Ibrah Ikan Guppy

 OLEH: Taufiq Tuah

Bismillah

Pada beberapa waktu yang lalu, saya telah pun membela beberapa ekor ikan guppy. Saya jaganya di dalam akuarium 2 kaki. Penjagaan dalam akuarium ini jenisnya teliti. Ada filter untuk air, ada penambah oksigen supaya oksigen di dalam larutan air cukup. Malah diberi makan dengan pallet yang agak mahal juga.

Qadarallah, mati seekor demi seekor (tak sempat pregnant) atas pelbagai sebab. Ada yang mati kerana melompat keluar akuarium. Ada yang mati sebab kena makan dengan kehidupan lain dalam akuarium (yang juga saya bela). Ada juga beberapa sebab lain yang saya tidak tahu.

Kemudiannya saya teringat beberapa waktu lepas saya pernah ke rumah makcik saya di Melaka. Dia meletakkan ikan guppynya di dalam sebuah pasu besar yang mana di dalam pasu itu juga sebenarnya ada pokok. Mungkin untuk mencegah jentik-jentik, getus hatiku.

Apabila dibela di dalam pasu, maka pastilah tidak ada sebarang sistem filter. Tiada juga alat penambah oksigen. Mungkin hanya diberi makan sahaja. Namun, ikan-ikannya beranak pinak. Malah banyak. 

Padahal yang saya sendiri jaga dengan langkah-langkah terbaik, mati. Manakala yang makcik saya jaga, hanya biar sahaja dan bagi makan pula boleh beranak pinak.

Kadang kala saya juga nampak ikan guppy di parit-parit bandar. Mereka hidup dan bahagia di dalam parit juga beranak-pinak. Sedangkan tidak ada filter air (malah kotor pula airnya), tiada alat penambah oksigen dan tiada yang menyediakan pallet makanan. Saya difahamkan pihak majlis perbandaran pada suatu masa sengaja meletakkan guppy itu untuk mengawal pembiakan jentik-jentik.

Lalu di mana silapnya saya dalam menjaga guppy?

Kadang-kala aku terlupa, walaupun aku tidak sediakan filter dan pam oksigen untuk mereka, sesungguhnya yang menjaga mereka ialah yang Maha Pencipta. Allah lah yang menjaga mereka, memberikan makan kepada mereka, memberikan mereka zuriat dan mematikan mereka setelah Allah berkehendaki.

Bukan sahaja di dalam pasu, malah lihatlah bagaimana habitat semula jadi ikan-ikan di sungai dan lautan. Sedikit pun tidak menyukarkan Allah untuk menjaga seluruh langit dan bumi. Ini kan pula untuk menjaga ikan di dalam parit dan pasu. Apatah lagi untuk menjaga kita, sebagai hamba-Nya. 

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللّهِ

“ Bagi setiap manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di hadapan dan di belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah.“ (Ar Ra’d : 11)

Maka jangan lah kita terlebih risau dan terlebih paranoid. Namun jangan lah pula tidak langsung menjaga diri. Kerana yakini lah bahawa bukan kita jaga kita, tetapi Allah yang jaga kita. #AllahJagaKita

Tawakal itu hadir mestilah dengan ikhtiar dan doa. Kembali kepada kisah guppy, sahabat saya yang lain membela guppy dalam akuarium dan mampu pula hidup lebih lama. Mungkin saya perlu telusuri lagi cara menjaga guppy dengan baik. Doakan keberjayaan saya di masa hadapan insyaallah.

Akhir kalam ku dengan pantun,

"Ikan kelisa bercitra suasa

kalah sudah si ikan ketutu

kan kita ada yang Maha Esa

ikhtiar tawakal diulit bersatu"



Wallahualam

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments