Kuda Terbang Nabi Sulaiman?

OLEH: Abu Nur Aisyah

Mungkin, kalau dahulu waktu kita kecil, pasti kita pernah melihat di kaca TV cartoon kuda bersayap atau terbaca di buku cerita waktu dahulu.

Bila berganjak dewasa, kita pun fikir Kuda bersayap hanyalah satu cerita rekayasa ataupun berfikir sebenarnya ia tidak pernah wujud pun.

Rupanya, kuda bersayap bukanlah satu dongeng. Ianya memang wujud dan ada pada zaman Nabi Sulaiman 'alaihissalam.

Di dalam kitab Kisah Sahih Para Nabi karya Syaikh Salim Bin 'Eid al-Hilali hafidzahullah, dicatatkan bahawa pada zaman Nabi Sulaiman terdapat dua puluh ribu (20k) kuda yang memiliki sayap.

Untuk menguatkan hujjah bahawa memang wujud kuda bersayap pada zaman Nabi Sulaiman, Syaikh membawakan satu hadith sahih dari kitab Sunan Abu Dawud.

Abu Dawud menceritakan, bahawasanya 'Aisyah radhiallahu 'anhu dia bercerita, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang dari perang Tabuk atau Khaibar, sedang pada lubang dinding rumahnya terdapat kain penutup. Lalu, angin berhembus dan meniupnya hingga kain penutup itu tersingkap dan terlihatlah boneka-boneka mainan 'Aisyah. Dengan nada bergurau beliau bertanya:

'Apa ini Wahai 'Aisyah?

Aisyah menjawab: 'Mereka adalah anak-anak perempuanku.'

Kemudian, beliau melihat di antara boneka itu terdapat seekor kuda yang mempunyai dua sayap. Maka beliau bertanya:

'Lalu apa yang aku lihat bahagian tengahnya itu?'

'Aisyah menjawab: 'Seekor kuda.'

Lebih lanjut beliau bertanya: 'Lalu, apa yang terletak di atasnya itu?'

'Itu adalah sayap' jawab 'Aisyah.

'Jadi, itu kuda yang mempunyai dua sayap?' sahut Rasulullah.

'Aisyah berkata: 'Tidakkah engkau mendengar bahawa Sulaiman mempunyai kuda yang juga bersayap?'

'Aisyah bertutur: 'Maka beliau shallallahu 'alaihi wasallam pun tertawa, sehingga aku sempat melihat gigi gerahamnya.'

Namun kuda-kuda ini telah disembelih oleh Nabi Sulaiman disebabkan ia membuat Nabi Sulaiman lalai dari mengingati Allah 'azza wa jalla. Boleh rujuk Surah Shaad : 30-33.

Gambar sekadar hiasan



___________________________
Abu Nur Aisyah

Comments