Sisi-Sisi Taswir

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Sebahagian ulama mengumumkan larangan taswir kepada semua gambar makhluk bernyawa termasuk gambar fotografi. 

Sebahagian mereka pula mengatakan gambar fotografi tidak termasuk dalam larangan kerana 'illah mudahah, menyaingi ciptaan Allah tidak wujud. Bagi mereka, gambar fotografi tidak lain seperti imej yang terbentuk di cermin. Bezanya, imej tersebut "ditangkap" dan kekal.

Jadi, tidak perlu menyindir orang yang melarang melukis gambar manusia sendiri berswafoto dan memuat naik gambar keluarga, kerana dua masalah itu berbeza. Ada juga ulama yang membezakan antara gambar dengan video, dan ada juga yang membezakan antara gambar di skrin dengan gambar bercetak. Jadi, fahami pendapat seseorang sebelum memerlinya, jika mahu.

Tentang maksud asal Avatar adalah jelmaan Tuhan dan perkaitannya dengan agama Hindu, saya nyatakan bahawa isu ini ada wajhnya. Maksud Avatar sebagai gambar kartun yang dikatakan merupakan maksud kedua mempunyai kaitan langsung dengan maksud asalnya, tidak seperti "kami" dalam bahasa Melayu yang langsung tiada kaitan dengan "Kami" dalam bahasa Jepun dari sudut etimologi.

Walaupun saya mengatakan ia mempunyai wajh atau dengan kata lain ada kemunasabahannya, tidaklah bermakna saya mengatakan ta'lil ini tepat. Saya cuma tidak bersetuju apabila hal ini dipersendakan, seolah-olah Islam langsung tidak mengambil kira makna lain di sebalik sesuatu perkataan.

Dalam al-Quran dan sunnah terlalu banyak larangan sama ada secara tahrim atau tanzih daripada menggunakan perkataan yang mempunyai makna mushtarak yang tidak elok atau tidak sesuai. Misalnya dalam surah al-Baqarah, Allah melarang menggunakan perkataan ra'ina, walhal ia mempunyai "makna kedua" yang tiada apa-apa masalah dalam bahasa Arab, kerana makna buruk yang dimaksudkan oleh Yahudi.

Kepada sahabat-sahabat sekalian, elakkan perli-memerli apabila bercakap tentang hukum-hakam. Usah terlalu simplistik mengeluarkan pendapat. Ada banyak sisi dan dimensi yang perlu diambil kira sebelum kita boleh menetapkan kesimpulan.

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments