Menyusahkan Diri Sendiri

OLEH: Abu Nur Aisyah

Tadi selepas baca kisah Nabi Musa 'alaihissalam, di dalam buku Kisah Para Nabi, jilid 2 oleh Imam Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah, terdapat sub topik yang berjudul:

'Kisah Sapi Bani Israel'

Imam Ibnu Katsir membawakan potongan ayat dari surah al-Baqarah ayat 67-73, yang mengisahkan tentang perintah Allah 'azza wa jalla kepada Bani Israel untuk menyembelih seekor sapi betina.

Perintah penyembelihan itu disebabkan ada seorang lelaki yang kaya, dia dibunuh oleh salah seorang anak saudaranya. Beliau memiliki beberapa anak saudara, yang semua mereka mengharap kematian lelaki tersebut.

Mayat lelaki tersebut dibuang dijalan ketika ia dibunuh dimalam hari. Keesokannya orang-orang pun melihat mayat tersebut dan saling bertanya siapakah yang membunuhnya.

Maka ada yang mencadangkan agar masalah ini diajukan kepada Nabi Musa 'alaihi wasallam dan meminta Nabi Musa bertanyakan hal tersebut kepada Allah 'azza wa jalla. Maka Allah memerintahkan agar mereka menyembelih seekor sapi betina

Mereka pun pelik dan bertanya kepada Nabi Musa:

'Apakah kamu hendak menjadikan kami sebagai bahan ejekan?' (Al-Baqarah:67)

Mereka maksudkan, mereka mahu tahu siapakah yang membunuh lelaki kaya tadi, tetapi yang Nabi Musa katakan kepada mereka pula perkara yang lain/tiada kaitan dengan isu yang terjadi.

Nabi Musa menjelaskan yang baginda hanya mengatakan berdasarkan wahyu daripada Allah 'azza wa jalla.

Ringkasnya, Bani Israel pun cuba mempersulit keadaan dengan bertanya bagaimana bentuk, ciri dan warna sapi betina tersebut yang hendak disembelih. Mereka pun meminta kepada Nabi Musa memohon kepada Allah 'azza wa jalla agar menerangkan tentang ciri-ciri dan bentuk sapi betina tersebut. Nabi Musa pun memohon kepada Allah 'azza wa jalla dan memberikan maklumat yang mereka inginkan. Akhirnya mereka pun jelas dengan ciri dan bentuk sapi betina tersebut.

Seandainya mereka terus ikut perintah daripada Allah 'azza wa jalla, pasti masalah mereka akan segera selesai.

Setelah mereka jelas akan ciri dan bentuk sapi betina tersebut, disembelihlah sapi betina itu. Kemudian Allah 'azza wa jalla memerintahkan agar mayat tersebut dipukul menggunakan sebahagian tulang sapi betina tadi.

Mayat tersebut bangkit (dengan izin Allah 'azza wa jalla). Kemudian Nabi Musa bertanya kepadanya:

'Siapa yang membunuhmu?'

Dia menjawab: 'Anak saudaraku yang telah membunuhku' lalu dia mati kembali.

Wallahu'alam.



****
Dari kisah ini kita dapat pengajaran:

1. Manusia ni sifatnya memang suka buat benda yang menyusahkan diri sendiri. Lihatlah isu sekarang, pemerintah dah bagi arahan duduk dalam rumah, ada saja yang degil ke pantai, melancong dan berjoging.

2. Bukti bahawa Allah 'azza wa jalla bisa menghidupkan dan mematikan jika Dia berkehendak.

3. Kesabaran para Nabi menghadapi kaum mereka yang pelbagai tingkah dan cara. Seperi Nabi Musa menghadapi pelbagai permintaan dari kaumnya.

___________________________
Abu Nur Aisyah
_____________________________

Comments