Imam Malik Memakrukhkan Puasa Enam Hari Syawal?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Imam Mālik (179 H) makruf dengan banyak pendapat yang kontroversi kerana bercanggah dengan hadis yang sahih dan masyhur. Antaranya, pendapat beliau yang dikatakan memakruhkan puasa enam. Dalam al-Muwaṭṭa’, Yaḥyā al-Laythī mencatatkan:

وسمعت مالكا يقول في صيام ستة أيام بعد الفطر من رمضان إنه لم ير أحدا من أهل العلم والفقه يصومها ولم يبلغني ذلك عن أحد من السلف وإن أهل العلم يكرهون ذلك ويخافون بدعته وأن يلحق برمضان ما ليس منه أهل الجهالة والجفاء لو رأوا في ذلك رخصة عند أهل العلم ورأوهم يعملون ذلك.
“Dan saya mendengar Mālik mengatakan tentang puasa enam hari selepas berpuasa dalam bulan Ramadan bahawa beliau tidak pernah melihat mana-mana ahli ilmu dan fiqh melakukannya dan tidak sampai yang demikian itu kepada saya daripada mana-mana salaf. Ahli ilmu membencinya, bimbang akan kebidaahannya dan akan perbuatan orang jahil dan kasar menggandingkan sesuatu dengan Ramadan seandainya mereka melihatnya diberi kelonggaran dan diamalkan oleh ahli ilmu.”

Seperti biasa, para ulama mazhab Mālikī akan mencari keuzuran atau takwilan kepada pendapat yang zahirnya bertentangan dengan hadis seperti ini. Untuk pendapat ini secara khusus, ada yang mengatakan hadis tersebut tidak sampai kepada Imam Mālik, ada yang berpendapat ia makruh jikalau dilakukan secara waṣl (bersambung) dengan Ramadan, dan ada pelbagai alasan diberikan untuk mewajarkan pendapat ini.

Pada hemat saya, Imam Mālik bukan memakruhkan, tetapi tidak mensyariatkan puasa enam. Dan sebabnya zahir, iaitu tidak diketahui diamalkan oleh sahabat dan tabiin besar khususnya di Madinah sebagaimana kaedahnya. Alasan ini dimuktamadkan oleh Ibnu al-Ḥajib (646 H) dalam Jāmi‘ al-Ummahāt:

وكره مالك صيام ستة أيام بعد يوم الفطر وإن ورد للعمل.
“Dan Mālik memakruhkan puasa enam selepas Aidilftri, walaupun diriwayatkan, kerana amal (ahli Madinah).”

Hadis utama dalam bab ini iaitu hadis Abū Ayyūb al-Anṣārī RA memang diriwayatkan oleh rawi-rawi Madinah, tetapi masalah utamanya ia tidak diamalkan, dan ini antara ‘illah yang boleh mencacatkan hadis di sisi beliau. Kata Ibnu ‘Āshūr (1393 H) dalam Kashf al-Mughaṭṭā menghuraikan nas tadi:

أي: فهو ليس من السنة ولم يثبت بوجه تطمئن له النفس، ولو كان من السنة ما تركه أهل العلم والفقه والسلف.
“Yakni, maka ia bukan daripada sunnah dan tidak sabit dengan bentuk yang menenangkan hati. Sekiranya ia daripada sunnah, sudah tentu ahli ilmu dan fiqh serta salaf tidak meninggalkannya.”

Lagipun, dua riwayat masyhur hadis Abū Ayyūb al-Anṣārī itu, iaitu daripada jalan Ṣafwān b. Sulaym dan Sa‘d b. Sa‘īd daripada ‘Umar b. Thābir daripada beliau tidak terlalu kuat untuk dijadikan pegangan. Kata Imam al-Bājī (474 H) dalam al-Muntaqā:

وَسَعْدُ بْنُ سَعِيدٍ هَذَا مِمَّنْ لَا يَحْتَمِلُ الِانْفِرَادَ بِمِثْلِ هَذَا فَلَمَّا وَرَدَ الْحَدِيثُ عَلَى مِثْلِ هَذَا وَوَجَدَ مَالِكٌ عُلَمَاءَ الْمَدِينَةِ مُنْكَرِينَ الْعَمَلَ بِهَذَا احْتَاطَ بِتَرْكِهِ لِئَلَّا يَكُونَ سَبَبًا لِمَا قَالَهُ.
“Dan Sa‘d b. Sa‘īd ini termasuk rawi yang tidak diharapkan riwayatnya secara bersendirian seperti ini. Apabila datang hadis dengan keadaan seperti ini dan Mālik mendapati ulama Madinah mengingkari mengamalkannya, beliau mengambil langkah berhati-hati dengan meninggalkannya supaya tidak menyebabkan perkara yang disebutkan oleh beliau.”

