Adakah Rasulullah S.A.W Melihat Tuhannya Pada Malam Al-Isra’ wal Mi’raj ?

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


1- Zahirnya berlaku khilaf berkenaan isu ini dalam kalangan para sahabat R.Anhum. Sebahagian mengatakan bahawa baginda melihat Allah dengan mata kepala baginda. Sebahagian lain menafikannya.

2- Namun sebahagian ulama berpendapat, khilaf di sini bukanlah khilaf yang bercanggah. Sebaliknya termasuk dalam kategori khilaf lafzi (dari sudut lafaz sahaja).

3- Al-Imam Al-Nawawi cenderung mengatakan bahawa pendapat yang sahih adalah baginda melihat Allah dengan mata kepalanya pada malam tersebut. Inilah pandangan Ibn Abbas R.Anhuma serta kebanyakan sahabat dan ulama.

4- Manakala sebahagian sahabat yang lain seperti Sayyidah A’isyah R.Anha menafikan hal ini. Namun kata Al-Imam Al-Nawawi : Kumpulan yang menafikannya tidak mempunyai dalil yang jelas untuk menguatkan pandangan mereka.

5- Guru kami Al-Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan Ālu Salmān - hafizahullah - pula cenderung untuk melakukan jamak dan taufiq (himpun dan harmonikan) antara kedua pandangan tersebut. 

6- Beliau berpendapat : Golongan yang mengisbatkan, mengatakan bahawa Rasulullah melihat cahaya. Manakala golongan yang menafikan pula, mereka menafikan yang Rasulullah melihat zat Allah.

7- Tidak dinafikan juga, ada yang mengharmonikan kedua-dua pendapat tersebut dengan natijah : Golongan yang isbat mengatakan baginda melihat Allah dengan pandangan hati. Manakala golongan yang menafikan pula, mereka menafikan Rasulullah melihat Allah dengan pandangan mata.

والله الموفق



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments