Ajaran Sesat Agama Melayu (Is-Susilam) dan Asalama

 OLEH: Taufiq Tuah




AJARAN ASALAMA
Pengasas ajaran sesat Asalama mendakwa ayat Al-Quran sepatutnya dibaca dengan menggunakan baris atas (baris fathah) semuanya selepas mendapat petunjuk melalui mimpi. Mereka dengan jelas menolak hukum tajwid yang ada di dalam Al-Quran.

Al-Quran diturunkan di dalam Bahasa Arab dengan tulisan Arab. Telah berzaman lamanya bahasa Arab juga mengiktiraf adanya sebutan lain selain baris atas. Walaupun Al-Quran pada asalnya ditulis tanpa baris, ini tidak menafikan kewujudan sebutan selain baris atas di dalam Bahasa Arab.

Hujah mudah saya untuk pengikut pandangan Asalama ialah, apakah agaknya nama huruf pertama di dalam huruf hijaiyah? Sejak dahulu hingga kini, nama huruf tidak berubah. Jadi apakah nama huruf pertama di dalam tulisan hijaiyah?
Huruf ALIF.

ALIF = ا
 yang disebut (pronouced) seperti
= اليف atau Aliff

Untuk menyebut nama huruf pertama ini sahaja telah memerlukan baris atas dan baris bawah dalam sebutan. Maka di mana pula signifikannya hujah yang kata baris bawah di dalam Bahasa Arab tidak wujud?

Sejak dahulu lagi Bahasa Arab memerlukan semua baris ini bagi membezakan makna setiap perkataan. Betapa banyaknya perkataan dalam Arab yang hanya berubah baris sahaja telah membawa maksud yang berlainan.

Contoh mudah saya titipkan ialah ejaan
رجل
Ejaan yang sama apabila kita baca 
'Rijlun' akan bermaksud 'Kaki'
'Rajulun' akan bermaksud 'Lelaki'
Sama ejaan tetapi hanya bertukar baris!

Pentingnya fungsi baris di dalam Bahasa Arab sehingga setiap baris itu penting dalam menentukan maksud perkataan.

Oleh itu saya mencabar penganut ajaran Asalama untuk terjemah ayat yang saya tulis di bawah (mengikut kaedah ajaran kalian),
"Alwakta kasayafa ala tantakta kataaka"
dan
"alta alba basaraha"
Kalaupun kalian dapat terjemah, kalian takkan dapat jawab soalan, bagaimana nak bezakan perkataan itu dan perkataan ini apabila saya soalkan.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 3/2010 yang bersidang pada 5 Zulkaedah 1431H bersamaan 13 Oktober 2010M sebulat suara bersetuju memutuskan mengenai Ajaran Agama Asalama seperti berikut:

Ajaran atau fahaman agama Asalama didapati sesat. Oleh yang demikian, mana-mana orang Islam yang berpegang dengan ajaran atau fahaman tersebut juga adalah sesat;

Mana-mana orang Islam adalah dilarang untuk mengajar, mempelajari, mengamalkan atau menyebarkan ajaran dan fahaman tersebut dalam apa-apa jua bentuk dan cara; dan Orang Islam di mana-mana jua berada, yang telah mengamalkan ajaran atau fahaman agama Asalama hendaklah segera meninggalkan ajaran atau fahaman tersebut dan bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah subhanahu wata’ala.


AJARAN AGAMA MELAYU (IS-SUSILAM)

Saya agak terkejut dengan ajaran yang diasaskan oleh seorang wartawan (Ibu Yati) ini kerana ajaran ini mengangkat 'Melayu' bukan sebagai bangsa tetapi sebagai agama. Agama Melayu muncul dengan ajaran kononnya rentetan kepada agama awal 'Is Susilam' yang mana kononnya itu ialah nama asal Islam sebelum diubah oleh orang Arab.

