Agama Hawa Nafsu

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


Hawa nafsu senantiasa mendorong manusia ke arah kejahatan.

Firman Allah ﷻ:

إِنَّ ٱلنَّفۡسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ

"Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan.”

[Al-Quran, Yusuf, 12:53]

Oleh itu, ada manusia yang terlalu tunduk kepada hawa nafsunya hingga dia taat memujanya dan menjadikannya sebagai sembahannya.

Lalu apa yang buruk dilihat baik olehnya akibat dorongan hawa nafsu yang menjadi mazhab agamanya.

Firman Allah ﷻ:

أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَكِيلًا

“Nampakkah engkau keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai sembahannya yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya agar tidak sesat?”

[Al-Quran, al-Furqan, 25:43]

Firman Allah ﷻ:

أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٖ

“Bagaimana fikiranmu terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sembahan yang dipatuhinya lalu dia disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap akan kufur ingkar).”

[Al-Quran, al-Jathiah, 45:23]

Hanya sahaja golongan yang didorong oleh hawa nafsu bukanlah semua sama di atas satu darjat.

Ada sebahagian yang lebih buruk daripada yang lain.

Ada yang sampai jatuh kufur syirik, ada yang terjebak dalam dosa besar, dan ada yang jatuh dalam dosa kecil.



Golongan yang hawa nafsunya mendorongnya sehingga mendustakan agama, mempermainkannya atau berpaling daripadanya maka mereka kafir kerana melakukan kufur akbar.

Demikian jika dinafikan apa yang sedia maklum diketahui sebahagian daripada ajaran agama; contohnya kewajipan solat fardu lima waktu, menghalalkan zina atau minuman arak maka ia kufur akbar terkeluar daripada Islam.

Adapun golongan yang hawa nafsunya mendorongnya melakukan bidaah yang tidak sampai ke tahap kufur maka dia masih Islam tetapi ahli bidaah.

Golongan yang mengikut hawa nafsunya sehingga melakukan dosa besar seperti zina dan minum arak maka dia fasik.

Jika seseorang itu terdorong dengan hawa nafsunya melakukan dosa kecil maka orangnya dikatakan melakukan maksiat sedangkan jika dia terus bergelumang dengan maksiatnya itu maka dia disebut ahli maksiat.

Ini bermakna bukan semua mereka yang didorong hawa nafsunya jatuh kafir musyrik.

Sebaliknya keadaannya bergantung pada jenis kesalahan yang dilakukan.

Semoga Allah melindungi kita daripada kejahatan hawa nafsu.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI




Comments