Benarkah Baca Al-Quran Perlu Berwudhuk

OLEH: Zulfikar Egar

Ustaz Muhammad Fahmi Rusli ada menceritakan bahawa gurunya, As Syeikh Abu Haris Ali bin Hassan ibnu Abdul Hamid Al-Halabi Al-Atsari Hafizahullah atau lebih dikenali sebagai Syeikh Ali Halabi.

Bahawa As-Syeikh Ali Halabi pernah ditanya soalan oleh seseorang tentang betul ke kalau nak baca Al-Quran ini kena ambil wuduk? Betul ke kalau nak baca Al-Quran kena ada wuduk terlebih dahulu?

Bagi menjawab menjawab persoalan orang tersebut, As-Syeikh tidak syarah panjang dan tidak bahas ayat 79 dalam surah Al-Waaqiah,

لا يَمَسُّهُ إِلا الْمُطَهَّرُونَ
Laa yamassuhu ilaal muthahharuun.
(Tidak menyentuhnya, kecuali orang-orang yang disucikan)

Seperti yang Al-Quran sebut.

As-Syeikh tak bahas panjang. Tapi As-Syeikh cuma berkata kepada lelaki itu supaya cuba melihat contoh yang ada pada diri Imam Malik bin Anas.

Ketika Imam Malik bin Anas mengajar dan membaca kitab Muwata' di dalam Masjid Nabawi, telah menjadi satu tradisi dan budaya Imam Malik bin Anas itu sendiri apabila beliau datang ke masjid.

Beliau pasti akan mandi terlebih dahulu, ambil wuduk, pakai pakaian yang putih dan memakai minyak wangi.

Dan selepas sampai di masjid Nabawi lalu beliau akan solat sunat 2 rakaat.

Jadi perlakuan Imam Malik bin Anas ini bagaikan satu isyarat bahawa, kalaulah ada di kalangan ulama' muktabar seperti Imam Darul Hijrah Abdillah bin Anas Rahimahullah ini.

Bilamana hendak mengajar hadis Nabi S.A.W pun beliau akan mengambil wuduk terlebih dahulu, takkan kita yang nak baca Al-Quran hanya main mudah-mudah saja tak ambil wuduk?

Macam itulah maksud yang nak disampaikan oleh Syeikh Ali Halabi. Iaitu sebagai tanda kita memuliakan Al-Quran Al-Karim, mushaf Al-Quran sebagai kalamullah yang jauh lebih mulia daripada kalam mana-mana manusia selain Allah S.W.T.

Menyentuh sikit perihal Imam Darul Hijrah Abdillah bin Anas Rahimahullah ini.

Imam Malik bin Anas ini dahulu sewaktu di Madinah, beliau ada mengajar kitab Muwata' Imam Malik yang mana Imam As-Syafie pernah menyebut bahawa tidak ada selepas Al-Quran kitab yang paling sahih melainkan kitab Muwata' Imam Malik.

Ini adalah kata-kata Imam As-Syafie sendiri. Iaitu tidak ada selepas daripada Al-Quran ini satu kitab yang paling sahih melainkan kitab Muwata' Imam Malik.

Baik, mungkin akan timbul persoalan, mengapa Imam Syafie tidak sebut kitab Sahih Bukhari? Bukankah kitab Sahih Bukhari merupakan kita yang paling sahih selepas Al-Quran?

Maka di sini kita katakan adalah betapa pentingnya ilmu Tarikh (sejarah), di mana kita akan tahu bahawa Imam As-Syafie ini muncul terlebih dahulu sebelum wujud atau adanya jaguh hadis seperti Imam Al-Bukhari.

Kerana pada zaman Imam As-Syafie yang sudah pun menjadi ulama' besar. Imam Al-Bukhari masih lagi kanak-kanak.

Di mana Imam As-Syafie Rahimahullah ini lahir pada tahun 150 Hijrah dan wafat pada tahun 204 Hijrah ketika berusia 54 tahun.

Manakala Imam Al-Bukhari Rahimahullah pula lahir pada tahun 194 Hijrah iaitu 10 tahun sebelum Imam As-Syafie wafat. Dan Imam Al-Bukhari ini wafat pada tahun 256 Hjirah, pada pertengahan kurun yang ke-3.

Jadi pada waktu itu tidaklah pelik apabila Imam As-Syafie menyebut kitab Muwata' Imam Malik merupakan kitab yang paling sahih selepas Al-Quran kerana kitab Sahib Bukhari masih belum wujud lagi.

Lebih-lebih lagi Imam Malik bin Anas itu sendiri merupakan guru kepada Imam Syafie dan beliau wafat pada tahun 179 Hijrah.

Wallahualam.



Manfaat dari kuliah:
- Ustaz Muhammad Fahmi bin Rusli - Syarah Mukhtasar Zadul Maad (Februari 2020)

___________________________
ZulfikarEgar
_____________________________

Comments