Fatwa Rosak Sheikh Yusuf Qardawi Isu Tudung

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Di Temasik, pelajar-pelajar perempuan yang berusia belasan tahun dipaksa menanggalkan tudung untuk belajar di sekolah kerajaan. Jika enggan, satu-satunya pilihan yang ada adalah belajar di sekolah agama yang calang-calang orang sahaja yang mampu memasukinya. Terlepas peluang belajar di sekolah agama bererti terpaksa melepaskan tudung.

Saya difahamkan, perjuangan untuk mempertahankan hijab di sekolah tidak mendapat sokongan majlis agama di sana. Mereka berpegang dengan prinsip bahawa pendidikan lebih penting daripada hijab. Dalam sebuah tulisan dilaporkan, “ahli politik PAP Muslim, mufti yang dilantik oleh kerajaan dan pihak berkuasa agama tertinggi tetap menggesa gadis-gadis untuk kembali ke sekolah tanpa tudung.”

Semalam dalam perjalanan pulang ke rumah, saya mendengar ucapan Syeikh ‘Uthmān al-Khamīs, ulama Kuwait. Beliau menukilkan fatwa Syeikh al-Qaraḍāwī yang membenarkan gadis Muslim di Barat menanggalkan tudung kerana ingin belajar di sekolah, kemudian mengkritiknya secara keras. Saya terkejut dan teringat cerita-cerita saudara kita di negara jiran. Jika warga Muslim di sana melepaskan tudung di pintu sekolah, maka itu sebiji seperti yang difatwakan oleh al-Qaraḍāwī. (Pagi ini saya mencari rakaman fatwa tersebut, dan benar itulah yang terpacul dari mulut beliau.)

Kaedah yang diguna pakai, “darurat mengharuskan perkara yang dilarang,” jadi gadis boleh membuang hijab kerana darurat belajar. Dan kerana “darurat diukur mengikut kadarnya,” jadi keharusan terhad di sekolah sahaja. Maka, di sekolah pelajar perempuan "free-hair", di luar pagar sekolah pula bertudung. Syeikh al-Khamīs membatilkan fatwa ini dan menempelak dengan mengatakan, “siapa yang mengatakan belajar di sekolah yang bercampur ini – atau mana-mana sekolah secara umum – darurat?” Kata syeikh, kita menerima jika belajar di sekolah dikatakan penting atau keperluan, tetapi kalau sampai ke tahap darurat itu melampau.

Sebelum ini saya mengingatkan bahaya fatwa-fatwa al-Qaraḍāwī tetapi ramai yang membela beliau. Seperti yang saya sebutkan, ini baru mukadimah. Banyak lagi kesilapan metodologi fiqh beliau yang memberi kesan kepada pengamalan syariat umat Islam di seluruh dunia akan ditemui selepas ini. Orang-orang yang mempertahankan beliau perlu bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala kerosakan yang berlaku.


[Gerakan PENA Malaysia]


Comments