Aurat Wanita Ketika Solat

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Ada pertanyaan daripada Muslimat yang berbunyi:

"Assalamualaikum..Ustaz.Maaf kalau mengganggu..Ana ada beberapa soalan yang Ana perlukan penjelasan dari bab Feqah bahagian solat.Terima kasih kiranya jika soalan Ana ni boleh dijawab memandangkan ana seorang yang tidak faqeh dan kurang ilmu.

1.Baru-baru ni Ana ada mengikut pengajian talaqqi semasa Talaqqi di sebuah pondok.Berkenaan aurat wanita semasa solat.Dikhabarkan,aurat wanita semasa solat adalah keseluruhan tubuh kecuali tapak tangan dan muka.Yang ini Ana memang maklum.tapi seperkara lagi adalah,dia menyatakan,walaupun sudah memakai telekung(yang biasa dipakai wanita Malaysia),yang tidak jarang dan sebagainya,itu tidak mencukupi,kerana batas aurat adalah dari bawah.Walaupun sudah memakai telekung,wanita perlu memakai didalamnya anak tudung yang dimasukkan ke dalam baju dan juga baju lengan panjang yang bercekak.jika tidak ditutup begini,akan tidak sah solatnya.Jadi,optionnya,jika tidak mahu memakai telekung biasa,harus memakai telekung jenis One piece yang menutup dari atas hingga ke bawah,yang sekadar membuka muka dan tapak tangan sahaja.Tidak boleh sekadar memakai telekung dan kain yang anggarannya aurat masih boleh dilihat dari bawah telekung.

2.Sahabat Ana menyatakan Ana harus melaksanakan apa yang di  sampaikan dan yang Ana terima ,berikutan ana sudah tahu.kalau tidak solat Ana tidak sah.Buat pengetahuan ustaz,di tempat kami(rumah guru) kami sentiasa bersolat jemaah.Jika timbul perkara begini,apakah perlu ana bersolat secara asing (tidak berjemaah),berikutan Ana sudah tahu bahawa pakaian solat yang biasa tu,masih menyebabkan solat tidak sah.

3.Boleh ke tidak,jika Ana tidak mengambil terus apa yang disampaikan itu?Dan mengambil kaedah yang ringan pada Ana.Cukup menutup aurat penuh dengan telekung yang tidak jarang,ketat dan singkat?

Buat pengetahuan ustaz,,kitab yang digunakan adalah dari kitab mukhtasar tulisan Rahimahullah Syeikh Abdillah al-Haririy.Berkaitan perkara-perkara doruriy.Selepas pengajian,Ana ada berjumpa dengan ustazah disitu dengan tujuan ingin penjelasan,dan dia katakan hal ini tiada khilaf dan bab berkaitan aurat dari bawah selalunya tidak disebut dalam pengajian2 biasa ditempat lain.

Ana ada juga bertanya dengan beberapa kenalan Ana yang juga dari pengajian agama untuk tanyakan pada ustaz2 yang mereka kenali,untuk tahu pandangan mereka tentang perkara ni.

Terima kasih."

Supaya Muslimat yang menghadapi kemusykilan yang sama mendapat manfaat, saya simpulkan jawapan di sini:

1. Syeikh 'Abd Allah al-Harari, pengasas aliran Ahbash langsung tidak didapati mengatakan perkara tersebut dalam kitab yang disebutkan iaitu Mukhtasar 'Abd Allah al-Harari al-Kafil bi-'Ilm al-Din al-Daruri. 

2. Bahkan, beliau seperti ulama-ulama Shafi'iyyah mengatakan bahawa aurat wajib ditutup dari semua arah kecuali dari arah bawah. 

3. Dakwaan tiada khilaf tentang aurat dari bawah, wanita perlu memasukkan tudung ke dalam baju, dan seumpamanya meragukan. Bahkan, jika bawah telekung adalah aurat, maka bawah kain pelekat lelaki pun sepatutnya aurat, tetapi tiada sesiapapun yang mengatakan begitu.

4. Ini masalah umum. Jika hal ini wajib dilakukan dan melibatkan sah batal solat, ulama-ulama mazhab akan menyebutkannya. Jika tidak dalam mutun, mereka akan sebutkan dalam syuruh, jika tidak dalam syuruh, mereka sebutkan dalam hawashi dan taqrirat, tetapi saya belum pernah menemui masalah sebegini dalam mana-mana kitab lagi. 

5. Aurat semasa solat dan aurat bersama ajnabi adalah sama, malah lebih ringan, kerana solat dengan pakaian ketat hanya makruh misalnya, tetapi haram di hadapan ajnabi. Maka, cara berpakaian di hadapan ajnabi dengan cara berpakaian semasa solat sepatutnya sama kalaupun tidak lebih mudah.

6. Barangkali ini termasuk dalam tanattu' yang dicela syariat iaitu berlebih-lebihan dan melampau dalam menjaga aurat semasa solat. 

7. Saya juga bertanya Syeikh Abu Anas al-Madani kalau-kalau beliau pernah mendengar qaul ini, tetapi beliau mengatakan "tak dengar lagi" dan selepas saya memberitahu beliau bahawa hal ini tidak disebutkan oleh 'Abd Allah al-Harari, beliau mengatakan "ustaz itu yang ghuluwwnya."

Maaf andai tersilap. Wallahualam.



[Gerakan PENA Malaysia]



Comments