Hadis Tentang Allah Di Langit Daripada Imam Malik Itu Hadis Dhaif?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Abu Dawud dalam Masa'il al-Imam Ahmad meriwayatkan daripada Imam Ahmad, daripada Surayj b. al-Nu'man, daripada 'Abd Allah b. Nafi', daripada Imam Malik, katanya:

“Allah di langit dan ilmu-Nya di mana-mana. Tidak ada tempat yang tidak diliputi ilmu-Nya.”

Athar ini dipertikaikan oleh pihak Asha'irah kerana kononnya 'Abd Allah b. Nafi' bermasalah. Namun, selepas meneliti penilaian-penilaian ulama terhadap 'Abd Allah b. Nafi', saya mendapati kelemahan beliau tertumpu pada hafalan hadis sahaja. Adapun aqwal Imam Malik, beliau antara yang paling arif. 

Abu Talib berkata:

"Aku bertanya Abu 'Abd Allah (Imam Ahmad) tentang hadis 'Abd Allah b. Nafi' ini. Beliau pun menolaknya dengan keras. Ini bukan hadis marfu'. 'Abd Allah b. Nafi' munkar al-hadith. Aku pernah lihat dan duduk bersamanya. Beliau termasuk dalam kalangan murid Malik dan orang yang paling alim mengenai kata-kata/pendapat beliau. Beliau menjadi mufti/memberi fatwa di Madinah dan merupakan lelaki yang soleh. Aku bertanya: jadi apa masalahnya? Jawab beliau: beliau bukan ahli hadis dan tidak tahu tentangnya. Hadis-hadisnya munkar."

Jadi, pada hemat saya, seharusnya dibezakan antara penilaian ke atas hadis dengan penilaian ke atas athar Imam Malik yang diriwayatkan beliau. Hadis yang diriwayatkan oleh beliau memang sepatutnya dilemahkan, tetapi tidak untuk kata-kata Imam Malik kerana "beliau termasuk dalam kalangan murid Malik dan orang yang paling alim mengenai kata-kata/pendapat beliau," seperti kata Imam Ahmad. Daripada situ disimpulkan bahawa sanad athar ini sahih atau sekurang-kurangnya hasan.

Athar ini begitu jelas menunjukkan bahawa pegangan Imam Malik sebagai salah seorang pemimpin ulama salaf adalah beriman dengan sifat 'uluww Allah. Kata-kata Imam Malik ini menjelaskan kepada kita bahawa tidak ada percanggahan antara nas-nas al-Quran dan sunnah bahawa Allah di langit (di atas arasy) dengan nas-nas yang menunjukkan Dia berada di mana-mana. Yang dikatakan maha tinggi di atas arasy itu zat Allah manakala yang dikatakan berada di mana-mana itu ilmu-Nya.

Mengatakan bahawa maksud "di langit" bagi Imam Malik adalah kinayah bagi menunjukkan kemahamuliaan, keagungan, dan sebagainya adalah takwilan yang jauh. Lagipun, tidak ada seorang Muslim baik Ahl al-Sunnah mahupun ahli bid'ah yang mengatakan sebaliknya sehingga memerlukan Imam Malik membuat penjelasan.

Oleh itu, takwilan yang dilakukan oleh ulama Malikiyyah dan ulama-ulama lain ke atas kata-kata Imam Malik ini tidak terpakai sama sekali kerana kata-kata Imam Malik ini sangat jelas dan takwilan mereka semata-mata mahu membenarkan akidah Asha'irah yang mereka anuti. 

Tambahan pula, pegangan ini turut dinaskan oleh Imam Ibnu Abi Zayd, ulama besar dalam mazhab Maliki yang digelar "Malik al-Saghir" dalam kitabnya yang dikenali dengan nama Risalah Ibn Abi Zayd yang merupakan antara rujukan terpenting dalam mazhab tersebut selepas al-Muwatta' dan al-Mudawwanah oleh Imam Malik. Katanya:

"... Dan bahawasanya Dia berada di atas arasy-Nya yang mulia dengan zat-Nya dan berada di setiap tempat dengan ilmu-Nya..."

___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments