Bantahan Terhadap Muhaizad Al-Yamani

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

1- Amat terkejut dan dukacita dengan kenyataan saudara Muhaizad Al-Yamani berkenaan amalan khurafat Mandi Safar untuk menolak bala.

2- Lunak benar jawapan yang diberikan tentang isu ini kononnya ia merupakan ijtihad ulama yang kasyaf. Nak buat boleh tak buat pun tak mengapa ? Seolah ia sekadar isu khilaf muktabar yang perlu diraikan pula.

3- Sedangkan isu ini terkait dengan akidah. Boleh pula bermudah kita percaya hari tertentu, bulan tertentu, terdapat padanya keburukan, kesialan, dan majal berbanding hari dan bulan yang lain. Ini isu ghaib, bagaimana pula boleh ada yang mendakwa dia tahu itu dan ini ?

4- Para asatizah kita telah begitu lama bersungguh membasmi perkara khurafat sebegini dalam pengamalan masyarakat. Tiba-tiba datang penceramah mengelirukan sebegini dengan kenyataan-kenyataan pelik, dibiarkan bermaharajalela berceramah ke sana sini tanpa ada teguran dan tindakan dari pihak berkuasa agama ?

5- Saya berharap agar masyarakat awam tidak terpengaruh dengan dakyah sebegini. Berpadalah kita dengan ajaran Islam yang sahih, yang diwarisi daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Ajaran yang sudah terjamin bersih dan suci dari pengamalan khurafat, tahyul, dan seumpamanya. Seperti yang dinyatakan dalam sabda Baginda :

الطِّيَرَةُ شِرْكٌ 

Maksudnya : Kepercayaan terhadap sial dan majal merupakan suatu bentuk kesyirikan.

Riwayat Abu Daud (3910).

Wallahul muwaffiq.


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments