Malam Nisfu Syaaban

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


Sabda Nabi ﷺ: 

يَطَّلِعُ ‌اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا ‌لِمُشْرِكٍ ‌أَوْ ‌مُشَاحِنٍ.

"Allah tabaraka wa ta'ala turun kepada makhlukNya pada malam Nisfu Syaaban lalu Dia mengampuni seluruh makhlukNya kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuhan."

Riwayat Ibnu Abi al-Asim dan yang lain. Dinilai sahih dalam as-Sahihah (no. 1144).

Hadis di atas menjelaskan tentang fadilat malam Nisfu Syaaban.

Dalam masa yang sama, tidak sabit dalam mana-mana hadis atau athar bahawa Nabi ﷺ atau para Sahabat mengkhususkan malam Nisfu Syaaban dengan amalan-amalan tertentu seperti solat dan doa.

Sekalipun dalam kalangan Salaf ada yang mengerjakan solat pada malam Nisfu Syaaban tetapi perbuatan menghidupkannya dengan amalan-amalan tertentu secara berjemaah jelas mengada-ngadakan perkara baharu dalam Agama.

Adapun berpuasa pada hari 15 Syaaban maka ia termasuk dalam anjuran berpuasa pada Hari-Hari Putih (13, 14 dan 15 hari bulan Hijrah).

Justeru berdasarkan hadis fadilat malam Nisfu Syaaban yang telah dikemukakan di atas, Muslim dianjurkan supaya memperbanyakkan amalan-amalan ketaatan bagi melayakkannya mendapat keampunan Allah di samping menjauhi perkara-perkara maksiat dan dosa yang akan menghalangnya daripada mendapat keampunan ini. 

Antara dosa-dosa ini ialah dosa syirik yang merupakan penghalang segala kebaikan di samping kebencian dan permusuhan dengan sesama Muslim yang merupakan penghalang keampunan pada waktu-waktu turunnya keampunan dan rahmat Allah.

Catatan: Penghargaan kepada Ustaz Wira Bachrum hafizahullah.



[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments