Rasulullah Bukan Pelarian!

OLEH: Ustaz Zulfadhli Mohd Razi

Berkali-kali status sebegini melintasi dinding facebook saya, asalnya saya tidak mahu memberikan apa-apa ulasan, namun kerana ia melibatkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, maka perlu saya sebutkan beberapa perkara:

1- Berkenaan isu saudara seIslam kita Rohingya, biarlah ia diserahkan pada pihak kerajaan untuk mempertimbangkan kemaslahatan dan kemudaratannya, kerana ia merupakan tanggungjawab pemerintah berdasarkan kaedah تصرف الإمام منوط بالمصلحة.

2- Fokus saya adalah pada anggapan bahawa Nabi SAW merupakan seorang pelarian yang melarikam diri dari tanah air ke tempat asing. Apabila berbicara soal peribadi Baginda SAW, maka amat perlu untuk kita berwaspada dalam memilih ungkapan dan perkataan untuk di sandarkan kepada Bagida SAW agar tidak berlakunya salah faham.

3- Ramai dalam kalangan kita menganggap bahawa Madinah ada sebuah negeri yang sangat asing kepada Baginda SAW seakan-akan tidak ada hubungan langsung antara Baginda SAW dan bumi Madinah. Benarkah begitu?

4- Tidak begitu, sahabat. Baginda ada hubungan rapat dengan bumi Madinah. Ini dapat dilihat melalui:

- Nenda Baginda adalah keturunan Bani al-Najjar. Kita tahu susur galur silsilah junjungan besar SAW adalah Muhammad bin 'Abdullah bin 'Abd al-Muttalib bin Hashim.

Hashim mempunyai seorang isteri bernama Salma binti 'Amr bin Zaid bin Labid al-Najjar (Ibn Kathir, 1986) yang merupakan ibu kepada 'Abd al-Muttalib, datuk Nabi SAW.

Bani al-Najjar merupakan salah satu kumpulan yang menetap di bumi Madinah.

- Hubungan antara keluarga Nabi SAW dan Bani al-Najjar berlangsung dengan baik, ini dapat kita lihat melalui peristiwa kewafatan ayahanda Baginda SAW. Al-Zahabi (1927) menceritakan bahawa sewaktu 'Abdullah dalam perjalanan pula dari berniaga di Syam, 'Abdullah telah jatuh sakit sewaktu melintasi Madinah, lalu 'Abdullah berpesan:

أتخلف عند أخوالي بني عدي بن النجار
"Biarkan aku tinggal bersama bapa-bapa saudaraku Bani 'Adi bin al-Najjar"., sebulan selepas itu 'Abdullah meninggal dunia.

Baginda SAW juga pernah ke Madinah bersama ibu Baginda ketika Baginda berumur 6 tahun 3 bulan 10 hari. Tujuan ibu Baginda membawa Baginda ke Madinah adalah untuk menziarahi sedara mara Baginda dalam kalangan Bani al-Najjar, namun dalam perjalanan pulang ibu Baginda telah menghembuskan nafas di al-Abwa'. (Salim bin 'Id al-Hilali, 2017)

- Baginda di sambut oleh anak-anak wanita golongan Bani al-Najjar sewaktu tiba di bumi Madinah sambil mereka memukul "duf" dan mengalun-alunkan syair buat Baginda. (Riwayat Ibn Majah dan al-Baihaqi dengan sanad yang sahih)

- Setiba di Madinah, Baginda telah dijemput oleh penduduk-penduduk Madinah menjadi tetamu di rumah mereka, namun Baginda lebih memilih untuk tinggal di lingkungan Bani al-Najjar, sabda Baginda:
أنزل على بني النجار، أخوال عبد المطلب أكرمهم بذلك.
"Aku akan singgah di lingkungan Bani al-Najjar, bapa-bapa saudara kepada 'Abd al-Muttalib, aku ingin memuliakan mereka dengan cara tersebut". 
(Riwayat Muslim)

Nabi SAW bersabda:

أي بيوت أهلنا أقرب؟
"Rumah ahli keluarga kita manakah yang paling hampir?". Lalu Abu Ayyub al-Ansari menyatakan bahawa rumah beliaulah yang paling hampir, lalu Baginda pun menetap seketika di sana. 
(Riwayat al-Bukhari)

Antara faktor Baginda SAW bersetuju untuk tinggal di rumah Abu Ayyub al-'Ansari adalah kerana beliau juga daripada keturunan Bani al-Najjar. (Musa Rashid al-'Azimi, 2013)

- Tapak asal Masjid Nabi SAW berserta rumah Baginda bersama isteri-isteri Baginda adalah dalam lingkungan Bani al-Najjar yang dibeli oleh Rasulullah SAW daripada dua orang anak yatim daripada kalangan Bani al-Najjar, iaitu Suhail dan Sahl. (Riwayat al-Bukhari)

5- Itu adalah sebahagian fakta yang menunjukkan hubungan antara Nabi SAW dan bumi Madinah yang juga tempat tinggal saudara mara Baginda daripada keturunan Bani al-Najjar. Wallahua'lam.


___________________________
Ustaz Zulfadhli Bin Mohd Razi
_____________________________

Comments