuh tentang soal sesama manusia. Kalau kamu dijangkiti di tempat yang ada taun. Tetap berada ditempat yang ada taun. Jangan kamu keluar daripada tersebut.

Kenapa? Kerana dibimbangi kamu mampu menjangkiti orang lain. 2 perkara ini merupakan usaha yang nabi ajar.

Takkan kita nak kata nabi tolak berusaha dan nabi hanya tawakkal sepenuhnya?

Benar kita bertawakkal, wajib bertawakkal. Tapi apa usaha kita?

Jadi diharapkan perkara ini perlu difahami dengan betul kerana ini bersangkut paut soal akidah. Dan apatah lagi pemerintah telah tetapkan.

Patuhi pemerintah dalam urusan yang makruf. Serah dan berikan kepercayaan kepada mereka.

Wallahualam.

*Rujukan:
- Dr. Fathul Bari Mat Jahya - #FatwaSongsang Tawakkal Tanpa Usaha? (19 Mac 2020)

___________________________
Zulfikar Egar
_____________________________

Comments