OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Maaf kerana lama tidak menulis, insyallah pada kali ini, kita membentangkan tajuk Biografi Imam al-Hafiz Abd Ghaniy al- Maqdisi Rahimahullah.
Beliau diberikan nama sebagai al-Imam Al-Hafiz Taqiyuddin Abu Muhammad Abd Ghaniy bin Abdul Wahid bin Ali bin Sudut bin Rafi’ bin Hasan bin Jaafar al- Jammaaili ad-Dimasyqi as- Solihi al- Hanbali al-Maqdisi Rahimahullah.
Dilahirkan di kota Nablus Palestin pada tahun 541 hijrah. Dinisbahkan nama beliau kepada Baitul Maqdis kerana bandar Jammail berhampiran dengannya. Begitu juga kota Nablus juga selalu dinisbahkan kepada Baitul Maqdis. Sesudah itu, beliau dan keluarganya telah berpindah ke kawasan Masjid Abu Soleh yang terletak di timur Damsyik dan berpindah pada kali kedua ke bukit Qasiyun.
Kemudian mereka membina rumah disana yang digelar Dar Hanabilah kerana ramainya para ulama Hanbali dikawasan ini.
Kemudian, lantas mereka mendirikan sekolah disana yang dikenali dengan nama Madrasah Al-Umariyah. Beliau membesar dan dikelilingi dengan ahli keluarga yang terkenal dengan kealiman dan kesolehannya.
Antara yang terkenal didalam keluarga beliau ialah anak saudaranya sendiri iaitu Muwaffaq ad-Din Ibnu Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah yang merupakan pengarang kepada kitab al-Mughni yang masyhur dengan nama Mughni Ibnu Qudamah.
Bagi sesiapa yang mempelajari mazhab dan aliran fiqh, pasti tidak akan terlepas kitab Mughni ini yang merupakan kitab induk didalam mazhab Hanbali seperti kitab Majmuk an- Nawawi didalam fiqh mazhab Syafie .
Sebuah kitab yang menghimpunkan pendapat mazhab Hanbali beserta dalil-dalilnya daripada Al-Quran dan hadith serta pendapat para ulama fiqh mereka. Mempunyai sebanyak 10 jilid.
Permulaan hidupnya
Beliau membesar didalam keluarga yang alim, bertaqwa lagi Soleh.
Pada peringkat awal, beliau berguru dengan pakciknya iaitu bapa Ibnu Qudamah yang bernama Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Maqdisi. Kemudian setelah selesai, beliau meneruskan pengajian dengan berguru kepada para ulama dan para masyaikh Damsyik didalam bidang fiqh dan cabang-cabang ilmu yang lain.
Antara Syeikh beliau ialah Abu al-Makarim bin Hilal.
Rehlah ilmu
Kemudian setelah selesai pengajiannya di Damsyik, beliau tidak terhenti setakat itu,bahkan beliau melakukan rehlah ilmiah ( perjalanan menuntut ilmu) ke beberapa negara yang lain.
Antaranya ialah Iskandariah di Mesir, Baitul Maqdis di Palestin, Mesir itu sendiri, Baghdad di Iraq, Harran di Turki, Mausul di Iraq, Isfahan dan Hamadan di Iran serta lain-lain lagi.
Perjalanan ke Baghdad
Beliau pergi ke Baghdad sebanyak 2 kali. Kali pertama pada tahun 561 hijrah. Manakala ke Mesir pula sebanyak 2 kali juga.
Tatkala beliau menuntut ilmu di Damsyik, ketika itu usia beliau masih kecil lagi iaitu pada tahun 551 hijrah. Tatkala itu beliau sempat berguru dengan Abu Hilal, Salman bin Ali ar-Rohabi, Abu Abdullah Muhammad bin Hamzah al-Qurasyi dan lain-lain.
Kemudian setelah selesai, barulah beliau rehlah memulakan perjalanan menuntut ilmu ke Baghdad bersama anak saudaranya iaitu Ibnu Qudamah. Disana beliau menetap selama 4 tahun.
Tatkala itu, Ibnu Qudamah sudah mulai cenderung kepada bidang fiqh, manakala beliau sendiri cenderung kepada bidang hadith.
Mereka mula menuntut ilmu dengan Syeikh Abd Qadir al-Jailani yang mana Syeikh sangat mengalu-alukan kedatangan beliau berdua dan melayani mereka berdua dengan baik. Lalu mereka membacakan ilmu yang berkait dengan fiqh dan hadith kepada Syeikh.
Ibnu Qudamah menceritakan :
“ kami sempat menuntut ilmu selama 40 hari dengan Syeikh sebelum beliau meninggal dunia”.
Mereka menuntut dua pelajaran setiap hari daripada bidang fiqh dengan Syeikh. Al-Hafiz Abd Ghaniy membacakan mukhtasar al- Harqi daripada hafalannya manakala Ibnu Qudamah membacakan daripada kitab Al-Hidayah.
Mukhtasar al-Harqi merupakan kitab induk mazhab Hanbali manakala Al-Hidayah pula merupakan kitab induk mazhab Hanafi.
Ok..cukup setakat ini kuliah kita pada hari ini. Insyallah kita akan sambung lagi pada masa akan datang.
Wallahua'lam.
Wassalam alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Comments
Post a Comment