Islam Membenarkan Orang Bukan Islam Untuk Meminum Arak?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Terbaca tulisan seorang rakan bertajuk "Berkenaan Pesta Arak". Daripada kata-kata Ḥasan al-Baṣrī yang dinukilkannya, difahami bahawa beliau mahu mengatakan bahawa bukan Islam boleh mengadakan pesta arak kerana ia termasuk dalam hak mereka di negara Islam. Athar tersebut berbunyi:

إنما بذلوا الجزية ليتركوا وما يعتقدون، وإنما أنت متبع ولا مبتدع والسلام.
"Sesungguhnya mereka membayar jizyah agar mereka dibiarkan bebas mengamalkan apa yang mereka percaya. Engkau ('Umar b. 'Abd al-'Azīz) hanya perlu mengikut, bukan membuat hukum baru. [Wassalam]."

Saya tidak sempat menyemak sanad athar yang dipetiknya daripada kitab Ḥuqūq Ahl al-Dhimmah oleh Syeikh Abu al-A'lā al-Mawdūdī itu (dan kemudiannya saya cuba mencari sumbernya tetapi gagal). Walau bagaimanapun, saya ingin membantah kesimpulan yang dibuat.

Hal ini kerana kebebasan yang diberikan tidak lebih daripada untuk memiliki dan meminum arak. Ia sama seperti khinzir. Mereka dibenarkan menternak dan memakan khinzir, tetapi itu tidak bermakna mereka boleh menternak di kawasan berhampiran dengan orang Islam. Begitu juga walaupun mereka dibenarkan mengamalkan agama Kristian, tidak bermakna mereka boleh menzahirkan salib di mana-mana tempat yang mereka sukai.

Dalam athar yang diriwayatkan oleh al-Bayhaqī dalam al-Sunan al-Kubrā dengan sanad yang sekurang-kurangnya jayyid (alhamdulillah, kemudiannya saya mendapati Ibnu Kathīr juga mengatakan isnadnya jayyid) disebutkan bahawa ‘Umar b. al-Khaṭṭāb RA menulis surat kepada Ḥarām b. Mu'āwiyah, mengarahkan supaya:

أَدِّبُوا الْخَيْلَ , وَلَا يُرْفَعَنَّ بَيْنَ ظَهْرَانَيْكُمُ الصَّلِيبُ , وَلَا يُجَاوِرَنَّكُمُ الْخَنَازِيرُ
"Hendaklah kamu melatih kuda, dan janganlah kamu membiarkan salib diangkat di kalangan kamu, atau membiarkan khinzir ada berhampiran kamu."

Dalam athar lain yang mempunyai dua sanad - satunya ḍa‘īf jiddan dan satunya rawi mubham dan munqaṭi‘ - disebutkan perjanjian kafir zimmi dengan 'Umar b. al-Khaṭṭāb RA seperti berikut:

"... Kami tidak boleh menzahirkan salib kami di atasnya (gereja)... Kami tidak boleh membiarkan khinzir berhampiran mereka (orang Islam), kami tidak boleh menjual arak..."

Sebagai tambahan, arak pada hari ini mempunyai kemudaratan yang tidak pernah ada pada zaman sebelum ini iaitu menyebabkan kemalangan jalan raya. Dengan kata lain, arak yang dibenarkan diminum oleh bukan Islam pada zaman orang menunggang kuda dan unta bukan arak yang diminum pada zaman orang memandu motosikal dan kereta. Jadi, penghujahan bahawa Islam membenarkan bukan Islam meminum arak tidak releven.
Wallahualam.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments