Membongkar Ajaran Buku Rahsia Magnet Rezeki

OLEH: Ustaz Suhili Nain

Ini adalah sedikit catatan ke atas buku Rahasia Magnet Rezeki, yang mengajarkan Metode #GarpuTala dan pada kali ini fokus kritikan adalah kepada Law of Projection.

1. Pada poin satu, Pak Nas mengatakan setiap fikiran adalah doa, dalilnya ada hadis "Aku menurut sangkaan hamba-Ku." 

Ini adalah kefahaman yang salah. Tiada seorang ulama hadis pun yang mensyarahkan hadis ini memahami sedemikian.

Sangkaan dalan hadis ini bukan merujuk kepada setiap fikiran, sehingga termasuk sangkaan kepada sesama makhluk, tetapi khusus hanya sangkaan kepada Allah sahaja.

Lihat teks hadis ini secara lengkap, barulah kita dapat memahami hadis ini secara tepat:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا، وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً “

“Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu ia berkata bahwa Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam bersabda, Allah Taala berfirman, “AKU mengikuti sangkaan hamba-KU terhadap-KU. Dan AKU ada bersamanya jika dia sentiasa ingat AKU. Jika dia ingat AKU sendirian, maka AKU pun akan ingat dia sendirian. Jika dia ingat AKU dalam sekumpulan orang, AKU akan ingat dia dalam kumpulan yang lebih baik dari itu (Malaikat). Jika dia mendekat kepadaKU sejengkal, AKU akan mendekat kepadanya sehasta, jika dia mendekat kepadaKU sehasta, AKU akan mendekat kepadanya satu depa. Jika dia datang kepadaKU dengan berjalan, maka AKU akan mendatanginya berlari” (Sahih Al-Bukhari, no.7405).

Namun, Pak Nas telah keliru bahawa fikiran kita terhadap sesama makhluk juga akan menjadi doa kepada diri kita. Tidak boleh benci keburukan, nanti akan jadi doa kepada diri kita. Lihat gambar 2 untuk lebih memahami ajaran Pak Nas. 

Kekeliruan ini berpunca disebabkan Pak Nas tidak tahu bagaimana berinteraksi dengan Al-Quran dan As-Sunnah menurut disiplin ilmu.

=====

2. Pada poin dua dan tiga, penerangan Law of Projection ini hakikatnya sama dengan Law of Attraction. Hanya ditukar nama, bahawa minda kita mempunyai kuasa, memancarkan frekuensi positif dan frekuensi negatif, seterusnya membentuk realiti kita. 

Beliau mengambil ini daripada Rhonda Byrne dalam buku The Secret lalu cuba menapis dan Isamisasi. Namun, beliau gagal melakukannya, lantaran kurang faham mengenai Al-Quran dan As-Sunnah, serta ilmu Usul Tafsir dan Usul Fiqh. Terjadi sinkritisme; penggabungan 2 ajaran berlawanan Law of Attraction dan ajaran Islam, lalu membentuk satu ajaran baru yang menyelisihi Islam.

Buku The Secrets oleh Rhonda telah dikritik daripada segi Sains oleh golongan Sains dan menyatakan Law of Attraction yang menjadi rujukan asal Pak Nas adalah Pseudoscience.

Sumber: https://www.livescience.com/5303-pseudoscience-secret.html

https://www.psychologytoday.com/.../the-truth-about-the...

https://www.nytimes.com/.../26/books/review/Chabris-t.html

=====

3. Pada poin 4, ini adalah satu ajaran yang menyeru kita hidup di atas khayalan dan menolak realiti, sehingga semua dikatakan sebagai bagus. 

Nampak orang terkena musibah, nampak orang berbuat jahat, kata saja "buaaguss" "kerreeen" dalam hati, lalu pandang sisi positif sahaja, jangan ada perasaan benci atau tidak suka sama sekali, kerana kononnya itu nanti akan jadi doa kepada diri kita. (Lihat di atas)

Ini adalah satu bentuk ajaran "Toxic Positivity" yang dibantah oleh golongan Psikologi. Menafikan realiti hidup, bahawa wujud perkara buruk di atas muka bumi. Positif sahaja sepanjang masa.

Sedangkan Al-Quran dan As-Sunnah pun membahagikan ada keburukan dan kebaikan, ada orang baik dan orang jahat, ada senang ada susah, apakah kita mahu menafikan fakta yang disajikan Al-Quran lalu hidup dalam khayalan rekaan sendiri? Adakah begitu ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya?

=====

4. Pak Nas menggunakan eksperimen air yang dibuat oleh Masaru Emoto untuk menyokong ajaran beliau.

Namun, sejauh manakah kukuhnya eksperimen Masaru Emoto ini?

Pertama sekali, Masaru Emoto bukanlah seorang saintis. Malah, beliau tidak mendapat pendidikan dalam bidang perubatan. Masaru Emoto mendapat pangkat Dr dengan PhD dalam bidang Perubatan Alternatif sahaja, di Open International University for Alternative Medicine di India.

Eksperimen yang dibuat oleh Masaru Emoto hakikatnya tidak menepati piawaian sains yang sebenar, malah mendapat kritikan oleh golongan Saintis.

Kritikan Ahli Biokimia:

https://www.irishtimes.com/.../the-pseudoscience-of...

Kritikan Ahli Fizik:

https://www.redorbit.com/.../masaru_emotos_wonderful...

Kritikan Ahli Kimia:

https://www.chem1.com/CQ/clusqk.html 

Hakikatnya, buku Rahasia Magnet Rezeki dibangunkan atas Pseudoscience dan tafsiran salah terhadap Al-Quran dan As-Sunnah.

Ada lagi yang boleh dibongkar, insya Allah..





Salah satu dakwaan ajaib dalam buku Rahasia Magnet Rezeki, saat kita setuju pernyataan ada orang jahat di muka bumi ini, maka kita sebenarnya kita sedang berdoa supaya Allah jadikan kita jahat.
Mungkin kita rasa ini biasa, tetapi dakwaan ini sebenarnya dahsyat tanpa kita sedari.

1 - Tanpa kita sedari, kita merosakkan makna ibadah doa yang diajarkan dalam Islam. Jika setiap fikiran adalah doa, maka apa gunanya ayat seruan berdoa dan adab berdoa yang diajarkan?
2 - Tanpa kita sedari, kita menuduh Allah itu jahil dan tidak bijaksana, sebab tidak mampu membezakan mana satu kehendak hamba-Nya dan mana bukan kehendak hamba-Nya.
3 - Menolak realiti fakta yang diajarkan Al-Quran bahawa manusia itu ada yang jahat dan fasiq. Kalau menerima realiti fakta itu maka jadi doa kepada kita, secara tidak langsung, bukankah itu seolah-olah Al-Quran telah mengajarkan kita berdoa supaya kita jadi jahat? (Mengikut konsep buku Rahasia Magnet Rezeki ini)
4 - Buku ini ajar, semua orang adalah baik, cuma tingkat kebaikan berbeza-beza. Ada yang tingkat kosong, ada yang lebih tinggi daripada yang lain. 
Kita persoal, kalau kita fikir begitu, adakah ia akan mengubah realiti dan akan terus sirna lintasan jahat atau tidak baik dalam hati kita? Adakah kita akan terus jadi sebaik malaikat? Bukankah dalam diri kita ada hawa nafsu yang selalu menyeru keburukan?
Mengajarkan semua manusia semua adalah baik, tiada seorang pun yang jahat, ini adalah mengajak manusia hidup di atas ilusi rekaan sendiri.
5 - Pada halaman 68, buku ini menyatakan urusan orang kafir, zalim, fasik, musyrik itu urusan dia dengan Allah. Kita tiada urusan dengan mereka, yang layak menilai itu cuma qadhi atau hakim. 
Kita persoal, jadi seorang ayah tidak layak menilai dan menghukum anaknya? Sekiranya seorang penjenayah merompak di depan mata, maka tunggu saja qadhi ataupun hakim yang menilai, dia itu benar-benar penjenayah ataupun bukan? 
Apakah hadis Nabi SAW seruan mencegah munkar hanya ditujukan buat qadhi dan hakim?
======



Ironinya pejuang ajaran ini melabel saya tidak berakhlak, bukankah kalau ikut konsep mereka, sebenarnya mereka sedang doakan diri mereka menjadi tidak berakhlak dan tidak beradab? Sikap mereka saat ini begitu kontradik dengan apa yang mereka perjuangkan.


Hari ini saya sambung semula berkenaan kritikan ke atas buku Rahasia Magnet Rezeki.
Dalam muka surat 107, Nasrullah mengatakan apabila kita ditimpa perkara tidak diingini maka cuma ada 2 pilihan, iaitu kita bersedih ataupun kita bersyukur. 

Dakwaan Nasrullah ini adalah keliru, seolah-olah mewajibkan orang yang ditimpa musibah supaya bersyukur, dan tiada pilihan lain.

Dalam Islam selain syukur kita ada konsep sabar, kemudian ada konsep reda.
Allah SWT berkata:
وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَیۡءࣲ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصࣲ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَ ٰ⁠لِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَ ٰ⁠تِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِینَ.  ٱلَّذِینَ إِذَاۤ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِیبَةࣱ قَالُوۤا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّاۤ إِلَیۡهِ رَ ٰ⁠جِعُونَ
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Surah Al-Baqarah: 155 - 156)

Ibnu Katsir berkata: 
"Seseorang yang ditimpa musibah dan dia meyakini bahwa musibah tersebut merupakan ketentuan dan takdir Allâh Ta’ala, kemudian dia bersabar dan mengharapkan (balasan pahala dari Allâh Ta’ala), disertai (perasaan) tunduk berserah diri kepada ketentuan Allâh Ta’ala tersebut, maka Allâh Ta’ala akan memberikan petunjuk ke (dalam) hatinya dan menggantikan musibah dunia yang menimpanya dengan petunjuk dan keyakinan yang benar dalam hatinya, bahkan bisa jadi Allâh Ta’ala akan menggantikan apa yang hilang darinya dengan sesuatu yang lebih baik baginya.” (Tafsir Ibnu Katsir,  8/137)

Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah berkata:
“Sesungguhnya semua (musibah) yang menimpa orang-orang yang beriman dalam (menjalankan agama) Allâh Ta’ala senantiasa disertai dengan sikap ridha dan ihtisâb (mengharapkan pahala dari-Nya). Kalaupun sikap ridha tidak mereka miliki maka pegangan mereka adalah sikap sabar dan ihtisâb. Ini (semua) akan meringankan beratnya beban musibah tersebut.(Ighatsah Al-Lahfan, hal. 421)
.

MENGKRITIK LANDASAN MAGNET REZEKI.
======
Nasrullah mengatakan bahawa Magnet Rezeki adalah sebuah ilmu yang mengajak kepada kita semua agar memiliki keajaiban daripada Allah SWT. 
Boleh tonton di sini: 

Keajaiban di sisi Nasrullah bermaksud sesuatu yang sangat kita inginkan, yang bagus, yang sempurna yang tiba-tiba datang tanpa dirancang, tidak logik dan tanpa penjelasan matematik.

Nasrullah membahagikan kehidupan manusia ini kepada dua bahagian, iaitu tiada keajaiban ataupun keseluruhannya adalah keajaiban, berdasarkan ucapan Albert Einstein.

“There are only two ways to live your life. One is as though nothing is a miracle. The other is as though everything is a miracle.”

Maksudnya: “Di sana hanya ada dua cara menjalani hidup anda. Pertama adalah mempercayai tidak wujud keajaiban. Yang satu lagi mempercayai segalanya adalah keajaiban.”

Berdasarkan kata-kata ini, Nasrullah dengan ilmu Magnet Rezeki membawa ajaran agar memilih bahawa keseluruhan hidup adalah keajaiban.

Bagi menyokong gagasan untuk menjadikan keseluruhan hidup adalah keajaiban, Nasrullah membawa beberapa hujah, iaitu kisah mukjizat para nabi dan rasul, karamah para wali dalam Al-Quran.
Selepas membawa kisah Nasrullah menambah, bahawa tujuan Allah SWT menceritakan kisah tersebut bukanlah sekadar penambah iman, membuktikan kebenaran para rasul, ia juga untuk mengajarkan  KEAJAIBAN ITU ADALAH UNTUK DIPRAKTIKAN. 

Justeru, manusia perlu belajar bagaimana untuk mendapatkan keajaiban daripada Allah SWT. Cara untuk menjadikan keseluruhan hidup kita satu keajaiban itu pula, terkandung dalam ilmu Rahasia Magnet Rezeki, positive thinking, positive feeling dan positive motivation.
=======
KRITIKAN # 1 : HIDUP SELURUHNYA KEAJAIBAN.
=======
Pertama, kata-kata ini tidak dapat dibuktikan sebagai kata-kata Albert Einstein. Berdasarkan rekod, perkataan ini paling awal disandarkan kepada Einstein oleh Gilbert Fowler White, pada tahun 1940 dan tidak ada sebarang rujukan yang dinyatakan oleh beliau. Ia adalah satu pemalsuan.
Sumber: 

Kedua, makna kata-kata ini adalah tidak bertepatan dengan realiti, iaitu membahagikan kehidupan kepada tiada keajaiban dan keseluruhannya keajaiban. 
Realitinya, bukan kesemua hidup ini keajaiban; yang semua perkara kita kehendaki akan datang sendiri tanpa disangka-sangka. Ada perkara yang kita perlu berusaha dan bekerja, dan bukan hanya menunggu keajaiban datang sendiri.

Bukankah Allah SWT menyatakan dalam Al-Quran bahawa hidup ini untuk Allah SWT menguji kita siapakah yang paling baik amalnya?
ٱلَّذِی خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَیَوٰةَ لِیَبۡلُوَكُمۡ أَیُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلࣰاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِیزُ ٱلۡغَفُورُ
"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." 
[Surah Al-Mulk: 2]

=====
KRITIKAN # 2 : KEAJAIBAN UNTUK DIPRAKTIKKAN.
=====
Perbuatan Nasrullah menyimpulkan bahawa tujuan Allah menyatakan keajaiban di dalam Al-Quran antaranya adalah agar manusia belajar mempraktikan keajaiban.

Saya melihat, dalam bab ini Nasrullah tidak melihat kehidupan para Nabi dan Rasul secara menyeluruh. Beliau hanya melihat sebahagian lalu membuat kesimpulan secara mudah. 
Hakikatnya, kehidupan para nabi dan rasul, para wali tidak selamanya dalam keajaiban; tidak semua yang dikehendaki akan datang sendiri.

Para Nabi dan Rasul tidak sibuk mencari-cari keajaiban daripada Allah untuk mereka mendapatkan rezeki dunia, mereka juga berusaha dengan bekerja. 

Nabi Musa AS menggembala kambing, Nabi Dawud AS bekerja sebagai tukang besi, Nabi Muhammad SAW pernah menggembala kambing dan berniaga.
Nabi Muhammad SAW berkata:
مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ ، وَإِنَّ نَبِىَّ اللَّهِ دَاوُدَ – عَلَيْهِ السَّلاَمُ – كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ
“Tidaklah seseorang memakan suatu makanan yang lebih baik daripada makanan yang dia makan daripada hasil kerja keras tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Dawud AS dahulu makan dengan hasil kerja tangannya.” [Shahih Al-Bukhari, no. 2072]

Para sahabat dan Salaf terdahulu juga bekerja untuk menampung kehidupan mereka. Abdurrahman bin Aur RA adalah seorang peniaga, Imam Muhammad bin Sirin adalah saudagar minyak, dan Imam Al-Bukhari melabur dengan harta beliau.
\
Keajaiban yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada para nabi dan rasul, disebut mukjizat. Mukjizat adalah suatu perkara yang tidak boleh dipelajari. Keajaiban yang berlaku kepada orang Soleh pula disebut sebagai Maunah dan Karamah. Mukjizat, Maunah dan Karamah ini pula bukanlah sesuatu yang berlaku sepanjang masa, mengikut kehendak seseorang, tetapi ia kembali kepada iradat Allah SWT, maka bagaimana dikatakan bahawa Allah SWT menceritakan keajaiban dalam Al-Quran, agar kita belajar menjadikan kehidupan kita ajaib seluruhnya?
=====
KESIMPULAN.
=====
Kesimpulannya, asas ajaran Rahsia Magnet Rezeki yang dibawa oleh Nasrullah berkaitan bahawa seluruh hidup ini merupakan keajaiban adalah satu ajaran yang keliru dan tidak bertepatan konsep Al-Quran dan As-Sunnah. Apabila landasannya sudah mengelirukan, maka ini menyebabkan perkara yang dibina di atas landasan ini menjadi bermasalah, seperti mana yang disebutkan dalam artikel-artikel yang saya tulis pada tahun lalu.



MAGNET REZEKI, DUDUK DIAM REZEKI DATANG SENDIRI?
======
.
Magnet Rezeki adalah program motivasi dan pembangunan diri yang diasaskan oleh Nasrullah daripada Indonesia. Meskipun begitu, ilmu Magnet Rezeki ini terkenal dan ia turut dipromosikan oleh public figure tersohor di Malaysia.

Dalam penerangan video Landasan Magnet Rezeki yang pertama, Nasrullah menjelaskan bahawa Magnet Rezeki itu adalah keadaan kita duduk diam, lalu rezeki itu datang sendiri.
Boleh rujuk video tersebut di sini: 

Bagi membenarkan perkara tersebut, Nasrullah telah menyebutkan 3 dalil daripada Al-Quran, iaitu:
وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًا. وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ 
“….sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah Ath-Thalaq: 2-3)

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ ٱلَّذِى ٱرْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ 
“…Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)….” (Surah An-Nur: 55)

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِى ٱلزَّبُورِ مِنۢ بَعْدِ ٱلذِّكْرِ أَنَّ ٱلْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِىَ ٱلصَّـٰلِحُونَ
“…Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.." (Surah Al-Anbiya: 105)
.
======
KRITIKAN
======
Dalam Al-Quran, sememangnya ada dinyatakan mengenai rezeki yang datang daripada arah yang tidak disangka-sangka dan tidak terlintas dalam hati kita. Meskipun begitu, rezeki tersebut bukan datang dengan cara duduk diam seperti yang didakwa oleh Nasrullah dalam rahsia Magnet Rezeki.
Apabila kita perhatikan 3 ayat yang disebutkan oleh Nasrullah, rezeki itu datang dengan syarat tertentu. Apakah syarat itu? Syarat tersebut adalah bertakwa kepada Allah SWT. 

Apakah itu takwa? Adakah takwa itu duduk diam, tanpa melakukan apa-apa? Takwa ertinya adalah kita melaksanakan perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.
Jelas daripada definisi takwa, seseorang yang bertakwa bukanlah seorang yang duduk diam menunggu rezeki datang dengan sendiri. Sebaliknya mereka itu adalah orang yang berusaha untuk mencari rezeki di atas muka bumi, kerana itu adalah termasuk perintah daripada Allah SWT.

Allah SWT berkata dalam Al-Quran:
ٱللَّهُ ٱلَّذِى سَخَّرَ لَكُمُ ٱلْبَحْرَ لِتَجْرِىَ ٱلْفُلْكُ فِيهِ بِأَمْرِهِۦ وَلِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Jatsiyah: 12)

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللهِ
“Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di atas muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Surah Al-Jumuah: 10)

Nabi Muhammad SAW berkata:
مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ ، وَإِنَّ نَبِىَّ اللَّهِ دَاوُدَ – عَلَيْهِ السَّلاَمُ – كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ
“Tidaklah seseorang memakan suatu makanan yang lebih baik daripada makanan yang dia makan daripada hasil kerja keras tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Dawud AS dahulu makan dengan hasil kerja tangannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2072)

‌لا ‌يقعدن ‌أحدكم ‌عن ‌طلب ‌الرزق ويقول: اللهم ارزقني، وقد علم أن السماء لا تمطر ذهبًا ولا فضة.
“Janganlah salah seorang daripada kamu duduk (tidak melakukan apa-apa usaha) mencari rezeki sambil berdoa ‘Wahai Allah, berikanlah daku rezeki’ sedangkan dia tahu bahawa langit tidak menurunkan emas dan perak.” (Mawshu’ah Al-Akhlaq wa Az-Zuhd wa Ar-Raqaiq, 2/286 – Yasir bin Abdur Rahman)

Sebagai kesimpulan, Magnet Rezeki bukanlah sebahagian ilmu Allah SWT seperti yang didakwa oleh Nasrullah. Apabila kita teliti secara saksama, ternyata ilmu Magnet Rezeki itu, yakni duduk diam, rezeki datang sendiri adalah bercanggah dengan apa yang disebutkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Malah, Nasrullah telah keliru memahami ayat Al-Quran yang dijadikan dalil menyokong fahaman beliau.

Ajaran ini bukan sekadar biasa-biasa, ia mengandungi ajaran berunsur gerakan New Age, seperti Law of Attractions yang disinkritisme dengan ajaran Islam.
Bole rujuk komen untuk melihat kekeliruan yang di bawa oleh ajaran Magnet Rezeki ini..



Magnet Rezeki mengajarkan bahawa seluruh alam ini adalah energi. Diri kita, rumah, kereta dan segala benda material hakikatnya adalah satu iaitu energi. Kita satu, sama dan terhubung.
Apabila semuanya adalah energi dan satu, sama dan terhubung, maka semua itu boleh kita tarik dengan pancaran gelombang positif  yang terpancar daripada minda kita yang terhasil dengan positive thinking, positive feeling, dan positive motivation.

Apakah dakwaan Nasrullah itu benar?
Ketahuilah, dakwaan Nasrullah ini sebenarnya tidak berlandaskan ilmu sains yang sebenar. Meskipun beliau mendakwa ia adalah berdasarkan fizik kuantum.

Hakikatnya, dalam alam ini energi atau tenaga bukan satu saja. Ada pelbagai jenis tenaga yang wujud. Ada tenaga elektrik, tenaga kinetik, tenaga kimia, tenaga haba dan lain-lain.
Tidak pernah kita ketahui manusia ada keupayaan menarik dan mengakses tenaga elektrik dengan gelombang minda semata-mata. 

Bahkan, para ahli fizik pun apabila buat eksperimen berkaitan kuantum, perlukan pengiraan, perlukan alat untuk membuat eksperimen. Bukan itu sahaja, dalam kuantum juga boleh wujud perkara berlawanan. Bukan semuanya sama.

Bagaimana pula Nasrullah boleh mendakwa bahawa energi tahap kuantum boleh diakses dengan gelombang minda semata-mata?

Satu persoalan, rezeki yang dikatakan sebagai energi oleh ajaran Magnet Rezeki termasuk dalam energi @ tenaga jenis apa?
Walaupun Nasrullah mengaku dirinya saintis, berlatar belakang pengajian kimia, beliau sebenarnya telah melanggar disiplin ilmu sains. Bahkan, mempromosikan pseudosains.
Disebabkan alasan pseudosains yang dibawa Nasrullah ini, terdapat ustaz dan ustazah yang mengikuti ajaran Magnet Rezeki, kerana menelan bulat-bulat dakwaan kuantum, yang hakikat adalah satu kekeliruan.

Terdapat beberapa lagi hujah-hujah lain membuktikan Magnet Rezeki adalah satu pseudosains. Insya Allah, akan dikongsikan dalam kesempatan lain.


[Gerakan PENA Malaysia]

Comments