OLEH: Ustaz Idris bin Sulaiman
Sekalipun para ulama sepakat mengharuskan ruqyah, doa perlindungan melalui bacaan ayat-ayat suci Al-Quran tetapi adakah wajar air ruqyah diperluaskan, dikomersialkan dan dikeluarkan secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak mutakhir ini?
Tidak dan tidak sama sekali.
Bukan sahaja ia menjejaskan nilai kedudukan air ruqyah, ia turut menimbulkan persoalan-persoalan tentang kedudukan sebenar air-air jampi tersebut.
Ini kerana ulama antara lain mensyaratkan hendaklah peruqyah seorang Muslim, baligh dan adil; bukan fasik.
Berdasarkan syarat-syarat ini, timbul persoalan-persoalan seperti siapa yang membaca ayat-ayat Al-Quran buat air-air jampi tersebut? Bagaimana kedudukan si pembacanya? Mungkin dia Muslim tetapi sudahkah dia baligh? Adakah dia seorang yang adil? Dan kaedah apakah yang digunakan untuk membaca ayat-ayat Al-Quran itu?
Kita maklum bahawa membaca 30 juzuk Al-Quran bukan suatu yang mudah, apatah lagi untuk jumlah botol-botol air yang begitu banyak. Adakah bacaan 30 juzuk Al-Quran dilakukan untuk setiap botol atau secara pukal?
Persoalan-persoalan seperti ini perlu dijelaskan bagi menentukan kedudukan air-air jampi tersebut.
Walau bagaimapun, pengeluaran air-air jampi secara besar-besaran sebegini tetap tidak wajar dan dilihat mengeksploitasikan Agama, apatah lagi jika melibatkan bayaran-bayaran tertentu. Jelas perbuatannya memperdagangkan Agama, menjejaskan nama baik Islam serta merosakkan akidah pegangan masyarakat.
Jika tidak lama dahulu ada yang memperdagangkan doa (valet doa), kini ada yang mahu memperdagangkan bacaan Al-Quran pula.
Seharusnya dihentikan sebelum membarah.
Jika tidak, dikhuatiri akan ada pula yang menawarkan air kelapa 30 juzuk Al-Quran dan pelbagai produk-produk Muslim lain yang tentunya merosakkan.
Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan keselamatan.
Comments
Post a Comment