OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Ahli bayt dan zuriat keturunan Nabi SAW mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah, termasuklah Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah. Dalam al-‘Aqīdah al-Wāsiṭiyyah, matan masyhur di sisi Salafiyyah dicatat, “termasuk usul Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah ialah mencintai ahli bayt Rasulullah serta mengangkat dan menjaga wasiat Rasulullah SAW berkenaan mereka...” Dalam qasidah yang dinisbahkan kepada beliau – tetapi diragui kesahihannya – disebutkan:
حب الصحابة كلهم لي مذهب ... ومودة القربى بها أتوسل
“Mencintai sahabat seluruhnya adalah mazhabku, dan dengan mencintai ahli bayt aku bertawassul.”
Beliau antara sebilangan ulama Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah yang mempunyai karangan khas tentang ahli bayt. Ahli bahasa yang terkenal dan penerus aliran Ẓāhiriyyah pada zaman moden, Abū Turāb al-Ẓāhirī mentaḥqīq risalah berkenaan dengan judul Faḍl Ahl al-Bayt wa-Ḥuqūqu-hum (Kelebihan dan Hak-Hak Ahl Bayt). Dalam risalah itulah beliau memilih pendapat yang bertentangan dengan pendapat jumhur – termasuk mazhabnya sendiri, Ḥanbalī – iaitu ahli bayt layak menerima zakat dan sedekah jika mereka dihalang daripada menerima peruntukan daripada khumuṣ dan fay’. Katanya:
ولهذا ينبغي أن يكون اهتمامهم بكفاية أهل البيت الذين حرمت عليهم الصدقة أكثر من اهتمامهم بكفاية الآخرين من الصدقة, لا سيما إذا تعذر أخذهم من الخمس والفيء, إما لقلة ذلك, وإما لظلم من يستولي على حقوقهم, فيمنعهم إياها من ولاة الظلم, فيعطون من الصدقة المفروضة ما يكفيهم إذا لم تحصل كفايتهم من الخمس والفيء.
“Oleh itu, hendaklah perhatian mereka dalam menjaga ahli bayt yang diharamkan daripada menerima sedekah lebih tinggi berbanding perhatian mereka dalam menjaga orang lain daripada sedekah, lebih-lebih lagi jika mereka terhalang daripada mengambil khumuṣ dan fay’, sama ada kerana jumlahnya yang sedikit atau kerana kezaliman pemimpin-pemimpin zalim yang menjaga hak-hak mereka yang menghalang mereka daripada mendapatkannya. Oleh itu, mereka diberikan sedekah yang wajib (zakat) secukupnya jika khumuṣ dan fay’ tidak cukup untuk mereka.”
Dalam kalangan Syiah, Ibnu Taymiyyah dituduh sebagai Nāṣibī dan pembenci Saidina ‘Alī RA kerana beberapa kata-katanya dalam Minhāj al-Sunnah. Tuduhan ini langsung tidak masuk akal, apatah lagi Ibnu Taymiyyah mengatakan ‘Alī “seafdal-afdal ahli bayt dan seafdal-afdal Banī Hāshim selepas Nabi SAW”. Pada masa yang sama, beliau jelas-jelas memihak kepada ‘Alī dalam perselisihannya dengan Mu’āwiyah RA. Katanya tentang sebuah hadis:
في هذا الحديث دليل على أنه مع كل طائفة حق وأن عليًّا رضى الله عنه أقرب إلى الحق.
“Dalam hadis ini terdapat petunjuk bahawa beliau bersama dengan setiap golongan yang benar dan bahawa ‘Alī RA lebih dekat dengan kebenaran.”
Kerana nuṣūṣ Ibnu Taymiyyah yang menyentuh ahli bayt terlalu banyak tetapi berselerak, sebuah kajian PhD dibuat oleh Dr. Ṣāliḥ b. ‘Umar al-Qarmūshī dibuat dengan tajuk Ahl al-Bayt ‘inda Shaykh al-Islām Ibni Taymiyyah wa-Mawqifu-hu min ‘Aqā’id al-Mukhālifīn (Ahli Bayt di Sisi Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah dan Pendiriannya Terhadap Akidah Aliran-Aliran yang Bertentangan) dan tesis tersebut berjaya memperoleh 95% markah! Syeikh Sulaymān b. Ṣālih al-Kharāshī juga menulis mengenai topik Ibnu Taymiyyah dan ahli bayt secara umum dan ‘Alī RA secara khusus dalam tulisan bertajuk Ibnu Taymiyyah Lam Yakun Nāṣibiyyan.

Comments
Post a Comment