Kisah Poligami Untuk Muhasabah

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Saya mendengar dua cerita benar tentang poligami. Saya catat di sini untuk muhasabah semua. Cerita pertama saya dengar daripada sahabat saya, seorang ustaz, tentang seorang Datuk yang kaya-raya. Dia ingin berkahwin lagi, tetapi kali pertama dia menyuarakan hasratnya kepada isteri, isterinya mengamuk sampai menterbalikkan meja kedai makan.

Serik dengan peristiwa itu, Datuk tersebut tidak lagi bercakap tentang poligami. Dia terpaksa mengambil keputusan berkahwin diam-diam dengan stafnya sendiri, seorang balu. Namun, rahsianya terbongkar. Isteri pertama mengamuk dan meminta cerai. Dan pernah sekali isterinya menyerang rumah isteri kedua, menunggu di pintu pagar rumah berjam-jam dan menyerahkan cek RM100,000 supaya meninggalkan suaminya.

Si suami pernah merajuk lama tidak pulang-pulang ke rumah bermalam di pejabat. Dan akhirnya Datuk itu pulang ke rumah melihat datin itu berpakaian mengghairahkan dan mengatakan dia mahu dilayan setiap hari. Suatu pagi, Datuk bangun pagi dan terkejut melihat isterinya tidur sambil memegang pisau. Bimbangkan keselamatan diri, Datuk tersebut lari dari rumah. Perkembangan kisah ini selanjutnya saya tidak tahu.

Cerita kedua tentang orang yang tinggal berhampiran dengan rumah saya. Beberapa tahun yang lalu, dia ke sebuah negara di Asia Barat untuk mendalami bahasa Arab. Tanpa disangka-sangka, beliau bertemu jodoh dengan wanita Arab dan berkahwin di sana. Menariknya, ketika itu dia sudah pun mempunyai seorang isteri dan berbelas-belas orang anak!

Keluarga ini tidak mempunyai rumah sendiri. Kedua-dua rumah yang didiami oleh dua orang isteri dan anak-anak mereka adalah rumah sewa. Kehidupan mereka, pada mata saya, sangat sederhana. Walaupun begitu, anak-anak mereka berjaya. Dua daripadanya menjadi pelajar terbaik di universiti antarabangsa di Malaysia. Dua lagi sedang melanjutkan pelajaran di Arab Saudi. 

Sepanjang tinggal di situ, tidak pernah lagi saya mendengar pertengkaran antara isteri pertama dengan isteri kedua. Bahkan, yang saya dengar hanyalah mereka membaca al-Quran dan mengajar bahasa Arab. Dan yang paling saya cemburu ialah apabila mendengar isteri keduanya bercakap Arab dengan anak perempuan tunggalnya atau dengan keluarga asalnya.

Begitulah. Dua cerita. Satu cerita orang kaya tetapi dihalang daripada berpoligami oleh isteri pertama. Satu cerita orang tidak kaya tetapi zahirnya, bahagia walaupun mempunyai dua orang isteri dan kini hampir 20 orang anak!

Daripada dua kisah ini, bermuhasabahlah. Poligami atau sebenarnya, kita yang bermasalah.

[Gerakan PENA Malaysia]



Comments