Petua Mandi Wajib Malam Di Rumah Mentua? Keutamaan Wanita Solat Di Rumah Berbanding Masjid?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Dua catatan pagi ini berkenaan ilmu agama.

Pertama, tentang petua atau tip mengelak malu mandi wajib di rumah mentua dengan memulakan mandi wajib pada malam dengan membasuh kepala sahaja, manakala bakinya dibasuh pada pagi. Saya mendengar tip ini dari ustaz di sekolah. Ia memang tiada dalam sunnah atau kitab, kerana ia tip semata-mata, berdasarkan hukum fiqh dalam mazhab kita yang mengatakan tidak disyaratkan muwālāt (berturut-turut) untuk mandi wajib.

Barangkali ia seperti petua mengelak malu kerana terkentut semasa solat berjemaah dengan keluar sambil memegang hidung kononnya hidung berdarah, atau petua mengelak waswas semasa istinjak daripada kencing dengan cara merenjis kain (tetapi ini ada asas daripada hadis).

Kedua, hadis Abū Dāwūd tentang keutamaan solat wanita di rumah berbanding solat di masjid tidak sahih, walaupun disahihkan oleh al-Albānī. Hal ini kerana tidak sabit samā‘ antara Qatādah dengan Muwarriq dan ia sebenarnya sebahagian hadis “wanita aurat” yang sahihnya adalah mawqūf pada Ibnu Mas‘ūd RA.

Mengambil kesempatan ini, saya ingin mengingatkan bahawa hadis riwayat Imam Aḥmad, “memang aku tahu bahawa engkau suka solat bersamaku. (Tetapi,) solatmu di dalam bilik tidurmu lebih baik daripada solat di ruang rumahmu...” yang saya sahihkan dalam “Seruling Syaitan” sebenarnya ma‘lūl. Dalam buku itu saya sebutkan:

“Diriwayatkan oleh Imam Aḥmad dalam Musnad al-Imām Aḥmad ibni Ḥanbal; op. cit; j. 45, h. 37 dengan sanad yang sahih. ‘Abd Allāh b. Suwayd sama ada sahabat atau tabiin yang thiqah.”

Sebetulnya begini:

“Diriwayatkan oleh Imam Aḥmad dalam Musnad al-Imām Aḥmad ibni Ḥanbal; op. cit; j. 45, h. 37 dengan sanad yang ḍa‘īf. ‘Abd Allāh b. Suwayd sama ada sahabat atau tabiin yang thiqah. Ada kemungkinan kecil beliau ialah ‘Abd Allāh b. Suwayd b. Ḥayyān, tabiin yang ṣadūq. Tetapi, berlaku inqiṭā‘ kerana Dāwūd b. Qays tidak pernah mendengar daripada ‘Abd Allāh b. Suwayd.”

Wallahualam.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments