OLEH: Zulfikar Egar
Abdul Rahman Ibn Muljam atau dalam sejarah, dia ini lebih dikenali dengan nama Ibnu Muljam. Merupakan seorang huffaz yang belajar dengan Abdullah ibn Mas’ud Radhiyallahu anhuma.
Dia ini bukan sahaja ahli zuhud mahupun ahli ibadah semata-mata. Tetapi juga merupakan seorang ahli Quran.
Orangnya yang sungguh kuat beribadah ini, pernah diangkat oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab Radhiyallahu anhu pada zaman pemerintahan beliau pada masa itu sebagai guru Al-Quran untuk umum.
Sehingga Amirul Mukminin telah mengarahkan kepada kepada Gabenor Mesir, ‘Amr al-Ash Radhiyallahu anhu untuk diperbesarkan lagi rumah Ibnu Muljam ini supaya masyarakat atau orang ramai dapat belajar Al-Quran dengannya.
Sungguhlah, kelihatannya Ibnu Muljam itu merupakan seseorang yang dihormati oleh khalifah disebabkan kerana warak dan ‘alimnya dia.
Dan perlu diingat. Khalifah tersebut bukanlah calang-calang manusia yang pernah wujud di dunia. Khalifah tersebut merupakan antara golongan manusia yang terbaik yang dididik oleh baginda nabi dan merupakan orang yang wajar diikuti oleh manusia sepanjang zaman.
Siapa lagi kalau para sahabatlah yang merupakan golongan manusia terbaik tersebut.
Tetapi, para sahabat juga adalah manusia biasa yakni tidak tahu perkara ghaib mahupun perkara yang akan datang.
Walaupun Ibnu Muljam ini merupakan anak didik Abdullah ibn Mas’ud Radhiyallahu anhuma. Diiktiraf keilmuannya oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab Radhiyallahu anhu hinggalah menjadi tanggungjawab ‘Amr al-Ash Radhiyallahu anhu selaku Gabenor Mesir tempat menetapnya Ibnu Muljam di sana untuk memperbesarkan rumahnya bagi orang ramai untuk belajar Al-Quran.
Tetapi tahukah kita bahawa Ibnu Muljam inilah di akhir hayatnya merupakan pembunuh seorang khalifah?
Ya! Pembunuh Amirul Mukminin Ali ibn Abi Talib Radhiyallahu anhu. Menantu nabi yang juga keluarga nabi. Antara 10 sahabat nabi yang dijamin syurga bahkan orang yang terawal memeluk Islam.
Bahkan ketika si khawarij jahat Ibnu Muljam ini hendak dihukum mati kerana membunuh khalifah.
Mulut dan lidahnya tidak henti-henti berzikir kepada Allah. Langsung tiada kesal atau bersalah dengan perbuatan yang dilakukan olehnya.
Lihatlah, sedangkan orang yang berperwatakan soleh ini boleh terpesong dan menganggap perbuatannya benar hingga nak mati pun mengharapkan syurga Allah. Apatah manusia dikemudian hari yang wujud ada hari ini?
Walhal tanpa si Ibnu Mujam ini sedar, dia sebenarnya telah melakukan satu jenayah yang paling besar dalam sejarah Islam.
Walaupun dia tetap merasakan dia berada di pihak yang benar. Tetapi syarak menyatakan dia bersalah dan berdosa.
Justeru itu, walaupun seseorang itu bersyahadah, bersolat dan perwatakannya Islamik tetapi aqidahnya tidak benar yakni salah! Belum tentu dia akan selamat selagi dia belum bertaubat.
Wallahualam.

Comments
Post a Comment