Pengalaman Duduk Di Dalam Majlis Bersama Syeikh Rabie bin Hadi al- Madkhali hafizahullah.

 OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis


Saya tidaklah layak untuk menyatakan diri sebagai kenal Syeikh Rabie hafizahullah. Cuma pernah sekali pergi menziarahi Syeikh Rabie bersama al- Fadhil Ust Asri Sobri hafizahullah dan kawan-kawan yang lain tatkala pergi menunaikan umrah di Mekah.

Waktu tu kebetulan ada masa, jadi kami berpakat untuk menziarahi Syeikh Rabie pada waktu lepas asar. Disana pun tuduhan yang menyatakan Syeikh Rabie ulama sultan, ulama pemerintah, penjilat pemerintah juga kedengaran. 

Jadi, kami pun setelah mendapat alamat lokasi kediaman Syeikh, kami pun berangkat pergi. Rumahnya agak jauh di sebelah Awali kalau tak silap saya waktu itu. Setelah pusing-pusing mencari, akhirnya sampailah kami ke kediaman Syeikh.

Berhampiran rumahnya terdapat surau tempat pengajian beliau. Sementara menunggu Syeikh untuk keluar ke surau tersebut, kami berkenalan dengan seorang lelaki tua disitu. Rupanya beliau merupakan salah seorang anak murid Syeikh merangkap seorang penulis kitab-kitab kecil. Kami pun tanpa disangka-sangka diberikan kitab-kitab kecil tersebut setelah berbual dengan beliau.

Setibanya Syeikh dikawasan surau, terus kami masuk bersama Syeikh, pada waktu itu, agak hangat berkenaan isu golongan Ikhwan ini. Syeikh sepertimana yang kita sedia maklum amat tegas dalam isu Ikhwani ini, jadi perbualan ketika itu lebih kepada berbual santai sambil menjawab soalan-soalan daripada para penuntut ilmu yang datang. 

Ramai dikalangan mereka penuntut ilmu daripada Indonesia yang banyak bertanyakan soalan pelbagai dengan Syeikh.

Cuma nampak diraut wajah beliau ketegasan terhadap golongan ikhwan dan beliau sempat menasihati kami para penuntut ilmu yang junior ini supaya meninggalkan kelompok-kelompok hizbiyyun ( kepartian).

Saya yakin jikalau ketika itu ada golongan Ikhwan didalam majlis tersebut nescaya akan merasa tidak senang duduk ketika duduk didalam majlis tersebut. Beliau siap memberikan amaran lagi jikalau ada golongan Ikhwan ini didalam Universiti Islam Madinah.

Diakhir majlis, Syeikh sempat memberikan kepada kami kitab-kitab beliau secara percuma. Majoriti kitab-kitab beliau berkisarkan isu Firqah dan juga manhaj.

Itulah pengalaman pertama berjumpa dengan beliau. Masyallah sangat tegas kelihatan orangnya dan sangat menjaga sunnah Rasulullah. Kita yang tengok kali pertama pun terasa aura ketegasan beliau.

Kediaman beliau pun jikalau dilihat bukanlah kediaman yang begitu mewah, tidaklah nampak miskin tetapi antara yang biasa jikalau dibandingkan untuk ulama-ulama Saudi yang lain. Bahkan antara surau yang paling dhaif jikalau dilihat surau beliau jikalau dibandingkan surau di Saudi. Ini setakat pengalaman saya di bumi Saudi . 

Jikalau dikatakan beliau ulama Sultan, ulama pemerintah nescaya rumah beliau laksana gedung mewahnya, paling tidak pun lebih hebat lagi berbanding rumah Syeikh Abdurrahman as-Sudais, nescaya tidaklah beliau mengajar di surau yang kelihatan buruk miskin, mestilah beliau mengajar di masjid-masjid yang mewah dan gah kelihatan.

Tidak kelihatan beliau mendapat "benefits" daripada pihak pemerintah sedikit pun.

Kali kedua bertemu beliau tatkala beliau datang ke majlis pengajian Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad hafizahullah. Beliau tekun duduk bersama kami semasa pengajian berlangsung. Diakhir pengajian Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad, Syeikh sendiri menjemput beliau untuk duduk bersama beliau sebagai menghormati keilmuan beliau.

Antara anak-anak murid beliau yang terkenal ialah Syeikh Abdullah al-Bukhari  dan Syeikh Ubaid al- Jabiri hafizahumallah. Syeikh Abdullah al- Bukhari ini merupakan pensyarah kami yang terkenal dengan ketegasannya "merasibkan" (menggagalkan) pelajar. Saya pun struggle ketika dalam kelas beliau dan antara yang "dirasibkan" ( digagalkan)😭.

Cumanya beliau antara "favourite" pensyarah kerana kupasannya berkenaan hadith tatkala mengajar kami sangat teliti, mendalam dan jelas terperinci syarahannya. 

Uniknya beliau, Syeikh Abdullah al-Bukhari ini antara pensyarah kami yang tidak membenarkan untuk membuat apa-apa ketika beliau mengajar. Menulis tidak, merakam pun secara curi-curi. Beliau cuma ingin kami mendengar betul-betul tatkala beliau mengajar. Sebab itulah agak sukar ketika kelas beliau.😭

Berbalik kepada Syeikh Rabie hafizahullah, dari segi membaca karya-karya penulisan beliau, masyallah, karya beliau penuh dengan bukti dan dalil serta kupasan yang begitu mendalam. 

Tatkala beliau ingin berhujjah atau menyanggah lawan, beliau membawakan bukti dan dalil hinggakan sukar bagi lawan beliau membalas hujjahnya. Aura ketegasan beliau begitu jelas didalam karya beliau.

Hinggakan kita yang merasakan cukup ilmu, cukup sunnah, cukup mengikut manhaj ini merasa terlalu lemah, kerdil bila membaca karya beliau hafizahullah.

Bab menjaga sunnah nampak jelas dengan tongkat, menjaga solat berjemaah, berinai janggut dan bersiwak beliau masyallah. Sangat sejajar ketegasan beliau terhadap sunnah serta praktikal beliau dengan aplikasi sunnah Rasulullah.

P/s : Saya tidaklah layak untuk membicarakan ketokohan beliau. Lantaran sedikitnya ilmu didalam dada dan cuainya didalam amalan dan aplikasi. 

Hanya sekadar coretan rasa hasil secuit mendalami karya penulisan beliau hafizahullah. 

Semoga Allah menjaga para ulama-ulama ini dan juga ilmunya agar bermanfaat dan berkekalan hingga ke hari kiamat.


-----------------------------------------------------------------

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

KUMPULAN ‘MADKHALI’

Mereka tidak mengkafirkan pemerintah Islam, 

Tidak mengkafirkan sesama saudara Muslim, 

Tidak menyertai demonstrasi,

Tidak terlibat dalam revolusi menjatuhkan pemerintah, 

Tidak mencela ulama, 

Tidak menimbulkan fitnah kekacauan.

Kerana itu mereka dimusuhi oleh golongan Ikhwani dan dimomokkan dengan istilah ‘Madkhali’ ini. 

[ Gerakan PENA Malaysia]

Comments