Thulathiyyat

 OLEH: Ustaz Abid Annuriyy

Antara perkara yang menjadi kebanggaan para ahli hadith ketika zaman periwayatan hadith adalah apabila sesebuah hadith yang diriwayatkannya memiliki sanad yang tinggi atau jalur periwayatannya mempunyai sedikit sahaja bilangan perawi yang menjadi perantaraan antara seseorang tokoh hadith dan Nabi SAW.

Bagi para penulis kitab Sunan Sittah, bilangan perawi yang paling sedikit yang menjadi perantaraan antara mereka dengan Nabi SAW adalah seramai tiga perawi. Sebagai contoh, al-Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith:

من يقل ما لم أقل فليتبوأ مقعده من النار

Al-Imam al-Bukhari telah meriwayatkan hadith ini daripada Makki bin Ibrahim daripada Yazid bin Abi 'Ubaidillah daripada Salamah bin al-Akwa' daripada Nabi SAW.

Perawi yang menjadi perantaraan antara al-Imam al-Bukhari dan Nabi SAW adalah seramai tiga orang, iaitu Makki, Yazid dan Salamah. Hadith-hadith seperti ini sebutkan sebagai ثلاثيات. 

Bagi kategori Sunan Sittah, Sahih al-Bukhari merupakan kitab yang paling banyak mengandungi hadith Thulathiyyat. Berikut adalah bilangan hadith-hadith Thulathiyyat dalam Sunan Sittah:

1- Sahih al-Bukhari = 22 hadith

2- Sunan al-Tirmizi = 1 hadith

3- Sunan Ibn Majah = 5 hadith

Bagi tiga lagi kitab hadith dalam kategori Sunan Sittah iaitu Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud dan Sunan al-Nasa'i, tidak terdapat hadith thulathiyyat dalam ketiga-tiga kitab tersebut. Paling tinggi dalam kitab-kitab tersebut adalah hadith رباعيات ruba'iyyat (empat perawi yang menjadi perantaraan antara penulis dan Nabi SAW).


[Gerakan PENA  Malaysia]



Comments