Agama Ikut Sunnah, Bukan Petua

OLEH: Dr Idris Sulaiman


Ada pihak menyarankan untuk mendapat fadilat malam Lailatulqadar dianjurkan membaca surah al-Fatihah tiga kali, al-Zalzalah dua kali, al-Kafirun empat kali, al-Ikhlas tiga kali dan Yaasin sekali. 

Ini berdasarkan petua ulama, menurutnya. 
Perlu ditegaskan bahawa amalan ini tiada asasnya dalam al-Sunah dan tidak pernah dilakukan oleh generasi pendahulu umat Islam Salaf al-Soleh. 
Sebaliknya ia merupakan amalan rekaan semata-mata yang diada-adakan oleh pihak-pihak tertentu. 

Sedangkan Nabi ﷺ bersabda: 
مَنْ ‌عَمِلَ ‌عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.
"Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak."
[Sahih. Riwayat Muslim]

Tertolak yakni batil, tidak diterima Allah ﷻ. 
Justeru di samping ikhlas, apa jua amalan yang dilakukan haruslah menepati al-Sunah agar diterima Allah ﷻ serta diberi ganjaran pahala. 

Sabda Rasulullah ﷺ: 
‌تَرَكْتُ ‌فِيكُمْ ‌أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ رَسُولِهِ.
“Aku tinggalkan buat kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepada kedua-duanya; Kitab Allah dan Sunah RasulNya.” 
[Hasan. Riwayat Imam Malik] 

Kata Imam al-Syafie:  
وَأَنَّهُ لَا يَلْزَمُ قَوْلٌ بِكُلِّ حَالٍ إلَّا بِكِتَابِ اللهِ أوْ سُنَّةَ رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّ مَا سِوَاهُمَا تَبَعٌ لَهُمَا.
“Dan sesungguhnya tiada kata-kata yang wajib dalam apa jua keadaan melainkan Kitab Allah atau Sunah RasulNya ﷺ dan bahawasanya apa yang selainnya kembali kepada kedua-duanya.”   

Tambah beliau: 
"Umat Islam telah sepakat bahawa barang siapa sudah terjelas kepadanya 
Sunah Rasulullah ﷺ maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya kerana mengambil pendapat orang lain." 
[Ibnu al-Qayyim, I’lam al-Muwaqqi’in]




KESIMPULAN 
Ulama wajib dihormati tetapi kata-kata dan pendapat mereka perlu dinilai ikut dalil, dan bukan dijadikan dalil yang mengatasi Al-Quran dan hadis. Sedangkan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Nabi Muhammad ﷺ. 

CATATAN 
Malam Lailatulqadar dicari dengan memperbanyakkan amalan soleh, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan melaksanakan solat malam. 

[Gerakan PENA Malaysia]


Comments