Adakah Kita Menuduh Sheikh Yusuf al-Qardawi?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Azizan Osman dahulunya didapati menipu PhD, namun sehingga kini ramai yang mengagung-agungkan beliau. Mereka seolah-olah pejam mata merelakan jenayah penipuan yang dilakukannya. Kejayaan peserta-peserta kursus yang dianjurkan oleh Azizan Osman digunakan untuk mempertahankan dan menutup keselahan beliau. Baru-baru ini, beliau dilaporkan menerima gelaran Datuk Wira daripada kerajaan negeri Melaka dan tahun lepas beliau tersenarai dalam Top 50 Marketing and Advertising Leaders.

Cerita Azizan Osman ini tidak jauh dengan cerita Syeikh Yūsuf al-Qaraḍāwī. Saya, dengan berhati-hati menyebutkan kesalahan manhaj fiqh yang dibawa oleh beliau, dengan harapan umat Islam berwaspada kerana kesannya kepada syariat sangat besar. Namun begitu, ada yang marah dan geram kepada saya. Mereka membela syeikh dengan alasan yang hampir sama dengan alasan orang mempertahankan Azizan Osman, iaitu beliau ulama besar, berjasa, dan diiktiraf dunia. 

Ada orang menyerang Syiah dan habib-habib. Ada orang saban waktu membalun PAS dan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi. Ada orang tidak puas-puas mencela mufti Perlis dan kelompoknya. Semua itu kerana mereka nampak bahaya jika manhaj, ajaran, dan pengaruh mereka dibiarkan. Begitu juga saya, daripada tesis-tesis yang saya baca, daripada sejarah umat Islam akhir kurun ke-19, saya melihat ada bahaya yang besar jika kita mendiamkan diri daripada kesalahan-kesalahan manhaj fiqh al-Qaraḍāwī. (Tentang pandangan beliau berkenaan politik, tuduhan fatwa beliau membawa kepada pembunuhan al-Būṭī, krisis dengan Syeikh 'Alī Jum'ah, dan sebagainya, saya tidak masuk campur.)

Saya mengkritik Syeikh Yūsuf al-Qaraḍāwī hadā-hu Allah bukan kerana benci. Beliau adalah cita-cita saya semasa masih remaja. (Fatāwā Mu‘āṣirah saya baca sejak tingkatan satu atau dua.) Tokoh-tokoh Malaysia yang mengikut manhaj beliau adalah rujukan saya semasa kecil. (Majalah i yang memuatkan tulisan pengikut-pengikut beliau – Dr. Asri, Mazlee Malik, dan lain-lain – menjadi tatapan saya.) Tetapi, setelah melihat ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis disalahtafsirkan, makna kata-kata ulama dipesongkan, dan kaedah-kaedah fiqh diubah suai supaya selari dengan fatwa yang ingin dikeluarkan, sesiapa pun tidak sepatutnya berdiam diri. 

Kata-kata beliau dijadikan hujah oleh masyarakat awam, hatta ulama bergelar profesor dan mufti pun turut menjadikan fatwa beliau sebagai sandaran. Di Mu’tah, apabila isu muzik kecoh, adik-beradik saya yang belajar di UniSZA menegur saya kerana muzik difatwakan harus oleh Syeikh Yūsuf al-Qaraḍāwī. Ustazah Fatimah Syarha ketika mengeluarkan idea niqab tidak sesuai untuk berdakwah, juga menggunakan nama al-Qaraḍāwī. Baru-baru ini, wanita yang mengatakan ada rukhsah menyelak lengan dan kaki juga berlapikkan al-Qaraḍāwī. Jadi, saya melihat selagi mana kita menyanjung Ibnu ‘Arabī, selagi itulah kita tidak akan mampu mengalahkan bāṭiniyyah.

Ketika mengatakan metodologi fiqh beliau ada kesalahan kritikal, saya tidak bercakap kosong atau membuat tuduhan semberono. Saya bawakan kalam Syeikh Wahbah al-Zuḥaylī - yang saya kira tiada yang mempertikaikan ketokohan beliau atau mengatakan beliau ada krisis dengan al-Qaraḍāwī - sebagai penguat.  Saya sudah menyebutkan hujah dalam buku dan hantaran kadang-kadang secara terperinci dan adakala secara umum. Yang terbaru, saya membuktikan bagaimana kesilapan fatwa keharusan mengucapkan Merry Chrismas yang dikeluarkan oleh syeikh dan dipertahankan oleh pengikut-pengikut beliau berlaku, iaitu antaranya mereka tersilap faham maksud tahniah yang diperselisihkan riwayat daripada Imam Aḥmad kepada tahniah sempena perayaan, walhal ia tahniah sempena urusan keduniaan. (Saya masih menunggu respons daripada pihak berkaitan tentang dakwaan atau “tuduhan” saya.)

Saya bertanggungjawab di atas semua kata-kata saya. Jika apa yang saya ucapkan ini adalah tuduhan, saya akan menarik balik kenyataan saya sebagaimana saya membetulkan kesalahan-kesalahan yang telah saya lakukan sebelum ini.  

Ini baru mukadimah.


[Gerakan PENA Malaysia]




Comments