Roh Saling Bertemu Selepas Meninggal Dunia

 OLEH: Abu Aqif



Dari Aisyah رضي الله عنهما beliau mengatakan,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ صَحِيحٌ يَقُولُ: ” إِنَّهُ لَمْ يُقْبَضْ نَبِيٌّ قَطُّ حَتَّى يَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الجَنَّةِ، ثُمَّ يُحَيَّا أَوْ يُخَيَّرَ

"Ketika masih sihat, Rasulullah ﷺ pernah bersabda,

"Bahawa tidaklah seorang nabi diwafatkan, hingga dia melihat tempatnya di syurga. Kemudian dia diberi salam perpisahan dan diberi pilihan."


Aisyah رضي الله عنهما melanjutkan,

"Ketika Rasulullah ﷺ sakit dan mendekati ajal, sementara kepala beliau di pangkuan Aisyah, beliau pengsan. Ketika sedar, beliau menengadahkan matanya ke atap rumah, kemudian beliau mengucapkan,

اللَّهُمَّ فِي الرَّفِيقِ الأَعْلَى

"Ya Allah, bersama ar-Rafiq al-A'la"


Aisyah lalu bertanya, "Bererti anda nanti tidak bersama kami?"


"Namun ternyata tidak ada jawapan beliau. Aisyah sedar bahawa beliau dalam keadaan seperti yang pernah beliau sampaikan kepada kami ketika beliau masih sihat." [HR. Bukhari 4437 dan Muslim 2444].


Majoriti ulama menegaskan bahawa yang dimaksud ar-Rafiq al-A'la adalah arwah para nabi dan rasul yang berada di tempat yang sangat tinggi. [Syarh Shahih Muslim an-Nawawi, 15/208].

Kata Ibn Qayyim al-Jauziyah berkenaan roh saling bertemu selepas meninggal dunia;

"Ini adalah satu perbahasan yang mulia lagi besar (untuk membahaskannya). Jawapannya adalah; Roh terbahagi kepada dua. Roh yang diazab dan roh yang diberi nikmat. Roh yang diazab terlalu sibuk diazab sehinggakan tiada masa bagi mereka untuk saling bertemu dan berziarah antara satu sama lain.

"Manakala roh yang diberi nikmat tanpa dibelenggu oleh apa-apa, mereka saling bertemu dan saling berziarah antara satu sama lain. Mereka juga saling mengingat antara satu sama lain tentang apa yang telah berlalu di dunia dan apa yang berlaku kepada ahli keluarga mereka yang masih hidup. Setiap roh (yang diberi nikmat) bersama siapa yang dia ikut dan roh Nabi kita berada di tingkat paling atas sekali. Bertepatan dengan firman Allah SWT."

Maksudnya: "Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul maka mereka akan bersama orang yang diberi nikmat oleh Allah dari kalangan Nabi, orang yang benar (imannya), para syuhada dan juga orang yang soleh. Dan amatlah elok mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang taat)."

Kebersamaan ini berlaku sama ada di dunia, di alam barzakh mahupun di hari kiamat kelak. Dan mereka berada bersama siapa yang mereka suka." [Rujuk Kitab al-ruh, halaman 17].

Berpisah di dunia hanya sebentar, bakal bertemu semula di kehidupan abadi. Syaratnya tetaplah dalam agama Allah. Tinggalkan dosa, banyakkan ilmu dan ibadah.

Gambar hiasan semata-mata


[Gerakan PENA Malaysia]

Comments