OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis
Jikalau ada athar ( kesan peninggalan) nabi yang benar-benar asli dan sahih dari segi periwayatan sanad.
Tidak kira capal, jubah, bekas minuman, dan lain-lain, maka kamilah ( orang-orang yang digelar sebagai ahli sunnah) pertama yang akan bertabarruk ( mengambil berkat) daripada kesan peninggalan nabi tersebut.
Ini kerana keberkatan hasil peninggalan baginda Rasulullah, memang sepakat para ulama tidak kira salaf mahupun khalaf, diharuskan dan dibolehkan.
Tiada khilaf didalam isu ini.
Bahkan begitu banyak hadith-hadith dan juga perbuatan sahabat yang bertabarruk (mengambil berkat)dengan peninggalan baginda.
Tetapi jikalau hanyalah sekadar replika, simbol, rekaan yang dinisbahkan kepada jasad baginda, memang ianya perlu dijauhkan.
Jikalau dibuat, nescaya para sahabat yang sanggup berkorban nyawa untuk baginda Rasulullah pasti akan melakukannya. Ini kerana cinta mereka terhadap Rasulullah, cinta yang real dan terbukti. Bukan sekadar dakwaan dan ilusi.
Hatta Umar al-Khattab yang begitu tinggi cintanya kepada Rasulullah, sanggup memotong pokok Baiatur Ridhwan lantaran takutkan syirik, bila melihat orang ramai mula mengagungkannya.
Umar al-Khattab sendiri berkata kepada batu Hajarul Aswad, jikalau aku tidak melihat Rasulullah menciumnya, nescaya aku turut tidak menciumnya.
Bukti yang lain ialah didalam kawasan Baitullah, kita tidak digalakkan untuk mencium selain mencium Hajarul Aswad bukti kecintaan kita kepada sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Baik Maqam Ibrahim, Hijir Ismail, Telaga Zam-Zam, tidak ada perintah dan dalil untuk menciumnya apatah lagi bertabarruk (mengambil berkat) dengannya.
Begitu jugalah Masjid Nabawi, kawasan Raudhah, Bukit Uhud, Gua Hira', Gua Thaur, Arafah, Jabal Rahmah, Wadi Uranah dll, tiada disana dalil dan bukti suruhan daripada Rasulullah untuk kita menciumnya.
Kecintaan seseorang anak ialah bila dia mematuhi arahan ibu bapanya. Kecintaan murid ialah bila dia mematuhi segala arahan guru.
Begitu juga tanda cinta kita kepada Rasulullah ialah dengan mematuhi segala arahan Rasulullah dan perintahNya serta menjauhi laranganNya.
Baginda berkata didalam hadith yang sahih tatkala sakit tenat beberapa hari sebelum kewafatannya.
Allah melaknati golongan Yahudi dan Nasrani, ini kerana mereka menjadikan kubur-kubur para nabi-nabi sebagai masjid. Jikalau bukan kerana itu, nescaya aku tunjukkan kuburnya selain aku takuti bahawa akan dijadikan kuburnya sebagai masjid. ( HR Bukhari no 1390)
Maksud masjid ialah tempat ibadah. Golongan Yahudi dan Nasrani membina tempat-tempat ibadah mereka di kubur-kubur nabi dan orang-orang soleh dikalangan mereka.
Dalam hadith riwayat Muslim terdapat tambahan penjelasan : " Ketahuilah, janganlah kamu jadikan kubur-kubur sebagai masjid , ini kerana aku melarang dengan perbuatan tersebut. ( HR Muslim no 532)
Jelas disini tegahan Rasulullah untuk menjadikan kubur-kubur orang soleh sebagai tempat ibadah, tempat memohon hajat dan juga dibina masjid di atasnya.
Tujuan utamanya ialah bagi melindungi akidah kita sesama muslim daripada perbuatan syirik.
Begitu juga bagi menzahirkan kecintaan kita kepada Rasulullah, disana terdapat hadith yang selalu dibaca oleh Khatib pada hari Jumaat :
Sesiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat, nescaya Allah akan menselawatinya sebanyak 10 kali selawat.( HR Muslim)
Jadi, dengan mengikuti arahan dan suruhanNya nescaya kita akan dapat kecintaan daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Wallahualam.
Comments
Post a Comment