Pendapat Jumhur Ulama Adalah Benar?

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


# Pendapat majoriti tidak semestinya benar

Sekiranya pendirian jumhur ulama adalah ukuran kebenaran maka ini bererti bahawa setiap pendapat minoriti adalah salah. Lalu setiap pandangan ulama yang menyalahi jumhur dalam apa jua permasalahan perlu disaring dan dianggap batil semata-mata kerana ia menyalahi pendirian jumhur ulama.

Tiada mana-mana ulama yang berkata sedemikian.

Bahkan Ibnu Hazm* menolak pendekatan berhujah dengan alasan ia merupakan pendapat jumhur ulama dengan menjelaskan bahawa terdapat banyak contoh di mana tokoh-tokoh ulama telah menyalahi pendirian jumhur dalam pelbagai permasalahan.

Perlu diakui bahawa pendirian jumhur bukanlah hujah kerana tiada nas yang menunjukkan sedemikian.

Sedangkan ALLAH ﷻ tidak pula mengarahkan untuk kembali kepada selain daripada Al-Quran dan hadis apabila timbul perselisihan (Al-Quran 4:59).

Maka barang siapa mengembalikan suatu perselisihan kepada selain firman ALLAH ﷻ dan sabda RasulNYA ﷺ bererti dia telah melampaui batasan yang ditetapkan oleh ALLAH ﷻ.

Ibnu Hazm berpandangan bahawa sekalipun jika jumhur ulama memilih satu pendapat dan seorang ilmuwan lain memilih pendapat yang berbeza maka perselisihan tersebut tetap perlu dikembalikan kepada Al-Quran dan hadis kerana itulah yang diperintahkan oleh syariat, dan ALLAH ﷻ sama sekali tidak menitahkan supaya sesuatu perselisihan itu dikembalikan kepada pendapat jumhur atau seumpamanya.

Beliau mengingatkan bahawa keganjilan (shadz) ialah apa yang menyalahi kebenaran sekalipun ia didukung oleh seluruh penduduk bumi melainkan seorang. Dalilnya ialah kerana keganjilan (shadz) itu tercela manakala kebenaran itu terpuji maka tidak mungkin apa yang tercela dipuji dalam masa yang sama.

Justeru sama sekali tidak boleh dikatakan pendapat seorang yang menyalahi jumhur sebagai salah dan ganjil (shadz) sekiranya dalil dan hujah bersamanya.

Lihat sahaja ketika mana hanya Abu Bakar dan Khadijah memeluk Islam dan mereka bersama Nabi ﷺ adalah al-Jamaah manakala majoriti penduduk bumi sesat dan ganjil (shadz).

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan pertolongan.





[Gerakan PENA Malaysia]


Comments