Status Hadis Tentang Akhir Ayat Surah Al-Hasyr

 OLEH: Ustaz Zulfadhli Bin Mohd Razi

Saya ditanya berkenaan status kesahihan hadith ini. Secara ringkasnya:

Al-Imam al-Baihaqi telah meriwayatkannya dalam Shu'ab al-Iman (hadith nombor 2271), al-Imam al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (jld 14 m/s 452), al-Imam Ibn 'Adi dalam al-Kamil Fi Dhu'afa' al-Rijal (juz 3 m/s 317-318) dan lain-lain melakui jalur sanad daripada Abi 'Uthman daripada Muhammad bin Ziyad daripada Abi Umamah secara marfu'.

Hadith tersebut adalah hadith munkar, bahkan sebahagian ulama menilainya sebagai palsu. Puncanya adalah terletak pada perawi bernama Abu 'Uthman al-Fawzi, nama beliau adalah Sulaim bin 'Uthman al-Tha'ei al-Himsi. Al-Imam Ibn 'Adi berkata:

"Beliau telah meriwayatkan daripada Muhammad bin Ziyad al-Alhani riwayat-riwayat yany munkar". (Al-Kamil Fi Dhu'afa' al-Rijal, juz 3 m/s 317, biografi nombor 776).


Al-Hafiz al-Zahabi turut membawakan hadith ini dan beberapa hadith lain yang diriwayatkan oleh Abu 'Uthman Sulaim bin 'Uthman, lalu al-Hafiz al-Zahabi berkomentar:

"Abu Zur'ah berkata: Hadith-hadith ini adalah palsu". (Mizan al-I'tidal, juz 3 m/s 324)


Berhubung bacaan 3 ayat akhir surah al-Hashr sebagai bacaan siang dan malam, terdapat hadith lain dengan lafaz yang berbeza, iaitu Baginda SAW bersabda:

"Sesiapa yang ketika pagi membaca sebanyak tiga kali: أعوذ بالله السميع العليم من الشيطان الرجيم dan membaca tiga ayat akhir surah al-Hashr, Allah akan mengirimkan 70 ribu malaikat bertujuan berselawat untuknya hingga masuk waktu petang. Sekiranya dia mati pada hari tersebut, dia mati shahid. Dan sesiapa yang membacanya ketika waktu petang, maka sama dengan kedudukan tersebut".

Hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dalam Musnad beliau, al-Imam al-Tirmizi dalam Sunan beliau (hadith nombor 2922), al-Imam Ibn al-Sunni dalam 'Amal al-Yawm Wa al-Lailah (hadith nombor 81) dan lain-lain melalui jalur sanad daripada Khalid bin Thahman daripada Nafi' bin Abi Nafi' daripada Ma'qil bin Yasar daripada Nabi SAW.


Sanad bagi hadith ini adalah dha'if kerana terdapat seorang perawi bermasalah iaitu Khalid bin Thahman. Seusai membawakan hadith ini, al-Imam al-Tirmizi berkomentar:

"Ini adalah hadith gharib, tidak kami ketahuinya melainkan melalui jalur sanad ini".


Al-Shaikh al-Albani ketika berkomentar terhadap hadith ini, beliau berkata:

"'Illahnya adalah Khalid. Ibn Ma'in berkata: 'Dha'if, telah berlaku kecelaruan (nyanyuk) 10 tahun sebelum kematian beliau. Sebelum itu, beliau merupakan seorang yang thiqah'". (Irwa' al-Ghalil, juz 2 m/s 58).


Tidak dapat dipastikan sama ada murid Khalid bin Thahman mengambil hadith ini daripada beliau sebelum atau selepas beliau mengalami ikhtilath, namun besar kemungkinan kebanyakkan murid-murid yang mengambil hadith daripada beliau adalah selepas beliau mengalami ikhtilath kerana melihat pada lama tempoh beliau mengalaminya. (Ikhtilath al-Ruwah al-Thiqat oleh Dr 'Abd al-Jabbar Sa'id, m/s 71)

والله أعلم.

___________________________
Ustaz Zulfadhli Bin Mohd Razi
_____________________________

Comments