Perlukah Kanak-Kanak Perempuan Solat Sambil Menutup Aurat?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Sedia maklum bahawa kanak-kanak perempuan tidak perlu menutup aurat seperti wanita dewasa, tetapi persoalannya, adakah mereka boleh atau sah bersolat tanpa tudung atau telekung? Mafhum mukhālafah hadis yang menjadi ‘umdah dalam bab ini, “Allah tidak menerima solat wanita berhaid (baligh) kecuali dengan khimār” menunjukkan solat mereka dalam keadaan tidak bertudung sah – sebagaimana sahnya haji yang dilakukan oleh kanak-kanak.

Mazhab Ḥanbalī mengguna pakai mafhūm mukhālafah ini. Kata Ibnu Qudāmah dalam al-Mughnī, “diambil kira syarat-syarat untuk solat kanak-kanak seperti solat orang yang sudah baligh, kecuali bahawa sabda Nabi SAW ‘Allah tidak menerima...’ menunjukkan sahnya solat perempuan yang belum berhaid tanpa khimar.” Selain disokong dengan mafhūm hadis tadi, pandangan ini bertepatan dengan athar salaf, antaranya athar Ibrāhīm al-Nakha‘ī, “ummu walad solat tanpa khimar, walaupun berusia 60 tahun.”

Berbeza pula dengan mazhab Shāfi‘ī, kanak-kanak perempuan wajib menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan ketika solat. Kata Khatib al-Sharbīnī dalam al-Iqnā‘, “[dan] kelima, [seluruh tubuh] wanita [merdeka] walaupun masih kecil dan mumayyiz [aurat] dalam solat [kecuali muka dan tapak tangan]...” Pandangan yang berdasarkan ta‘mīm dalil aurat wanita dewasa kepada kanak-kanak perempuan walau bagaimanapun tidak disokong dengan hadis mahupun athar.

Sama ada pendapat mazhab Shāfi‘ī atau mazhab Ḥanbalī yang rājiḥ dalam masalah ini, amalan mengajar kanak-kanak menutup aurat semasa solat - yang diamalkan hatta dalam kalangan masyarakat Saudi yang tidak menyuruh kanak-kanak perempuan berhijab daripada ajnabi - adalah tepat dan terbaik dari dua sudut: pertama, keluar dari khilaf; kedua, mendidik mereka solat seperti wanita dewasa.

Kesimpulan ini selari dengan pendapat Isḥāq b. Rāhawayh yang mengatakan, “dan berhijab - walau bagaimanapun – bagi kanak-kanak perempuan yang mencapai usia tujuh tahun lebih kami sukai, tatkala/kerana ia disuruh bersolat. Apabila berusia tujuh tahun, ia perlu bertudung semasa solat, dan berusaha berhijab seperti orang dewasa. Jika ia tidak melakukan demikian, solatnya sah - insya-Allah.”

Namun begitu, jika tiada tudung atau telekung, pandangan mazhab Ḥanbalī dan Isḥāq b. Rāḥawayh boleh digunakan, supaya kanak-kanak tetap boleh mengerjakan solat. Wallahualam.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments