OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Semasa belajar dulu, kami dikejutkan dengan kumpulan ateis Melayu di Facebook. Saya sempat membaca kritikan mereka kepada Islam kerana kononnya mendakwa bahawa penduduk syurga menggunakan bahasa Arab. Bagi mereka, kepercayaan itu tidak masuk akal, dan seingat saya alasannya kerana bahasa Arab hanya muncul pada ribuan tahun lalu.
Mendengar hujah itu, saya menjadi berang dan membodohkan mereka. (Saya kemudiannya dinasihati oleh sahabat saya supaya mengawal emosi.) Bukannya apa, saya marah kerana mereka memfitnah Islam dan kemudiannya menghukum Islam dengan fitnah tersebut.
Sebelum kejadian itu, saya telah mengkaji tentang hadis-hadis yang mendakwa bahasa Arab bahasa syurga dan saya mendapati semua hadis tersebut lemah, bahkan ada yang palsu. Jadi, timbulnya isu ini di depan mata saya seperti bertemunya buku dengan ruas.
Kumpulan ateis terbabit sebenarnya menyimpang daripada kebenaran kerana ghairah dan galak membaca buku secara bebas tetapi tidak pandai mengkaji sendiri. Lalu, tanpa disedari, membaca tidak menjadikan mereka pintar dan terasuh, tetapi menjadi liar dan angkuh - bertaklid buta kepada penulis yang sama-sama jahil dan bodoh.
Comments
Post a Comment