Bunuh Diri, Kafir?

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman


Membunuh diri termasuk antara sebesar-besar dosa.

ALLAH ﷻ berfirman:

وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِیمࣰا.

"Dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengasihani kamu."

[Al-Quran; an-Nisa': 29]

Sabda Nabi ﷺ:

"Barang siapa membunuh dirinya dengan sesuatu maka dia akan diseksa dengannya pada Hari Kiamat."

Membunuh diri merupakan antara seburuk-buruk dosa.

Sekalipun demikian pelakunya di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak jatuh kafir sekiranya dia Muslim yang solat, menzahirkan keislamannya, mengesakan ALLAH ﷻ dan tidak menyekutukanNYA.

Justeru kedudukan orang yang membunuh diri di akhirat sama seperti pelaku-pelaku maksiat yang lain di mana terserah kepada ALLAH ﷻ sama ada untuk mengampuninya dan memasukkannya ke dalam syurga atau menyeksanya dalam api neraka mengikut kadar dosanya sebelum akhirnya dia dimasukkan ke dalam syurga.

Ahli keluarganya dan kaum Muslimin yang lain sewajarnya mendoakan keampunan serta rahmat ALLAH ﷻ buatnya, moga-moga ALLAH ﷻ mengampuninya serta mengasihaninya sekiranya dia Muslim.

Tetapi jika orang yang membunuh dirinya itu bukan Muslim, tidak solat, memperlecehkan Agama, menganut kepercayaan-kepercayaan sesat dan seumpamanya maka  orang sebegini tidak boleh didoakan untuknya. Sekalipun demikian, hakikat urusannya di akhirat terserah kepada ALLAH ﷻ.

Semoga Allah mengampuni keterlanjuran kita serta mematikan kita dalam Islam.




[Gerakan PENA Malaysia]

Comments