Hadis Thawbān maula Rasulullah SAW yang sahih pula bukan hadis Madanī tetapi Shāmī, jadi berkemungkinan besar hadis ini tidak sampai kepada beliau. Perkara ini tidak pelik kerana banyak hadis yang masyhur dan sabit di sisi kita, tetapi jarang diketahui oleh ulama-ulama mutaqaddimīn.

Imam Mālik tidak bersendirian dalam pendapatnya tentang puasa enam ini, kerana ada ulama besar lain daripada pelbagai tempat turut meninggalkan dan mengingkarinya. Selain sahabat atau tabiin yang dimaksudkan oleh Imam Mālik dalam nas tadi, mereka termasuklah al-Ḥasan al-Baṣrī (110 H). Imam al-Tirmidhī meriwayatkan daripada Isrā’īl dengan sanad yang sahih, katanya:

كَانَ إِذَا ذُكِرَ عِنْدَهُ صِيَامُ سِتَّةِ أَيَّامٍ مِنْ شَوَّالٍ، فَيَقُولُ: وَاللَّهِ لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ بِصِيَامِ هَذَا الشَّهْرِ عَنِ السَّنَةِ كُلِّهَا.
“Apabila disebut di sisinya tentang puasa enam hari daripada bulan Syawal, dia mengatakan, ‘demi Allah, Allah telah meredai puasa bulan ini (Ramadan) daripada setahun seluruhnya’.”

Imam Abū Ḥanīfah (150 H) juga dikatakan memakruhkannya. Dalam kitab besar mazhab Ḥanafī, al-Muḥīṭ al-Burhānī oleh Ibnu Māzah (616 H) dicatatkan:

صوم ست من شوال مكروه عند أبي حنيفة رحمه الله متفرقاً كان أو متتابعاً.
“Puasa enam daripada Syawal makruh di sisi Abū Ḥanīfah rahimahullah secara terpisah-pisah mahupun berturut-turut.”

Demikian juga Abū Yūsuf (182 H) dalam satu riwayat, dan dalam riwayat lain beliau memakruhkannya dilakukan secara berturut-turut.

Setakat yang diketahui, amalan ini mula diamalkan meluas pada zaman Imam Mālik. Ma‘mar (154 H) dan Ibnu al-Mubārak (181 H) antara yang menggalakkan, tetapi dengan kaifiat tersendiri.

Dalam al-Muṣannaf disebutkan, “kata ‘Abd al-Razzāq, ‘dan saya bertanya Ma‘mar tentang puasa enam hari selepas Aidilfitri’ dan kata mereka kepadanya, ‘puasa itu dilakukan sehari selepas Aidiltri,” dan jawabnya:

معاذ الله إنما هي أيام عيد وأكل وشرب ولكن تصام ثلاثة أيام قبل ايام الغر أو ثلاثة أيام الغر أو بعدها وأيام الغر ثلاثة عشر وأربعة عشر وخمسة عشر.
“Ma‘ādha Allāh. Itu adalah hari-hari perayaan, makan, dan minum. Akan tetapi, puasa itu dilakukan tiga hari sebelum hari putih, tiga hari putih, atau selepasnya. Hari putih 13, 14, dan 15 hari bulan.”

Imam al-Tirmidhī mencatatkan:

وَاخْتَارَ ابْنُ الْمُبَارَكِ أَنْ تَكُونَ سِتَّةَ أَيَّامٍ فِي أَوَّلِ الشَّهْرِ.
“Dan Ibnu al-Mubārak memilih enam hari itu enam hari pertama pada awal bulan.”

Dikatakan bahawa Imam Mālik sendiri berpuasa enam, atau melakukannya secara diam-diam. Dakwaan itu, walau bagaimanapun, diragui. Ia hanya dinukilkan oleh Imam al-Qurṭubī (671 H) dalam tafsirnya daripada Muṭarrif dengan katanya:

وروى مطرف عن مالك أنه كان يصومها في خاصة نفسه.
“Muṭrif meriwayatkan daripada Mālik bahawa ia berpuasa untuk dirinya sendiri.”

Barangkali ia waham, kerana yang diriwayatkan daripada beliau dalam al-Nawādir wa-al-Ziyādāt hanyalah:

قال مطرفٌ: وإنَّمَا كره مالكٌ صيامها لئلا يُلحقَ أهلُ الجهلِ ذلك برمضانَ. وأما من رغبَ في ذلك لما جاء فيه، فلم يَنْهَه.
“Kata Muṭarrif, Mālik membenci berpuasa padanya (enam hari Syawal) supaya orang jahil tidak menggandingkannya dengan Ramadan. Sementara itu, orang yang menyukainya kerana riwayat-riwayat yang disebutkan tentangnya, beliau tidak melarangnya.”

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments