Tiada Solat Sunat Qabliyah (Sebelum) Jumaat

 OLEH: Abu Aqif

1. Tidak ada solat sunat sebelum solat Jumaat. Yang dimaksudkan adalah solat sunat selepas azan Jumaat hingga iqamah.

2. Tidak ada hadis sahih berkenaan solat sunat qobliyah Jumaat.

3. Salah seorang ulama besar bermazhab Syafie iaitu Ibnu Hajar Al Asqolaniرحمه الله‎‎ berkata,

"Adapun solat sunnah rawatib sebelum Jumaat, maka tidak ada hadis sahih yang menyokongnya." [Fathul Bari, 2:426].

4. Ibnul Qayyim dalam Zaadul Ma'ad menyebutkan,

"Jika bilal telah mengumandangkan azan Jumaat, Nabi ﷺ terus berkhutbah dan tidak ada seorang pun berdiri melaksanakan solat dua rakaaat ketika itu.

(Di zaman baginda), azan Jumaat hanya dikumandangkan sekali. Ini menunjukkan bahawa solat Jumaat itu seperti solat 'ied iaitu sama-sama tidak ada solat sunnah qabliyah sebelumnya.

Inilah di antara pendapat ulama yang lebih tepat dan inilah yang disokong dengab hadis.

Nabi ﷺ dahulu pernah keluar dari rumah beliau, lalu beliau terus naik mimbar dan Bilal pun mengumandangkan azan. Jika azan telah selesai berkumandang, Nabi ﷺ pun berkhutbah dan tidak ada selang waktu (untuk solat sunnah kala itu).

Inilah yang disaksikan di masa baginda.


5. Syaikh Abdul Aziz bin Baz رحمه الله‎‎ berkata:

"Tidak ada sunnah rawatib sebelum solat Jumaat berdasarkan pendapat yang terkuat di antara dua pendapat ulama. Akan tetapi disyariatkan bagi kaum muslimin yang masuk masjid agar mengerjakan solat (solat sunat mutlak -pent) beberapa rakaat semampunya" [Majmu' Fatawa As-Syaikh Bin Baz 12/386 & 387]



Jadi Solat Sunat Apa Yang Ada?

6. Ada 4 solat sunat lain yang boleh kita lakukan, iaitu:

• Solat Sunat Wuduk

• Solat Sunat Tahiyatul Masjid

• Solat Sunat Mutlak

Solat sunat 2 rakaat satu salam. Boleh dilakukan seberapa banyak yang mampu sehingga azan pertama Jumaat.

Dari Salmaan Al Faarisi, dia berkata bahawa Nabi ﷺ bersabda,

"Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat, lalu dia bersuci semampunya, lalu dia memakai minyak atau dia memakai wangian di rumahnya lalu dia keluar, lantas dia tidak memisahkan di antara dua jamaaah (di masjid), KEMUDIAN DIA MELAKSANAKAN SOLAT YANG DITETAPKAN UNTUKNYA, lalu dia diam ketika imam berkhutbah, melainkan akan di ampuni dosa yang dilakukan antara Jumaat yang satu dan Jumaat yang lainnya." [HR. Bukhari no. 883]


• Solat Sunat Ba'diyah (selepas) Jumaat

Solat sunat selepas solat Jumaat. Boleh dilakukan 2 atau 4 rakaat. Sunnah dilakukan di rumah.

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, 

"Apabila seseorang di antara kalian mengerjakan solat Jumaat, maka solatlah sesudahnya 4 rakaat". [HR. Muslim no. 881].


الله أعلم

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments