Melampau Dalam Agama

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

# Ghuluw menghormati guru & orang soleh

Banyak penyimpangan dan kesesatan yang timbul dalam kalangan sebahagian masyarakat Islam akibat sikap melampau dan berlebih-lebihan dengan guru dan orang soleh. 

Sikap melampau ini membuatkan mereka mengagung-agungkan individu-individu tertentu seperti Ali, al-Husain dan al-Badawi di Mesir, Syeikh Abdul Qadir al-Jilani di Iraq, Ibnu Arabi di Syria dan yang terbaru al-Habib Umar Hafidz di Yaman. 

Pengagungan ini akhirnya menjerumuskan mereka dalam lembah bidaah dan kesyirikan apabila timbul kepercayaan bahawa individu yang diagungkan itu merupakan seorang wali yang diberikan kelebihan-kelebihan tertentu seperti keupayaan mengetahui perkara ghaib, menyembuhkan penyakit, menghilangkan bencana, menurunkan hujan dan sebagainya. 

Barangkali sebahagian menganggap bahawa si guru dan orang soleh itu telah sampai ke makam tertentu di sisi Allah sehingga kedudukan, keberkatan liur, salam dan sentuhannya mampu mendekatkan diri kepada Allah. Malah si guru dan orang soleh itu mungkin memegang kunci untuknya masuk syurga. 

Perlu ditegaskan bahawa keupayaan mengetahui perkara ghaib, menyembuhkan penyakit, menghilangkan bencana, menurunkan hujan, penentuan masuk syurga atau tidak merupakan hak milik mutlak Allah ﷻ. Tiada sesiapa yang bersekutu dengan Allah dalam hal-hal ini. 

Menghormati guru dan orang soleh dituntut dan dianjurkan oleh Agama tetapi jangan sampai melampau, ghuluw dan berlebih-lebihan dengan menganggap si guru mempunyai kesaktian, keberkatan pada liur, salam dan sentuhannya kerana hal-hal seperti ini menyalahi syariat. 

Yakinlah bahawa jika benar seorang guru dan orang soleh itu mempunuyai kelebihan-kelebihan seperti ini tentunya ia akan didahului oleh para Sahabat yang mulia seperti Abu Bakar, Omar, Othman dan Ali – semoga Allah meredai mereka. Ternyata mereka tidak pernah mendakwa sedemikian ataupun dianggap begitu oleh para Sahabat lain dan para ulama muktabar yang datang kemudian. 

Sedangkan Nabi ﷺ bersabda: 

هَلَكَ المُتَنَطِّعُونَ.

“Telah binasa mereka yang melampau.” 

Sahih. Riwayat Muslim. 

Omar al-Khattab menegaskan: 

نُهِينَا عَنْ التَّكَلُّف.

“Kami ditegah daripada berlebih-lebihan.”

Sahih. Riwayat Bukhari. 



CATATAN: 

Elakkan menghantar anak-anak ke tempat pengajian yang mengkultuskan gurunya, menggantung potret wajahnya, mengajar murid mencium kakinya, menganggap si guru mempunyai kelebihan sakti dan seumpamanya. 

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan perlindungan. 

[Gerakan PENA Malaysia]


Comments