Membina Masjid Di Atas Kubur

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Berpegang dengan hadis Nabi SAW, Imam al-Shāfi‘ī (204 H) – sama seperti ulama-ulama lain – sebenarnya tidak menggalakkan pembinaan masjid di atas kubur. Bahkan, beliau membencinya. Sama ada karāhiyah di situ dengan makna haram atau makruh tanzīh, ia bukan perkara yang diredai atau disukai, apalagi dibangga-banggakan dan dianggap syiar Ahli Sunnah.

Dalam al-Umm beliau menaskan:
وَأَكْرَهُ أَنْ يُبْنَى على الْقَبْرِ مَسْجِدٌ وَأَنْ يُسَوَّى أو يُصَلَّى عليه وهو غَيْرُ مُسَوًّى أو يُصَلَّى إلَيْهِ. وَإِنْ صلى إلَيْهِ أَجْزَأَهُ وقد أَسَاءَ أخبرنا مَالِكٌ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قال قَاتَلَ اللَّهُ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ لاَ يَبْقَى دِينَانِ بِأَرْضِ الْعَرَبِ
“Dan aku membenci masjid dibina di atas kubur dan ia diratakan, solat di atasnya dalam keadaan tidak diratakan, atau solat menghadapnya. Kalau seseorang solat menghadapnya, sah tetapi ia tidak elok. Mālik mengkhabarkan kepada kami bahawa Rasulullah SAW bersabda, 'laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani. Mereka menjadikan kubur-kubur nabi mereka sebagai masjid. Tidak akan kekal dua agama di tanah Arab'."

Selepas itu, beliau menjelaskan:
وَأَكْرَهُ هذا لِلسُّنَّةِ وَالآثَارِ وَأَنَّهُ كُرِهَ وَاَللَّهُ تعالي أَعْلَمُ أَنْ يُعَظَّمَ أَحَدٌ من الْمُسْلِمِينَ يَعْنِي يُتَّخَذُ قَبْرُهُ مَسْجِدًا ولم تُؤْمَنْ في ذلك الْفِتْنَةُ وَالضَّلاَلُ على من يأتى بَعْدُ فَكُرِهَ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ لِئَلَّا يُوطَأَ فَكُرِهَ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ لأَنَّ مُسْتَوْدَعَ الْمَوْتَى من الأَرْضِ ليس بِأَنْظَفِ الأَرْضِ وَغَيْرُهُ من الأَرْضِ أَنْظَفُ.
“Dan aku membenci perbuatan ini kerana sunnah dan athar. Dan – wallahualam – adalah dibenci seseorang daripada umat Islam diagung-agungkan – yakni, menjadikan kuburnya sebagai masjid – dan hal itu tidak selamat daripada mendatangkan fitnah dan kesesatan ke atas orang yang datang selepas itu, lantas ia dibenci – wallahualam – supaya ia tidak dipijak, lantas ia dibenci – wallahualam – kerana tanah tempat mayat dikebumikan bukanlah tanah yang paling bersih. Tempat lain lebih bersih.”

Ayat "lantas ia dibenci – wallahualam – supaya ia tidak dipijak, lantas ia dibenci – wallahualam" tidak difahami. Walau bagaimanapun, ulama-ulama yang menukilkan kata-kata ini memotongnya setakat "mendatangkan fitnah dan kesesatan ke atas orang yang datang selepasnya" sahaja.
Wallahualam.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments