Allah al-Kafi...? Zikir Benar?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Isteri saya bertanya tentang ungkapan "Allah al-Kafi..." yang dijadikan zikir dan dilabel dengan nama "doa minta kecukupan".  Sebelum ini ada sahabat bertanya tentang ungkapan yang saya kira masyhur ketika ini, kerana ada yang mengingkarinya.

Jawapan ringkas, wallahualam, saya tidak tahu ungkapan ini ada asasnya daripada sunnah. Pada masa yang sama, tidak jelas kepada saya sebarang makna yang salah dari sudut akidah dan syarak. Namun begitu, saya tidak menyarankan umat Islam menjadikannya sebagai amalan.

Hal ini demikian kerana semua yang tidak wārid daripada al-Quran dan sunnah boleh diragui dan dipertikaikan. Jadi, untuk selamat dan terjamin, tanpa perlu terlibat dengan perselisihan dan khilaf, utamakan amalan yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah, sebagaimana yang disepakati oleh umat Islam seluruhnya. 

Inilah yang disebut oleh Syeikh Jamāl al-Dīn al-Ahdal, faqih Shāfi‘ī berakidah Ash‘arī dalam kitab ‘Umdah al-Muftī wa-al-Mustaftī. Akhir katanya, “maka yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah memadai daripada selainnya. Hampir dengan itu adalah yang diambil daripada kedua-duanya seperti ḥizb al-Nawawī, al-Qārī, Ibnu ‘Arabī, dan lain-lain itu baik, tetapi yang datang daripada shāri‘ lebih elok dan indah.”

Wallahualam.

[Gerakan PENA Malaysia]



Comments