Antara Penyelewengan Ajaran Ini:-

1. Ajaran sesat Agama Melayu ini telah mengubah syahadah kepada "Ila Ha Ila ra Ila ma".

2. Menolak kenabian Nabi Muhammad Salallahu alaihi wasalam serta menghina baginda dan sunnah-sunnah baginda.

3. MENOLAK HADIS secara total tetapi mengakui kononnya berpegang dengan Al-Quran. Tetapi mendakwa Al-Quran telah diubah oleh Saidina Uthman Al-Affan.

4. Mendakwa bahawa Hindu ialah agama yang terkait dengan Islam. Malah mendakwa Islam dan Hindu mempunyai tuhan yang sama.

5. Ada ritual kufur tersendiri di Pulau Besar, Melaka.

6. Mempromosikan kisah-kisah tahyul seperti alam bunian, naga sakti dll.

7. Mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah pro-LGBT.

Ajaran sesat ini telah mengajarkan untuk membuat perkara-perkara yang membatalkan keislaman. Antaranya ialah menolak kenabian Rasulullah Salallahu alaihi wasalam, mengubah syahadah, menolak hadis dan mendakwa Al-Quran yang ada pada hari ini telah diubah.


ISLAM IALAH AGAMAKU

Al-Quran sendiri telah menjelaskan bahawa Allah telah meredhai Islam sebagai agama. Bukannya Asalama dan bukan juga Agama Melayu atau Is-Susilam.


Dalilnya jelas,

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا 

“… Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam sebagai agama bagimu …” 

[Surah Al-Maa-idah: 3]


AL-QURAN TIADA RAGU-RAGU

Sepanjang zaman para sahabat, tabi' tabien malah generasi seterusnya terus menerus menghafal Al-Quran. Apabila dikumpulkan pada zaman Saidina Abu Bakr R.A dan disempurnakan di zaman Saidina Uthman Al-Affan R.A, ia dalam keadaan yang cukup sempurna. Bukan diolah dan bukan ditukar. Kemudiannya dibariskan tulisannya oleh Hajjaj Yusuf As-Saqafi (pada zaman tabien). Alasan membariskan ini jelas untuk menyelaraskan cara baca. Membuktikan bahawa sebutan baris bawah dan baris hadapan memang wujud sebelum Rasulullah lahir lagi. Maka Al-Quran diturunkan dalam keadaan menggunakan semua bunyi sebutan itu.

Al-Quran tidak diturunkan di dalam Bahasa Melayu. Malah Al-Quran juga tidak diturunkan ke dalam bahasa lain selain Arab. Nabi Muhammad Salallahu alaihi wasalam ialah orang Arab dan akurlah bahawa Islam bermula kembang dakwahnya dari tanah Arab. Al-Quran tiada keraguannya memang Bahasa Arab.

ذَلِكَ الْكِتَبُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ 

Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.

[Surah Al-Baqarah: 2]

Pelik bagaimana ajaran Agama Melayu boleh kata Al-Quran boleh diuji kesahihannya (sebab katanya Ahli Sunnah telah mengubah Al-Quran) dengan menggunakan 'Kod 19' melalui komputer dan formula matematik. Begitu lemah hujah ajaran ini sedangkan agama Islam tidak pernah bergantung kesahihan dengan matematik mahupun komputer.


TIADA KERAGUAN KE ATAS NABI MUHAMMAD SALALLAHU ALAIHI WASALAM

مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا

“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa seorang seorang lelaki di antara kamu, tetapi Dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.” 

[Surah Al Ahzab : 40]

Maka tidak ada lagi nabi lain selepas kewafatan Nabi Muhammad Salallahu alaihi wasalam. Malah tiada keraguan lagi bahawa baginda ialah seorang nabi. Maka raguilah mereka yang cuba menafikan kenabian dan kerasulan Muhammad Salallahu alaihi wasalam.

Wallahualam


[Gerakan PENA Malaysia]


Comments