Ilmu Falsafah

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

Ilmu falsafah berkait rapat dengan pengetahuan yang diperoleh dengan cara berfikir serta membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik. 

Ia berasal dari Yunani (Greek). 

Ilmu Kalam pula adalah kesinambungan daripada ilmu falsafah yang tersebar dalam kalangan umat Islam melalui penterjemahan buku-buku falsafah Yunani ke dalam bahasa Arab pada zaman awal dahulu. 

Ilmu Kalam membicarakan tentang bagaimana ditetapkan kepercayaan-kepercayaan tentang ketuhanan (hal-hal akidah) menggunakan akal atau logik. 

Tetapi sejauh mana ilmu falsafah atau ilmu Kalam boleh dijadikan sebagai sumber Agama seharusnya dinilai semula. 

Perlu ditegaskan bahawa Agama Islam merupakan agama wahyu dan bukan agama akal. 

Sebarang penetapan dalam Agama perlu berlandaskan kepada Al-Quran dan as-Sunah, dan bukan hasil penaakulan akal manusia semata-mata. 

Ini kerana berbeza dengan wahyu, akal manusia mempunyai banyak kelemahan. Antaranya ialah:

1. Akal manusia berbeza-beza antara satu sama lain. Masing-masing ada cara berfikir yang tersendiri.

2. Akal manusia bersifat cetek. 

Allah ﷻ  berfirman:

“Kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” 

[Al-Quran, 17:85]

3. Manusia sentiasa didorong oleh hawa nafsu. 

Allah ﷻ berfirman: 

“Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan.” 

[Al-Quran, 12:53]

4. Akal manusia tidak lekang daripada melakukan salah silap. 

Nabi ﷺ bersabda: 

“Setiap anak Adam melakukan salah silap.” 

[Hasan. Riwayat Ahmad]

Oleh sebab itu, sekiranya kebenaran itu ditetapkan mengikut akal manusia nescaya akan berlaku banyak percanggahan dan pertembungan. Ini sebagaimana firman Allah ﷻ: 

وَلَوِ ٱتَّبَعَ ٱلۡحَقُّ أَهۡوَآءَهُمۡ لَفَسَدَتِ ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيهِنَّ.

“Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya.”

[Al-Quran, 23:71]

Maka tidak hairanlah mengapa Imam ay-Syafii rahimahullah sangat mencela ilmu Kalam. 

Beliau sampai menegaskan: 

مَنْ ارْتَدَى بِالكَلامِ لَمْ يَفْلَح.

“Barang siapa menerima ilmu Kalam maka dia tidak akan berjaya.” 

[Aadab asy-Syafii oleh Ibnu Abi Hatim, hlm. 182] 

Tegas beliau lagi: 

حُكْمِي فِي أهْلِ الكَلامِ أنْ يٌضْرَبٌوا بِالجَرِيدِ وَالنِّعَالِ وَيُجْعَلُوا عَلَى الإبِلِ وَيُطَافُ بِهِمْ وَيُنَادَى عَلَيْهِمْ هَذَا جَزَاءُ مَنْ تَرَكَ الكِتَابَ وَالسُّنَّةِ وَأقْبَلَ عَلَى الكَلامِ.

“Hukumanku ke atas ahli Kalam ialah bahawa mereka hendaklah dipukul dengan pelepah kurma dan selipar, kemudian mereka dibawa sekeliling di atas unta seraya dilaungkan “Ini adalah balasan bagi mereka yang meninggalkan Al-Quran dan as-Sunah serta menerima ilmu Kalam.” 

[Syarah as-Sunah oleh al-Baqhawi, 1/218]

CATATAN: 

Ini tidak bererti bahawa akal manusia tidak berperanan sama sekali. Cuma perlu difahami bahawa ia hanyalah alat pembantu dan bukan penentu. Akal berfungsi untuk membantu memahami Agama dan bukan untuk menetapkan apa itu agama. Penetapan hal-hal Agama perlu bersumberkan Al-Quran dan as-Sunah. Ini sebagaimana sabda Nabi ﷺ: 

“Aku tinggalkan buat kamu dua perkara di mana kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepada kedua-duanya; Kitab Allah dan Sunnahku.” 

[Hasan. Riwayat al-Hakim]


[Gerakan PENA Malaysia]


Comments