Khadir (Khidir) Telah Wafat atau Belum?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Terdapat khilaf besar tentang hidup matinya Khaḍir AS. Sebahagian salaf didapati mengisbatkan beliau masih hidup. Ma‘mar b. Rāshid meriwayatkan secara balāgh bahawa Khaḍir inilah yang dibunuh dan dihidupkan semula oleh Dajjāl. Menurut Ibnu al-Ṣalāḥ dan al-Nawawī, itu pendapat jumhur. Bukti utama mereka adalah kisah-kisah pertemuan ulama dan orang soleh dengan lembaga yang mengaku atau dipercayai sebagai Khaḍir. 

Walaupun begitu, pendapat yang menafikan juga muktabar. Ia pendapat al-Bukhārī (256 H), pendapat yang diriwayatkan oleh Ibnu al-Munādī daripada Ibrāhīm al-Ḥarbī (285 H), Ibnu al-Jawzī (597 H),  Ibnu Kathīr (774 H), dan lain-lain. Ia kuat dari segi ketiadaan nas yang sahih yang boleh dijadikan hujah mengatakan Khaḍir masih hidup. 

Kata Imam Ibnu al-Munādī (336 H):

بحثت عن تعمير الخضر وهل هو باق أم لا فإذا أكثر المغفلين مغترون بأنه باق من أجل ما روى في ذلك... والأحاديث المرفوعة في ذلك واهية... وما عدا ذلك كله من الأخبار كلها واهية الصدور والأعجاز لا يخلو حالها من أحد أمرين إما أن تكون أدخلت على الثقات استغفالا أو يكون بعضهم تعمد…

“Aku mengkaji tentang panjang umurnya al-Khaḍir dan adakah beliau masih hidup atau tidak, maka rupa-rupanya kebanyakan orang-orang yang lalai terpedaya dengan kenyataan bahawa beliau masih hidup kerana riwayat-riwayat mengenainya… Dan hadis-hadis marfū‘ tentangnya sanadnya rapuh… Riwayat-riwayat selain daripada itu semuanya rapuh depan dan belakang, ia sama ada ditokok tambah pada riwayat thiqah secara tidak sengaja atau ada yang melakukannya dengan sengaja.”


Kata guru kepada Hāfiẓ Ibnu Ḥajar al-‘Asqalānī, Imam al-‘Irāqī (806 H):

ولم يصح في حديث قط اجتماع الخضر بالنبي صلى الله عليه وسلم ولا عدم اجتماعه ولا حياته ولا موته.

“Tidak sahih satu pun hadis tentang bertemunya Khadir dengan Nabi SAW atau tidak, tidak juga tentang hidupnya beliau ataupun kematiannya.”

Tuan Guru Haron Din (1437 H) pernah menyentuh soal Khaḍir dalam akhbar Harakah, dan katanya:

"Jika ada nabi seperti Khaḍir dikatakan tidak wafat dan hidup di atas muka bumi ini, maka tentulah yang lebih aula untuk hidup kekal ialah Nabi Muhammad SAW kerana baginda adalah nabi akhir zaman, tiada nabi lagi selepasnya.

Khaḍir hanya seorang nabi. Bukannya rasul. Jika hendak dikekalkan maka Rasulullah yang lebih utama. Yang lebih penting daripada itu ialah Nabi Muhammad SAW adalah nabi dan rasul terakhir yang tidak akan ada nabi lagi selepasnya.

Sekiranya Nabi Khaidir masih ada lagi dan boleh ditemui di dalam mimpi dan semasa berjaga (yaqaẓah), maka bererti masih ada lagi Nabi selepas Muhammad SAW. Bolehkah berlaku ada nabi masih hidup selepas Nabi Muhammad SAW? Atas alasan sedemikian, maka pada pandangan saya, Nabi Khaḍir memang wujud, tetapi telah pun wafat. Wallahualam."

Gambar hiasan





[Gerakan PENA Malaysia]


Comments