Tanda-Tanda Kiamat dan Konspirasi

 OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis

Bab tanda-tanda besar kiamat termasuklah kedatangan Imam al-Mahdi, turunnya nabi Isa, kemunculan al- Masih Dajjal, terbit matahari dari arah barat, Datangnya Dabbah al- Ardh dll merupakan salah satu tanda keimanan kepada hari akhirat.

Ia tidak boleh ditafsirkan dan ditakwilkan sesuka hati mengikut arus semasa dan zaman. Ianya merupakan antara tanda besar hari kiamat yang wajib untuk kita Imani. 

Bila mana ia berkait dengan rukun Iman, maka sepertimana beriman dengan rukun-rukun Iman yang lain, tidak perlu diselidik dan dikaji rupa bentuknya, prosesnya, caranya dan bagaimana. Cukuplah untuk kita katakan:" kami beriman dengan Allah dan kami beristiqamah denganNya".

Sepertimana kita tidak tahu akan keadaan realiti sebenar syurga, neraka, Mahsyar, Mizan, titian sirat, seperti itu juga kita tidak perlu mendalami hakikat sebenar berkenaan Dajjal, Nabi Isa, kedatangan Imam al-Mahdi dan yang sewaktu dengannya. 

Kecualilah ianya disebutkan di dalam ayat-ayat suci Al-Quran mahupun hadith-hadith nabi yang sahih.

Logik akal kita terbatas, ilmu kita juga terbatas. Sepertimana hebatnya Allah menyembunyikan tembok besar Yakjuj dan Makjuj sebelum tiba masanya, amat mudah bagiNya untuk membuat apa yang dikehendaki olehNya sekalipun logik akal dan teori sains berlawanan denganNya.

Secara logiknya, dengan kecanggihan teknologi yang ada masa kini, yang boleh mengkaji hingga tahap virus Covid-19, tidak mungkin Dajjal yang begitu besar, tidak dapat dicari. Apatah lagi Yakjuj dan Makjuj dan yang lain-lain.

Tetapi itulah realitinya. Kecanggihan teknologi dan sains tidak dapat mengatasi ilmu Allah dan kuasaNya. 

Bila mana Allah berkehendak untuk dibuka tanda-tanda tersebut, maka barulah ianya muncul. Sepertimana Allah berkehendak menghuru harakan dunia ini dengan virus Covid-19 hinggakan bertrilion kerugian berlaku, sebegitu mudah bagi Allah untuk menjadikan tanda-tanda kiamat itu datang bila tiba masa yang ditetapkan.

Tugas kita sebagai hamba-Nya adalah meminta perlindungan dariNya daripada terkena fitnah al- Masih Dajjal tatkala ia berlaku.

Tidak perlu kita sibuk ingin mendalami konspirasi dan mengkaji segala filem dan kartun yang dicipta oleh manusia agar kita mengetahui berkaitan Dajjal. Setinggi mana pengetahuan dan ilmu kita berkait tentangnya tidak akan menyelamatkan kita daripada fitnahnya bila dia muncul.

Apa yang menyelamatkan kita daripada fitnahNya adalah apa yang diperintah oleh Allah dan Rasul sahaja seperti sentiasa berdoa dilindungi daripada fitnahNya dan juga membaca surah al-Kahfi agar terselamat daripadanya.

Banyakkan membaca doa : 

اللهم إني أعوذ بك من شر فتنة المسيح الدجال

Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan fitnah al- Masih Dajjal.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments